KERANA NYAMUK, KELAMBU YANG DIBAKAR
BUAT DAHULU ANALISIS KAJIAN KEMUDIAN
Oleh Pak Ngah - Laman M@RHAEN
Tak ubah-ubah juga, masih di takuk lama macam kata orang tua-tua dulu-dulu, kerana marahkan nyamuk, kelambu yang dibakar. Tak kan kerana orang kaya yang minoriti tu, nak dikorbankan pula rakyat terbanyak. Inilah yang terjadi kepada DS Dr Lim Keng Yaik seperti mana petikan kenyataan berikut.

Manakala, macam yang lalu juga, buat dahulu kemudian dah jelas nanti akibat buruknya baru nak buat analisislah, kajianlah dan berbagai dogengan kosong. Perhatikan petikan yang seterusnya selepas petikan Lim Keng Yaik.

Tarif elektrik akan naik -- Kadar baru tidak bebankan pengguna berpendapatan rendah
Oleh FAUZI JAAFAR
KUALA LUMPUR 2 Ogos - Kerajaan akan mengumumkan struktur baru kadar tarif elektrik dalam tempoh terdekat ekoran kenaikan harga minyak dunia.

Bagaimanapun, kerajaan memberi jaminan kadar baru itu tidak akan membebankan pengguna berpendapatan rendah dan pengguna berhemat.
Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik memberitahu, kadar tarif elektrik negara tidak disemak semula sejak 10 tahun lalu.

Tarif elektrik yang rendah sekarang, katanya, menyebabkan ada orang kaya memasang pendingin hawa di stor rumahnya, tempat menyimpan wain dan cerut.

"(Kadar tarif baru itu akan diumumkan) secepat mungkin, tidak mungkin pada tahun hadapan kerana ia terlalu lama,'' kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Program Perkembangan Kompetensi dan Keselamatan (CDP) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Bila dah kena batang hidung sendiri...
Teguran bukan bermaksud mahu program realiti TV dihentikan
KUALA LUMPUR 2 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tegurannya terhadap program hiburan realiti yang disiarkan menerusi stesen televisyen tempatan bukan bermaksud beliau mahukan rancangan seperti itu dikurang atau dihentikan.

Sebaliknya, Timbalan Perdana Menteri mahu rancangan seperti itu diolah dengan cara yang sesuai mengikut nilai dan cita rasa negara.

Ini kerana beliau menyedari program hiburan realiti seperti itu mempunyai ramai pengikut dan pertimbangan komersial yang besar.

"Tetapi mereka mesti juga mengambil kira hasrat kita, untuk membina sebuah negara, bangsa, yang sesuai dengan cita rasa kita, mengikut kehendak kita, ikut acuan kita sendiri,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menerima kunjungan hormat Panglima Angkatan Tentera Indonesia dan Singapura serta Timbalan Komander Tertinggi Tentera Thailand di pejabatnya di Kementerian Pertahanan, di sini hari ini.

Semalam, Najib berkata, kerajaan memandang serius kemunculan rancangan-rancangan hiburan realiti di stesen-stesen televisyen yang dikhuatiri boleh mengancam budaya masyarakat Timur dan meruntuhkan akhlak rakyat.

Ini merupakan pendirian rasmi pertama kerajaan berhubung rancangan hiburan realiti yang kini sudah menjadi trend di kalangan stesen-stesen televisyen swasta di negara ini.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri mengingatkan stesen-stesen televisyen tempatan supaya tidak terlalu didorong oleh pertimbangan komersial dan pasaran semata-mata sehingga mengabaikan soal etika dan moral rakyat.

Kebimbangan Najib itu mempunyai asas memandangkan hampir kebanyakan idea dan konsep program hiburan realiti di negara ini dicedok dari luar negara.

Ini termasuklah Akademi Fantasia yang menggunakan format sebuah program televisyen popular dari Mexico, La Academia dan Mencari Cinta berdasarkan program Bachelor Lorette.

Kedua-dua siri realiti tersebut diterbitkan oleh Astro dan TV3.

Najib berkata, penerbit rancangan-rancangan hiburan realiti di stesen televisyen perlu mengambil kira nilai serta aspirasi nasional dalam rancangan terbitan mereka.

Tegasnya, ini penting kerana ia selari dengan hasrat kerajaan untuk membina sebuah negara dan bangsa mengikut acuan sendiri.

Jangan terperangkap `zon memabukkan'
Oleh: NORLIZAH ABAS
PULAU PINANG 2 Ogos - Para cendekiawan menyeru masyarakat terutama golongan muda agar tidak terperangkap dalam `zon memabukkan' termasuk yang dibawa oleh program-program realiti televisyen yang kini semakin hangat melanda negara.

Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Dzulkifli Abdul Razak berkata, ia dikhuatiri akan menghakis sifat-sifat kemanusiaan dan kerohanian menyebabkan manusia tidak lagi berpegang kepada nilai-nilai tradisional yang kaya dengan budi bahasa.

Menurutnya, `zon memabukkan' itu akan mewujudkan budaya hedonistik yang menyebabkan masyarakat tenggelam dalam perkembangan teknologi.

"Program realiti televisyen yang semakin banyak disajikan kepada masyarakat menyebabkan golongan remaja sanggup menghabiskan masa dan wang semata-mata untuk `tenggelam' dalam dunia keseronokan,'' katanya.

Persoalan yang ingin ditimbulkan di sini, siapakah yang perlu dipertanggungjawabkan? IBU BAPA, MENTERI PENERANGAN, TIMBALAN MENTERI PENERANGAN, SETIAUSAHA KEMENTERIAN PENERANGAN, TIMBALAN PERDANA MENTERI ATAU PERDANA MENTERI, ATAU PUN MAJLIS FATWA, MUFTI MUFTI ATAU ISLAM HADHARI. Jawapannya jelas secara sedar ramai rakyat telah tahu tetapi masih ramai lagi yang masih terus memberikan mandate dan simpati kepada pemerintah yang lemah dan tiada daya saing tulen serta tanpa keikhlasan membimbing rakyat agar selamat dunia dan akhirat.

Selamat berjumpa lagi, InsyaAllah.

Pak Ngah - 04.08.2005 (M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat:
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN CARA MUDAH melakukan sumbangan.