MACAM MANA NAK BERUBAH PERGANTUNGAN
Oleh Pak Ngah

Selama ni Pak Ngah dok cerita pasai hai kecik semasa, tapi kali ni Pak Ngah nak try tulis pasai berubah pergantungan, cara pemikiran mudah orang biasa macam Pak Ngah ni. Kalau salah tolong betuikan, sebab Pak Ngah ingat cara ni salah satu usaha untuk orang Melayu melihat di mana letaknya pergantungan ekonomi tu.

Semua orang dok kata, ekonomi dipegang oleh bangsa asing, berapa puloh tahun lagi pun tak mungkin orang Melayu boleh bersaing. Yang ni dok jadi tanda Tanya Pak Ngah.

Orang Melayu merupakan masyarakat pengguna terbesar, manakala orang asing merupakan pengeluar produk. Yang dok beli produk orang asing tu orang Melayu la, cara mudahnya, orang asing jadi senang sebab orang Melayu beli produk depa.

Orang Melayu tergolong dalam tiga kategori juga, pertama, kedua dan ketiga. Yang pertama depa membeli barangan yang tidak berguna sangat seperti, carpet, kerusi meja, tv, langsir, yang mana barangan itu tidak memberikan sebarang keuntungan kepada mereka untuk jangka pendek dan panjang, selalunya di amalkan oleh orang miskin. Yang kedua pula membeli tanggungan (liabilities) seperti kereta, motor, astro, kad kredit, yang memerlukan satu perbelanjaan pengurusan dan baik pulih yang berterusan dan membebankan yang selalunya merupakan kalangan eksekutif, manakala yang ketiga membuat pilihan bijak dengan membeli harta yang akan terus meningkatkan pendapatan mereka dari masa ke semasa.

Pak Ngah mengharapkan kita menjadi kategori ketiga, contoh mudah kita beli mesin potong rumput, kita boleh gunakan untuk mencari wang, dapat wang kita beli cangkul dan peralatan berkebun sayor. Kita mengusahakan sayuran untuk makanan sendiri dan lebihan boleh dijual dan belikan ayam itek untuk makanan protein kita. Erti kata lain kita tidak bergantung kepada produk orang tetapi dari kita sendiri.

Apabila kuasa ekonomi mandiri, bangsa lain yang menguasai ekonomi akan tergugat dan keadaan ini akan menyebabkan pengaruh politik mereka yang sentiasa mengarah kepada kebendaan akan berakhir dan keputusan politik tidak lagi ditentukan oleh kepentingan ekonomi mereka tetapi berbalik kepada majoriti orang ramai terutama nya orang Melayu. Sekarang ni bangsa asing mendabik dada terutama di kawasan Bandar dengan menyatakan mereka menjadi penentu kemenangan mana parti politik yang mereka mahukan. Kita, masyarakat orang Melayu yang menjadi pengguna terbesar perlu sedar dan merobah pendirian mereka ini dan sepatutnya mereka tunduk kepada pengguna bukan pengguna tunduk kepada pengeluar produk dengan meletakkan harga mengikut skala keuntungan yang telah mereka rancangkan. Sepatutnya keuntungan mereka boleh ditentukan oleh pengguna.

Sebagai langkah permulaan, Pak Ngah ingin mencadangkan biarlah orang Islam hanya memakan barangan produk yang dikeluarkan oleh orang Islam bagi menentukan kesucian yang terpelihara. Hal Halal yang dikeluarkan Jakim tidak timbul sebab kita hanya hendak makan dan guna barangan yang dikeluarkan oleh orang Islam. JAKIM ni kadang kala boleh bagi tanda halal tapi macam kita dok faham-faham sajalah la ni… lupakan tentang JAKIM, kita cari barangan keluaran orang Islam sahaja.

Pengguna yang ramai di kalangan Islam akan kembangkan barangan buatan orang Islam dan tidak mustahil orang bukan Islam akan cenderung membeli barangan Islam yang suci, bersih, dan tiada penipuan timbangan serta menentukan harga mengikut kualiti barangan seperti mana di kehendaki Islam. Buah yang baik harga lebih baik dari buah yang kurang baik. Orang Islam tidak boleh camporkan buah baik dengan buah tak baik dan jual borong, itu namanya penipu dan haram dari segi urusniaga Islam. Lihatlah di kalangan peniaga Melayu dan peniaga Melayu Islam amat berbeza, pilihlah peniaga Melayu Islam dan jangan peniaga Melayu yang biasa dan selalu kelihatan sepanjang waktu tanpa menghiraukan waktu solat.

Negara Islam Iran satu ketika dulu semasa Shah Iran boleh dianggap negara yang tidak mampu membayar balik hutang luar negara lagi, tetapi lihatlah apabila Kerajaan Islam mengambil alih bukan sahaja semua hutang dilangsaikan bahkan boleh berdikari dari pembangunan dan kemajuan ekonomi yang cukup memberangsangkan.

Apabila kita bergantung kepada satu sistem ekonomi kapitalisma, hutang akan terus meningkat. Rakyat tidak perlu mengikuti cara pentadbiran ekonomi kerajaan yang lemah, yang banyak bergantung atas teori dan kertas tetapi mengamalkan sistem perniagaan Islam yang telus, barakah dan berdaya saing secara positif tanpa zalim, aniaya dan berselindung. Kepada yang merasakan dirinya pakar ekonomi tu, tengokkan lah kitab Islam bagaimana pengurusan ekonomi dan tidak hanya bergantung kepada Harvard, Oxford dan Cambridge University atau OxBridge sahaja. Cukup setakat ini, rasa Pak Ngah macam pensyarah universiti pulak. Maaf kalau tersalah atur tutur kata atau maklumat tak tepat sebab faham-faham lah Pak Ngah tak sekolah tinggi.

Tanggal: 12 Rabiulakhir 1425

Pak Ngah - 02.06.2004 (Poster kiriman Pak Ngah)

Hantar artikel ini kpd sahabat: