SEMANGAT GOTONG ROYONG BERSAMA PAK NGAH
Oleh Pak Ngah

Tersebut dulu nya satu cerita, Pak Ngah teringat lagi kat dia, Alfatihah, dah arwah dah pun, tetapi terkenai lah di utara semenanjong.  Kalau naik bas dari Bagan (Butterworth) ke Sungai Petani atau Alok Stak (Alor Setar), Bas United tu lah, mesti jumpa arwah ini. Orang panggil dia pun Pak Ngah juga.  Bawa payung dan galas beg BOAC, dengar cerita Allahyarham Tunku Abdul Rahman yang bagi beg tu masa balik dari UK tuntut kemerdekaan dulu, wallahu’aklam. Dia ni, kalau nampak orang muda melayu, terutama perempuan kalau duduk dengan lelaki bukan melayu  di satu kerusi dalam bas, mesti dia kata “kapiaq, kapiaq”.  Jadi kalau ada orang nampak dia tak berani nak duduk sembarangan.

Arwah ini suka juga minta duit kat orang dewasa tetapi tidak pada budak muda. Bila dapat duit terus bagi kat budak muda tetapi kena pantun, gurindam sikit.  Bunyi nya macam ini “ Lama sungguh tak jumpak Pak Ngah, burung terebang pi mai, pi mai. Buah keriang pun dah masak merah, Minta duit sekupang, Pak Ngah.”  Arwah Pak Ngah pasti tersenyum dan akan berikan sebanyak mana duit yang dia dapat, (dari orang yang bagi kat dia). Walau pun arwah Pak Ngah begitu, ia tidak pernah menyusahkan masyarakat keseluruhan sebalik nya, kalau tak nampak Arwah Pak Ngah tu dalam perjalanan dari Bagan ke Sungai Petani terasa sesuatu kehilangan pulak. Bandingkan dengan kehidupan hari ini, walau PM yang lalu tu dah pergi dan dapat PM baru, tetapi tak terasa apa-apa pun, bukan rasa kehilangan sebali nya kehidupan bertambah menjadi sempit, keliru, kesusahan dan kehilangan kebebasan hak yang hakiki. Kalau Arwah Pak Ngah tu masih ada, pasti dia akan sumpah seranah orang yang menyusahkan rakyat pada masa ini.

Pak Ngah teringat tentang Gotong Royong dalam zaman dulu-dulu. Gotong Royong Kenduri Kenara, Buat Masjid, Bersih Kubor, Cuci Parit, Baiki Jambatan, Merumput Sawah dan Kebun, Mengagau Ikan di parit/sungai, Bina rumah, pindah rumah. Orang tua dulu-dulu ni mana ada kira bayaq, apa-apa tulong dengan ikhlas, selesai kerja, makan bihun ke, bubok kacang (paling disukai), roti kapai, the O atau Kopi O dan ayaq kosong. Mulai kerja dengan baca doa dan habis kerja dengan baca doa. Berkat sampai anak cucu.

La ni, tengok lah apa dah jadi, kenduri kenara pakai “catering” mai kedarah, lepas tu balik, bagi lah sikit dalam sampui RM10, RM20 atau RM50. Mula makan jam 12.00 tengah hari sampai 3 petang. Adik beradik pun mai macam tetapi, habis makan, bersembang sikit balik. Mana nak ada silaturrrahim yang baguih. Kalu dulu, seminggu lagi, orang kampong dah mula ambik kayu dan bahan nak buat balai untuk marhaban dan tempat baca doa dari masjid. Tiga hari sebelum kenduri, pakat gotong royong bina balai dan tempat mengidang, memasak dan membasuh. Hari kenduri pukui 5 pagi dah mai, sembeleh lembu dan memulakan bermacam penyediaan makanan.  Inilah nilai yang terbina silaturrahim yang sebenarnya.

Masa la ni orang modern akan kata, kita mana ada masa, mana nak cari orang, kan ada cari lebih mudah dan effesyien dan berbagai alasan bagi membenarkan tindakan depa, tetapi harus lah Pak Ngah ingatkan dapatkah nilai kemanusiaan di beli dengan wang, di pupuk tanpa masa, menjadi effisyien tanpa pratikal, menjadi mudah tanpa di bina semangat kasih saying. Nilai ini lah yang di pegang oleh orang tua kita dulu-dulu, walau pun orang kata tidak maju, tetapi nilai kemanusiaan mereka dan lambang kemasyarakatan mereka amat tinggi ketamaddunan  nya.  Bandingkan diri tuan-tuan sekarang, tambah-tambah yang Tan Sri, Datuk dan seumpama dengan nya.  Diri rasa besaq saja tetapi hidup macam katak bawah tempurung, dia saja yang betui, dia saja yang pandai, tengoklah apa dah jadi ekonomi la ni, dulu boleh beli surat habaq 15 duit (15 sen) la ni, seringgit dua kupang (RM1.20). Ekonomi baguih apa?, Nilai duit dulu cukup besaq berbanding la ni, apa guna  bunyi macam banyak tapi nilai jadi rendah. Dok terbawak tu yang slogan itu, slogan ni, Malaysia Negara Islam, Islam Hadhari dan macam macam lagi, tapi mana ada bezanya, serupa jugak. Hari Sabtu dan Rabu penuh depa berdiri depan kedai ekor, dalam surat habaq cerita kes bunoh Norita. Kawannya nama Nor Azora Abdul Hamid duduk sebilik dengan boyfriend Cina, minum minuman keras balik jam 0430 pagi, Jakim, Jais tak buat apa pun. Pak Ngah nak bagi tau, tok sah dok sembang banyak la. Ikutlah apa yang Allah tetapkan sebagaimana disampaikan oleh Baginda Rasulallah. Tok sah buat dalih itu dan inilah. Kalau dah bodo itu, jangan malu, tanya orang pandai. Pepatah orang dulu mengatakan “Kalau malu bertanya nanti sesat Jalan”.  Janganlah kerana berasa dah jadi orang besaq dah pandai, bukan kepakaran kita tanyalah pada orang yang pakar bidang depa, jangan rasa niat baik dah tentu jadi baik, dipendekkan cerita, tok sahlah menampakkan kejahilan kita pada orang, berserabut, bodoh sombong dan sebagainya.

Hari ni Pak Ngah nak bagi nasihat sikit, nilai kemusiaan bukan perkara mudah dengan boleh belajar dari buku sahaja, tetapi pengamalan yang berterusan yang akan membawa hasil. Masa akan menentukan kualitinya. Tiada yang cepat, sekalipun peralatan tercanggih tak dapat membina kasih, penghormatan, silaturrahim, semangat dan sebagainya sebalik nya kewibaan terlahir dari pengamalan ilmunya yang tersusun rapi dengan tertib pengambilan ilmu.

Akhir kalam Pak Ngah pada kali ini, ingin Pak Ngah sarankan, semoga kita bergotong royong memusnahkan segala bentuk fizikal, kebendaan, sistem pentadbiran dan kepimpinan serta spiritual yang telah dipupok dalam diri yang bercanggah dengan semangat gotong royong yang sebenar yang menjadi amalan orang melayu zaman berzaman. Kembalikan hak hak pada tempatnya, ikhlas, jujur, saling mempercayai dan kasih sayang.

Pak Ngah menitiskan airmata mengenangkan kegembiraan masa remaja, kini anak muda tidak lagi berpeluang merasakan kegembiraan sepertimana Pak Ngah dulu-dulu. Kita kehilangan nilai budaya yang indah. Bersama kita bergotong royong mengembalikan kegemilangan Islam dan Melayu selanyaknya.  Rasa nya macam Pak Ngah tidak menjumpai noktah penutup sebab sebak dada Pak Ngah mengenangkan nasib bangsa ku yang di musnahkan pemimpin dari bangsa ku sendiri atas nama pembangunan dan kebendaan. Pak Ngah tak tahan lagi, izinkan Pak Ngah undur diri, dan mungkin 2/3 hari boleh tulis lagi kerana terbawa kesedihan ini. (Maklumlah orang tua cepat sedih hati kalau orang buat tak ketentuan hal)  Insyallah jumpa lagi.  Wassalam

Tanggal: 28hb Rabiulawwal 1425.

Pak Ngah - 18.05.2004

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN