MENGUBAT CARA MENURUN
Oleh Pak Ngah

Seketika dahulu, memang terkenal lah Pak Usop bomoh menurun nombor ekor di kampong Pak Ngah ni. Bukan nombor ekor sahaja, kes-kes kena jembalang, hantu syaitan, rasuk pelesit dan penyakit misteri macam orang la ni kena (Histeria), dia memang terar (Pakar). Hidup dia tak lah kaya tapi tak miskin pula.

Cara berubat dia yang penuh misteri, dengan jurai-jurai bunga pinang, limau, telor, keris, kemenyan, kain kuning, putih dan merah (macam warna bendera depa tu), ayaq semangkok dan kacip pinang. Mula lah meratuih, kumat kamit mulut dia dan tangan sambil kacip kemayan buboh dalam api, apa lagi asap pun bekepoi lah. Lepas itu sembok sana, sembok sini, habis. Ambik pengeras 7 ringgit lima kupang, kain pelekat selai dan bagitau keluarga yang sakit, biaq berembun tiga malam berturut-turut, Insyallah sihat lah tu. Bukan ada apa depa singgah sat saja (Pelesit, hantu syaitan tu lah maksudnya). Lepas tu depa pi jauh la..

Lepas motong tatsat, pukoi lebih kurang 12 setengah, rehat sat … mandi, sembahyang lohoq, makan hari ni spesel, Mak Ngah buat, Gulai keli ubi kemili, sambal belacan pucok ubi, sambai tumis dengan rebus betik muda, ikan kedera kering, tudia .. jenuh berkeliaq misai.. sedap sungguh… hangpa dengar terliok dak.. Tu la suruh duduk di kampong, hang pa kira nak kerja di pekan besaq saja, makan pun Pak Ngah dengaq ada yang mentekedarah maggi saja… Melawak no, jangan marah.

Sambil duduk atas kaus, tapi hari ini Pak Ngah tak duduk di beranda sebalik nya angkut bubuh bawah pokok rambutan kawin depan rumah, berangin sejuk, lega badan, lagi pun pakai kain pulikat saja.

Dok terkenang, orang la ni pun terutama orang besaq-besaq tu main silap mata macam dukun Usop menurun nombor ekor juga. Kata nak benteras itu, benteras ini, rancang itu, rancang ini, ubah itu ubah ini, slogan itu slogan ini, tetapi habuk pun tak dak. Cakap tak serupa bikin. Yang dok nampak depa tambah kaya. Yang paling pelek sekali, depa dok rasa macam orang tak tau, hakikat nya semua orang dah tau. Macam contoh deraan ISA dan tahanan polis, sapa yang tak tau, habak mai… semua orang tau, tapi macamana PM, Hamid Albar dan Noh kata tak dak.

Hang pa ingat kami ini tongkoi sangat ke? Tu lah bila Allah dah tutup pintu hati seseorang, depa tak dapat lagi melihat yang mana betul dan yang mana bathil. Benda-benda macam ni, orang Islam mesti kena percaya kerana ada dalam Quran, jangan dok nak berdalih dalih sangat noo. Bila benda tu, macam kena batang hidung hampa, cari alasan seolah tak bersangkut dengan ugama. Mana ada satu benda atau huruf, ekonomi, sains, sejarah, atau ayat, atau zarah, molikul, ion, proton dari sekecil-kecil hingga paling besar di dalam dunia ini yang tidak ada sangkut paut dengan ugama. Semua di bawah Allah, makna, ugama Allah lah tu. Mana boleh asing-asingkan.

Sebagai penutup kata, Secara Ikhlas Pak Ngah ingin menasihat semua orang besaq-besaq supaya rajin lah sembahyang malam, bertaubat sepanjang malam, zikir dan banyak ibadah waktu malam dan jangan banyak program resmi Malam Seni itu, ini, Gala itu ini, waktu malam eloklah hadapkan diri dengan Allah. Esok dari jam 0700 pagi hingga 6.00 petang kerja kuat-kuat untuk rakyat, Malam kerja kuat untuk Allah. Cuba lah buat, jangan banyak dok bercakap orang tu salah, orang ni salah, hangpa tu betui sangat ka? Jangan dok perasan sangat diri sibuk, Allah pencipta dunia ni sentiasa ada masa dengan seluroh umatnya. Hang pa tu juga umat yang kerdil macam rakyat yang lain. Kalau diri telah melakukan kesalahan besaq dan menipu, mengaku sajalah dan kembali ke Pangkal Jalan, apa ada pada jawatan sekalipun YB ke, TPM ke, PM ke, Agong sekalipun bukan Allah pandang. Allah cuma tengok amal kebajikan saja. BIAR MALU DI DUNIA JANGAN MALU DI HADAPAN RASULALLAH DAN ALLAH DI AKHIRAT KELAK. Selagi diri Manusia itu tidak mampu membersihkan dirinya sendiri maka tidak layaklah dirinya memimpin orang lain, nescaya bala bencana menimpa rakyat, sekalipun hang pa tidak kasih pada diri sendiri, biaqlah sekurang-kurang rakyat terelak dari musibah dari kerosakan diri setiap pemimpin itu. Tinggalkan kesenangan dunia yang sementara dan kembali ke Jalan allah.

Tak kan hang pa tak ingat dengan bekas PM yang lalu, ada orang yang puji, itu pun di kalangan kroni dan ada kepentingan sahaja, tetapi di hati rakyat semua memandang hina dan jijik, apa boleh buat sekarang. Depa bagi jawatan penasihat sana sini, semua orang tak suka, bagi anugerah tang tu tang ni pun semua orang kata tak patut bagi pun, makna nya terhina di sisi Manusia, apa lagi di sisi Allah. Kat Allah kita boleh memohon maaf bila–bila masa kepada sesama manusia selagi tidak dimaafkan tak akan selesai. Bagi diri Pak Ngah, minta ampun banyak-banyak kepada Allah takut silap yang tidak disengajakan dan pada semua orang yang terasa kat depa tu, kalau betui terima dengan hati terbuka dan kalau ada silap Pak Ngah, Pak Ngah mintak ampun sungguh-sungguh kerana Bantu membantu sesama Manusia memberikan peringatan di tuntut aoleh Allah. Sekian, Wassalam.

Tanggal: 30 Rabiulawwal 1425

Pak Ngah - 20.05.2004

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN