AMAT-AMATI KEMELUT AP
Oleh Pak Ngah - Laman M@RHAEN
Berikut kita akan meneliti petikan-petikan kenyataan yang telah dikeluarkan dan penjelasan yang telah diberikan. Namun apa yang Pak Ngah ingin utarakan adalah, Apakah yang dapat diperolehi dari kemelut tersebut. Persoalan yang akan dikemukakan Pak Ngah mudah sahaja seperti biasa:
1. What?
 Apakah yang telah berlaku terhadap pengeluaran AP
 
2. When?
 Bilakah AP ini mula mengancam yang berkepentingan

3. Where?
 Dimanakah silapnya
 
4. Why?
 Kenapakah ianya boleh berlaku demikian
 
5. How?
 Bagaimanakah ianya berlaku.

Dengan meneliti semua petikan di bawah, akan terjawab semua persoalan di atas. Kemelut ini di beratkan lagi dengan budaya mereka yang selalu mudah ubah arah semata mata untuk menjaga kepentingan diri semata dan bukannya atas keikhlasan, atas keadilan dan hak.

Kepentingan sendiri menjadi keutamaan bagi melindungi diri dan lebih menimbulkan tandatanya, kenapakah mereka sanggup sampai ke tahap tersebut semata mata menjaga kepentingan diri. Keadaan ini menimbulkan kecurigaan yang lebih besar yang ada sesuatu yang ingin dilindungi. Kalau tidak masakan mantan TUN Dr M sendiri ada mengatakan ianya telah menyelamatkan Rafidah sebanyak tiga kali? Tuan fikirkanlah sendiri.

Bapa saya tidak terima senarai AP - Mukhriz
KUALA LUMPUR 30 Julai - Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz langsung tidak melampirkan senarai penerima permit import (AP) kereta kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam surat penjelasannya yang diserahkan pada 8 Julai lalu.

Rafidah diminta beri penjelasan kepada Kabinet
JOHOR BAHRU 30 Julai - Kabinet akan meminta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz memberi penjelasan mengenai perkara-perkara yang ditimbulkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung isu permit import (AP) kereta.

Rafidah enggan ulas
KUALA LUMPUR 30 Julai - Datuk Seri Rafidah Aziz malam ini enggan mengulas arahan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu beliau memberi penjelasan kepada Kabinet mengenai perkara-perkara yang ditimbulkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung isu permit import (AP) kereta.

AP: Rafidah mahu teliti akhbar dahulu
Oleh: NORLIZA ABDUL RAHMAN
KUALA LUMPUR 29 Julai - Datuk Seri Rafidah Aziz berkata, beliau akan meneliti semua laporan akhbar terlebih dahulu berhubung isu permit import (AP) yang dibangkitkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, sebelum memberi penjelasan mengenai perkara itu.

Menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu, semua kenyataan dalam akhbar termasuk dakwaan Dr. Mahathir bahawa beliau tidak bercakap benar berhubung isu AP perlu diteliti terlebih dahulu kerana ketika itu beliau mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ke Afrika Selatan.

"Apa lagi, saya akan teliti laporan-laporan akhbar terlebih dahulu, lepas itu baru saya jawab, saya tak ada di sini... ingat, terima kasihlah terima kasih,'' katanya kepada pemberita sejurus sebelum menaiki lif untuk ke pejabatnya di Kompleks Kerajaan di sini, hari ini.

Para pemberita yang ingin menaiki lif bagaimanapun dihalang oleh beberapa orang pengawal keselamatan yang meminta surat jemputan rasmi sekiranya mahu ke pejabat menteri.

"Tak ada jemputan tak boleh naik,'' kata seorang pengawal keselamatan kepada para wartawan.

AP: Hapuskan orang tengah
KUALA LUMPUR 28 Julai - Kerajaan didesak supaya menghapuskan kehadiran `orang tengah' yang memiliki permit import (AP) francais tetapi tidak menjalankan perniagaan.

Menurut sumber industri kenderaan tempatan, terdapat sesetengah pihak hanya sekadar `mengurus' untuk membawa masuk kereta ke Malaysia kerana mereka memiliki AP tetapi pemasarannya dikendalikan oleh pihak lain.

"Orang tengah inilah yang dilihat sebagai menjejaskan industri kenderaan tempatan dan sekali gus menimbulkan kekeliruan,'' kata mereka.

"Senang cakap, kebanyakan pemilik AP ini hanya jadi orang tengah untuk menjadi `usahawan segera','' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Utusan Malaysia difahamkan kehadiran orang tengah juga boleh menyebabkan kerugian kepada syarikat yang memasarkan kenderaan import kerana mereka akan bergantung kepada `belas ihsan' pemilik AP itu.

Sumber itu menambah, seperti mana yang dinyatakan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini, pemilik AP francais sepatutnya mempunyai kemudahan menjual kereta-kereta mereka.

"Kalau setakat memiliki AP francais tetapi pihak lain mengimport kereta, mewujudkan ejen/peniaga, menguruskan promosi dan jualan, adakah ini cara kita mahu menggalakkan orang Melayu dalam industri automotif atau membiarkan hak mereka disalah guna,'' tanya beliau.

Sumber itu juga mempersoalkan sama ada amalan `urus niaga mudah' oleh pemilik AP itu bertentangan dengan garis panduan pengeluaran AP atau sebaliknya.

Katanya, persoalan itu timbul kerana mengikut garis panduan sebenar hanya mereka yang memiliki AP sahaja boleh mengimport kereta.

Selain itu, sumber industri berkata, kebanyakan penggiat industri itu juga keliru dengan syarat kemasukan kereta-kereta import kerana terlalu banyak kategori kereta import dibawa masuk ke negara sejak kebelakangan ini.

"Kita memang musykil kemasukan jenama-jenama baru (yang tidak popular sebelum ini) sebab dulu bukan mudah jenama kereta baru memasuki pasaran Malaysia,'' tambah beliau.

Abdullah perlu lebih masa sebelum ulas lanjut isu AP
SUBANG 28 Julai - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, beliau memerlukan masa untuk melihat laporan daripada akhbar sebelum mengulas lebih lanjut berkenaan isu permint import (AP) kereta.

Perdana Menteri bagaimanapun menjelaskan bahawa isu AP itu telah dijelaskan sepenuhnya kepada wartawan Malaysia di Afrika Selatan, semalam.

"Saya tiada tambahan sebab dah cakap di Johannesburg. Saya kena baca dulu berita di akhbar,'' kata beliau kepada wartawan sekembalinya dari lawatan rasmi tiga hari ke Afrika Selatan.

Dr. M, Rafidah diminta adakan pertemuan selesaikan isu AP
SUBANG 28 Julai - Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz dan Penasihat Proton Holdings Bhd. (Proton), Tun Dr. Mahathir Mohamad diminta mengadakan pertemuan untuk menyelesaikan sebarang salah faham antara mereka berhubung isu permit import (AP) dan dasar kereta nasional.

Pertemuan itu perlu dilakukan seperti bapa dengan anak dan mengikut budaya Melayu supaya ia tidak berlanjutan pada masa akan datang, kata ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Dr. Norraesah Mohamad.

"Pertemuan ini penting kerana isu itu sudah nampak seolah-olah menjadi isu peribadi,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyambut ketibaan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi daripada lawatan rasmi tiga hari ke Afrika Selatan di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini hari ini.

Norraesah yang juga Exco Pergerakan Wanita UMNO berkata, kemelut itu harus ditamatkan segera kerana ia sudah menjadi `tidak sihat' kepada masyarakat dan boleh menimbulkan banyak persoalan serta syak wasangka.

Isu AP timbul apabila Dr. Mahathir mempersoalkan pemberian AP sehingga menjejaskan penjualan kereta nasional dan ekoran isu itu, Kabinet mengarahkan Rafidah menulis surat kepada bekas perdana menteri itu bagi memberikan penjelasan.

Abdullah beri jaminan -- Kerajaan akan dedah segala maklumat mengenai AP
Daripada Wan Zulkifli Wan Yaakob

JOHANNESBURG 27 Julai - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberi jaminan kerajaan akan mendedahkan segala-galanya mengenai permit import (AP) sekiranya masih menimbulkan keraguan, agar tidak tercetus persepsi negatif di kalangan orang ramai.

Perdana Menteri berkata, ini termasuk nama-nama mereka yang memiliki dan tidak memiliki pusat pameran serta mereka yang dikatakan `ditinggalkan' dalam senarai awal yang didedahkan oleh kerajaan baru-baru ini.

Sehubungan itu, beliau meminta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz selaras dengan kedudukannya, memberi perhatian dalam soal itu.

"Saya telah keluarkan senarai sehingga 2005. Ia senarai terkini seperti yang saya tahu. Jika ada lagi maklumat yang diperlukan, kita akan dedahkan semua. Tak perlu kita simpan. Ia akan menimbulkan persepsi negatif di kalangan umum. Itu tidak baik.

"Selama ini saya tidak mempunyai sebarang niat untuk tidak mendedahkan. Jika ada yang ditinggalkan, kita akan dedahkan,'' tegas beliau kepada wartawan Malaysia selepas menghadiri Forum Perdagangan Malaysia-Afrika Selatan di Pusat Konvensyen Inter Continental Sun & Towers, Sandton, di sini hari ini.

Ditanya mengenai dakwaan bahawa Rafidah bercakap tidak benar mengenai senarai awal yang dikatakan lengkap itu, beliau berkata: ``Biarlah Rafidah menguruskan soal itu.''

Rafidah ambil sikap berdiam diri
PRETORIA 27 Julai - ``Allah adalah saksi saya,'' kata Datuk Seri Rafidah Aziz ringkas menjawab dakwaan Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa beliau telah membuat kenyataan tidak benar berhubung isu permit import (AP).

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut dan mengambil sikap berdiam diri.

"Tidak, tidak, saya tidak mahu mengulas mengenainya.''

Apabila didesak, beliau berkata: ``Tanya Pak Lah (Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi).''

AP: Pemuda minta Rafidah beri penjelasan
KUALA LUMPUR 27 Julai - Pemuda UMNO meminta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz memberi penjelasan tentang kekeliruan yang menyelubungi isu permit import (AP) kereta, sekiranya ia benar-benar wujud.

"Saya harap kita dapat satu penjelasan yang terperinci dalam masa yang terdekat,'' kata Naib Ketuanya, Khairy Jamaluddin kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa Pemuda Barisan Nasional (BN), di sini hari ini.

Ditanya mengenai kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa Rafidah telah mengelirukan perwakilan UMNO, katanya, pergerakan itu tidak dapat membuat sebarang pendirian mengenainya.

"Apakah sama ada Rafidah telah misled atau tidak bercakap yang benar kepada kita, kita tak tahu. Kalau betullah dia tidak bercakap benar maka kita tengok apa penjelasan yang hendak diberi oleh Rafidah. Bukan untuk Pemuda UMNO memberi komen tetapi untuk Rafidah (memberi komen),'' katanya.

Semalam, Dr. Mahathir mendakwa Rafidah telah membuat kenyataan yang tidak benar berhubung isu AP semasa memberi penjelasan tentang perkara itu semasa Perhimpunan Agung UMNO, Sabtu lepas.

Penasihat Proton Holdings Bhd itu juga dilaporkan sebagai `tidak gembira dengan penjelasan berhubung kelulusan AP dan perangkaan yang diberikan menteri berkenaan'.

MITI perjelas dasar pemberian AP
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) semalam mengeluarkan kenyataan akhbar bagi menjelaskan perkara-perkara berkaitan dasar pemberian permit import (AP) yang dibangkitkan dalam media massa.

Turut disertakan ialah senarai penuh pemegang AP 2004 dan 2005.

Mengenai kesan import kereta buatan asing dengan harga yang rendah, dari analisis perangkaan 2004, import kereta buatan asing ialah sebanyak 45,580 unit iaitu bersamaan 9.6 peratus daripada jumlah pengeluaran dalam negeri kenderaan penumpang dan komersial.

Angka ini juga merupakan 8.6 peratus daripada 530,035 unit kenderaan yang dipasarkan dalam negeri pada tahun tersebut.

Pengimportan ini tidak menjejaskan pasaran kereta-kereta nasional memandangkan jumlahnya yang kecil iaitu dalam lingkungan tiga peratus yang bersaing dari segi kapasiti enjin dengan kereta-kereta nasional.

`Kenyataan Rafidah tidak benar' -- Kerap berubah beri penjelasan soal AP tanpa asas kukuh - Mahathir
Oleh FAUZI JAAFAR
KUALA LUMPUR 26 Julai - Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz, telah membuat kenyataan tidak benar berhubung isu permit import (AP).

Sebagai contoh, katanya, Rafidah mengeluarkan kenyataan yang sentiasa berubah-ubah mengenai jumlah serta peratusan AP tanpa sebarang asas yang kukuh sehingga ia kelihatan seolah-olah satu misteri.

Bekas Perdana Menteri yang juga Penasihat Proton Holdings Bhd. itu melahirkan rasa `tidak gembira' dengan penjelasan kelulusan AP dan perangkaan-perangkaan yang diberikan oleh menteri berkenaan pada Perhimpunan Agung UMNO, Sabtu lalu.

Buatlah kesimpulan sendiri, inilah kepimpinan yang telah diberikan mandate begitu lama untuk terus memimpin Negara. Apakah selayaknya ada kepimpinan seperti untuk berterusan memimpin Negara?

Selamat berjumpa lagi, InsyaAllah.

Pak Ngah - 31.07.2005 (M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat:
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN CARA MUDAH melakukan sumbangan.