Kerajaan BN/Umno
Gagal Tangani Masalah Bunuh & Rogol Kanak-kanak
Takziah buat keluarga Abdul Ghani Juni dan isteri atas kehilangan puteri kesayangan mereka Allahyarham Nurul Huda Ghani, 10
, semalam di Kampung Pekajang, Tanjung Kupang, Gelang Patah, Johor. Tiada kata yang dapat menggambarkan kesedihan yang dirasai keluarga ini. Yakinlah bahawa sesungguhnya apa yang terjadi adalah ketentuan dari Allah.

Ini adalah kes rogol dan bunuh yang kedua dalam masa 10 hari, di mana kejadian sebelum ini adalah di Kampung Ratau, Menggatal, Kota Kinabalu yang juga melibatkan kanak-kanak sekolah yang juga berumur sepuluh tahun.

Kes rogol dan bunuh kanak-kanak sekolah sejak kebelakangan ini makin menjadi-jadi dan menggemparkan masyarakat. Sesungguhnya perkara ini sudah sampai ke peringkat yang kronik, yang memerlukan tindakan segera. Dalam konteks ini kita janganlah melihat pada penyelesaian kes Allahyarham Nurul Huda sahaja, tetapi tindakan kerajaan ‘negara Islam’ untuk menyelesaikan masalah ini daripada berulang.

Setiap kali ia berlaku, pemimpin negara, ‘ustaz-ustaz’ kerajaan dan orang ramai akan ditemubual untuk memberi pendapat mereka. Rata-rata setuju dengan hukuman rotan dan bunuh di khalayak ramai. Janganlah kes ini dilihat ringan oleh kerajaan, kalau kena anak Datuk atau Menteri baru nak bertindak dengan serius seperti kes remaja pelumba haram yang memukul seorang Datuk Umno di Kedah.

Hingga hari ini pihak polis telah menubuhkan satu kumpulan khas yang akan merisik dan memantau kegiatan pelumba haram di setiap negeri! Kita sebagai rakyat mengucapkan syabas kepada ke’serius’an pihak polis dalam perkara ini. Kita juga mengharap perkara yang sama supaya kerajaan dapat menubuhkan suatu badan yang akan mengkaji peruntukan untuk dilaksanakan hukuman di khalayak ramai dalam kejadian bunuh ini. Kebetulan tragedi ini berlaku di negeri Johor Darul Umno. Berikan keadilan ‘bunuh balas bunuh’ kepada keluarga saudara Abdul Ghani Juni.

Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah Fadzil Hanafi sudah memberi pendapatnya, begitu juga Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Datuk Dr. Ismail Ibrahim, Bekas Imam Besar Masjid Putrajaya, Tan Sri Abdul Kader Talib, Pensyarah Fakulti Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Hashim Yahya, Melayu, India, Cina juga puteri Umno rata-rata bersetuju bahawa hukuman yang dipraktikkan sekarang secara tertutup tidak memberi sebarang kesan pada masyarakat.

Mereka bersetuju pelaksanaan hukuman hendaklah dibuat di khalayak ramai, yang sudah tentu akan menjadi pengajaran kepada masyarakat. Sedar atau tidak, itulah yang dituntut oleh Islam melalui hukum Hudud. Hukum Hudud itu sendiri berkonsepkan pengajaran pada pesalah juga masyarakat. Ia bukanlah bertujuan untuk menyiksa si pesalah. Tapi itulah yang dimomok oleh Umno, bahawa hudud itu zalim, ketinggalan zaman dan sebagainya.

Pembangkang sudah tentu mereka tak akan siarkan temubualnya, kecuali saudara Lim Kit Siang itu pun di bawah sekali. Laporannya seperti berikut ‘Dalam pada itu, Pengerusi DAP, Lim Kit Siang di dalam satu kenyataan hari ini berkata, kejadian terbaru itu menunjukkan tahap keselamatan awam di negara ini semakin menurun’.

Komen TPM proksi pula adalah seperti berikut: “Kalau mereka masih anak-anak kecil, dia mesti sentiasa berada di sisi orang dewasa atau yang lebih tua. Jangan benarkan mereka berada di luar rumah tanpa pengawalan,'' tegasnya. Katanya, walaupun kerajaan akan berusaha untuk menangani masalah itu tetapi ibu bapa juga perlu sentiasa beringat dan mengawal anak masing-masing.

Adakah ibu bapa 100% bersalah sekiranya kejadian seperti di atas berlaku? Kejadian di atas berlaku hanya 100 meter dari rumah mangsa! Dan komen Lim Kit Siang adalah tepat sekali, iaitu tahap keselamatan awam di negara ini semakin menurun. Kalau PM pergi shopping juga perlu pada pengawal peribadi, begitulah juga rakyat yang juga perlukan ‘pengawal’ iaitu kerajaan. Kerajaan yang berusaha untuk menjamin keselamatan rakyat dari ketakutan dengan Undang-undang Allah.

Kerajaan BN/Umno gagal menjadikan pemimpin takut pada Allah. Kerajaan BN/Umno gagal menjadikan rakyat takut pada Allah. Kerajaan BN/Umno gagal menjadikan perasuah takut pada Allah. Kerajaan BN/Umno gagal menjadikan pembunuh takut pada Allah. Kerajaan BN/Umno gagal menjadikan perogol takut pada Allah.

Tapi, Kerajaan BN/Umno berjaya takutkan rakyat dengan hukum hudud Allah. Kerajaan BN/Umno berjaya takutkan rakyat dengan ceramah BA. Kerajaan BN/Umno berjaya takutkan rakyat dengan Undang-undang ciptaan manusia ISA, OSA … dan berbagai ketakutan lagi.

Sebagai kesimpulannya kerajaan BN/Umno telah gagal mengurangkan kadar jenayah di Malaysia. Kempen-kempen mereka hanyalah gula-gula untuk mereka mempertahankan kuasa mereka. Hari ini, rakyat akan terus dibelenggu kerisauan dengan keselamatan anak-anak mereka. Tragedi pembunuhan adalah hasil dari tangan-tangan manusia yang gagal dikawal oleh Undang-undang manusia. Hanya Islam yang boleh menyelamatkan manusia dari kezaliman ini.

- Panaurama.com - 19.01.2004 (suntingan M@RHAEN)

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN