PAK NGAH TERINGAT PASAI MALING
Oleh Pak Ngah

Pak Ngah sehari dua ni, tak berapa sihat. Maklumlah orang tua, lagi pun sengai badan, kebas dan jenis sakit sikit-sikit saja, kena ayaq asam jawa sikit dengan ayaq nyiok, junggit naik beskat (basikal), kena kopi keling kaka dengan mee rebus dia, tudia … nala torio punya, hilang semua penat-penat tuuu. Tapi, bila Pak Ngah dok pikiaq tengok bukan pasai apa, kalau tak jumpa kawan-kawan sehari dua, memang macam tu lah. Kita orang tua-tua ni bukan apa, dok nak tau saja, sakit pening, susah senang kawan-kawan. Yang ni lah yang Pak Ngah rasa nilai yang dah langsung takdak pada generasi sekarang ni.

Sekali ni Pak Ngah nak cerita pasai maling. Maling ni dalam bahasa melayu tua tetapi bahasa melayu lama di panggil pencuri dan Bahasa Malaysia Modern ni di panggil Konsultan. Fungsi tetap sama yakni ambik harta benda orang dengan cara tidak adil. Beza nya maling cuma curi getah, sekerap, basikal, telok ayam dan ayam itek. Pencuri pulak tinggi sikit taraf nya, contoh; curi tukar nama tanah orang teroka kepada nama dia, atau dapat peruntukkan orang miskin tapi bagi kat memba depa saja atau selewengkan peruntukan baja atau anak benih. Bagi Konsultan pula tentulah lebih hebat, depa pakai undang-undang dan penguatkuasaan untuk mengambil semua harta benda rakyat dengan cara yang tidak adil. Bidang nya amat luas dari A sampai Z, ekonomi, pelajaran, tenaga kerja, perindustrian, saham, konsortium, penswastaan, khazanah, ekspot impot, sampai pi haji pun depa ambik kesempatan. Dalam jenis maling ini, peringkat tertinggi ni KONSULTAN lah. Yang dok dalam golongan ni semua orang besaq-besaq dan rapat dengan orang tertentu yang amat berkuasa saja.

Hang pa nak tukaq nama apa pun Pak Ngah tak kira, bagi Pak Ngah Cuma dok tengok macamana depa berfungsi, Kalau fungsi nya macam maling ia tetap maling, Mai tengok fungsi ustaz yang mengajar dengan sukarela, ikut orang sedekah saja. Dengaq, tengok macam mana depa mengajar, yang haram tetap haram, yang halal tetap halal, makroh tetap makroh, sunat tetap sunat dan harus tetap harus. Depa takdak nak dok korner sana sini supaya nampak ringan. Depa tak buat punya, baru la nampak betui.

Tengok kerja konsultan, tu dia semua siap, kertas perjanjian, untung dah kira, rugi tak mau tanggung, kalau rugi kerajaan mesti tanggung, di pendek cerita tak rugi langsung, Bukan Pak Ngah tak faham macam mana menteri berkenaan boleh luluskan. tentulah PM yang suruh. Benda macam ni depa kata di bawah OSA. Ni lah dikatakan maling paling besaq tapi buat-buat macam tak dak apa. Nih, nak bagi tau kat depa semua, jangan kata rakyat tak boleh buat apa no… Doa-doa rakyat di zalimi ni tak kan depa tak perasan. Mungkin depa tak perasan.

Sebelum terlambat eloklah depa (Semua Orang Besaq-besaq tu) mulai membuat postmortem ke atas keseluruhan nilai kehidupan sendiri dan jawab soalan ini?

1. La ni aku dah capai tahap tang ni, apa yang telah melapangkan dada aku?
1.1 Harta benda menyenangkan hati
1.2 Pangkat menyenangkan hati
1.3 Anak pinak menyenangkan hati
1.4 Kaum keluarga bertambah silaturrahim
1.5 Masa yang sentiasa menyenangkan hati
1.6 Malam tidoq lina
1.7 Masyarakat ramai yang suka atau sebalik nya
1.8 Perasan orang pandang diri besaq
1.9 Dok pikiaq nak jaga kedudukan
1.10 Atau seronok dan ikhlas untuk semua.

2. Kalau rasa diri tu, dah berbuat yang terbaik untuk semua orang tapi ramai kata masih tak betui, makna kita bukannya layak lah. Tok sah dok kata apa alasan, pemimpin ni di pilih oleh rakyat, bila rakyat pilih tentu senang kerja, tetapi kalau kata memang aku di pilih rakyat tetapi susah bekerja dengan rakyat, tentu lah hang pa tipu dengan cara suruh rakyat pilih hangpa dan bukannya hang pa dipilih oleh rakyat. Depa ni boleh faham cakap Pak Ngah dak.

3. Seingat mengaji Pak Ngah, jangan kita menawarkan diri kita menjadi pemimpin, kerana kalau kita membuatnya semua tanggungjawab atas diri kita sepenuhnya dan lebih utama Rasullallah melarang perbuatan tersebut.

Akhir kalam Pak Ngah pada kali ini, sekali pun maling itu hanya berkain pulikat tanpa baju, atau kemas berbaju tali leher atau berkot lengkap dengan Mercedes sekalipun, MALING TETAP MALING. Undang-undang tidak melepaskan maling, pencuri, tetapi undang-undang seringkali tidak melihat Konsultan Maling. Jawapannya mudah, kerana Konsultan Maling juga adalah orang yang turut sama mengubal undang-undang tersebut. Maling jenis ini hanya boleh di musnahkan dengan ikatan akidah Islam dengan berpegang pada tali Allah dan sunnah Rasulallah sahaja, Tiada Islam lain lagi dan tiada Islam Hadhari atau lainlain jenis islam lagi, hanya yang satu sahaja dari Allah dan RasulNya.

Ni dah musim dekat cuti sekolah, jenoh jugaklah Pak Ngah di tempah memasak, tapi tak pa… mungkin 2 minggu tak motong, rezeki tuhan bagi. Pak Ngah tak mintak duit bila memasak, ikut ikhlas tuan rumah saja. Cukup makan Pak Ngah dan Mak Ngah dah la… maklumlah lah mana ada cost overhead. Lagi pun Pak Ngah tak payah pikiaq pasai marketing plan atau nak sales. Yang dok ada alhamdulillah, janji orang kampong tak dak yang kecil hati kat Pak Ngah tak dapat masak di rumah depa. Pak Ngah dan semua orang kampong dah sepakat tarikh yang Pak Ngah boleh tolong semua rumah. Macam tu lah berpakat, ikhlas tu berkat.

Tanggal: 2 Rabiulakhir 1425

Pak Ngah - 22.05.2004
Siaran awal artikel ini terdapat di http://www.marhaen.com

Hantar artikel ini kpd sahabat:



Sertai Maillist M@RHAEN