Projek Khidmat Masyarakat oleh M@RHAEN
Bahagian Keempat

PASTI: PROGRAM PASTI


A) Program Bengkel Pembinaan Buku Teks 6 Tahun

Preview Bengkel:
Bengkel ini adalah lanjutan bengkel ketiga pembinaan dan penghasilan buku teks PASTI Pusat untuk murid-murid PASTI 6 tahun. Pertemuan kali pertama dan kedua diadakan pada tahun lalu di De Palma Inn KLIA Sepang pada bulan April dan bulan Julai di Concorde Inn KLIA. Seramai 20 panel penulis dari kalangan tenaga pendidik profesional dan guru pakar PASTI Pusat akan berhimpun dan menghasilkan draf terakhir buku teks dan latihan PASTI. Menjadi polisi PASTI Pusat bahawa buku teks PASTI Pusat diganti setelah buku teks diguna-pakai untuk tempoh lima tahun. Ini bertujuan bagi mengikuti perkembangan semasa pendidikan agar seiring dengan kemajuan penemuan-penemuan terbaru dalam kaedah pendidikan dan teknologi pendidikan. Input-input baru ini diintegrasikan dalam penghasilan buku teks PASTI bagi mencapai Falsafah Pendidikan Negara (FPN), Falsafah Pendidikan Islam (FPI) dan Falsafah Pendidikan PASTI. Draf terakhir ini akan dimurnikan dan dihantar untuk tujuan pengeditan dan penghasilan grafik teks.

Setelah sempurna, dijangka satu pembentangan prototaip Buku Teks PASTI 6 Tahun akan diadakan oleh unit yang sama pada 18 & 19 Mei 2002 di Melaka dalam satu program yang dinamakan "Bengkel Penilaian Buku Teks PAST1 6 Tahun." Tokoh-tokoh pendidik dan pensyarah-pensyarah berpengalaman dalam Pendidikan Pra-Sekolah akan diundang khas untuk menilai dan membuat komentar terhadap mutu kandungan buku teks dan konsep penghasilan buku teks kali ini. Buku Teks PASTI 6 Tahun meliputi mata pelajaran Bahasa Melayu (Teks & Latihan ), Bahasa Inggeris (Teks & Latihan), Bahasa Arab (Teks & Latihan), Matematik (Teks & Latihan) Jawi (Teks & Latihan ), Sirah (Teks), Pendidikan Sains Sosial dan Pembangunan Insan (Teks) dan Pengenalan Asas Komputer (Teks) akan diterbitkan. Buku-buku ini akan dilancarkan dalam Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat yang dijangka pada penghujung Mei tahun 2002 yang akan disempurnakan oleh Tim. Presiden PAS Pusat iaitu YB Dato Seri Tn Guru Hj Abdul Hadi Awang, Menteri Besar Terengganu.

B) Program 'Seminar Pemantapan Kurikulum Latihan Guru Pakar PASTI Pusat dan Kurikulum PASTI"

Preview seminar:
Seminar ini diadakan bertujuan untuk menyemak dan memurnikan semula Kurikulum Lathan Guru Pakar dan menghasilkan modul latihan guru pakar yang lebih komprehensif dan objektif untuk menghasilkan guru pakar yang benar-benar berwibawa dan cemerlang dalam pengurusan kurikulum dan ko-kurikulum. Selain itu, penghasilan modul latihan ini akan memberi garis panduan kepada moderator dan fasilitator yang terlibat menjayakan latihan guru pakar ini agar pengisian latihan menepati objektif latihan seperti yang digariskan oleh PASTI Pusat. Selain itu peserta seminar ini juga turut terlibat merangka kurikulum khas iaitu Kurikulum PASTI Bestari selain menyemak dan memurnikan kembali Kurikulum PASTI i 6 Tahun dan Kurikulum PASTI 5 Tahun. Pemantapan kurikulum latihan perguruan dan kurikulum PASTI penting, supaya berlaku anjakan paradigma yang lebih menyeluruh dalam kemajuan PASTI yang semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat. Dijangka draf yang dihasilkan ini akan dijadikan Buku Panduan (Hand Book) yang lebih sempurna cetakannya dan akan dibekalkan kepada seluruh unit di bawah kelolaan PASTI Pusat, Negeri, Kawasan Dan Cawangan.

c) Program "Kursus Penyediaan Hand Book Pengajaran Guru PASTI Pusat"

Preview Kursus:
Kursus ini diadakan bertujuan untuk menghasilkan satu buku panduan lengkap pengajaran guru berdasarkan kurikulum dan buku teks PASTI yang dibina oleh pakar-pakar pengajaran di kalangan unit kurikulum dan majlis guru. Buku panduan pengajaran atau hand book ini penting bagi memandu guru-guru untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran yang baik di PASTI. Guru-guru atau mualimah-mualimah PASTI boleh mendapatkan gambaran bagaimana untuk melaksanakan sesuatu pengajaran sama ada bidang kepakarannya sendiri atau mata pelajaran yang bukan kepakarannya. Buku ini juga memuatkan pelbagai kaedah teknik, alat bantu mengajar yang autentik untuk diintegrasikan dalam pengajaran di bilik darjah. Kepelbagaian suasana, kaedah dan teknik pengajaran ini dijangka mampu merangsang minat murid-murid dan menggalakkan mereka banyak terlibat dalam proses kemahiran berfikir. Penyerapan unsur-unsur pendidikan Islam mewarnai pengajaran yang diintegrasikan dengan bahan-bahan pengajaran terpilih.

PASTI:
Bahagian Pertama: Benarkah tuduhan yang mengatakan PASTI....
Bahagian Kedua: Sejarah Pusat Asuhan Tunas Islam
Bahagian Ketiga: Falsafah dan Organisasi
Bahagian Keempat: Program PASTI
Bahagian Kelima: Kurikulum PASTI
Bahagian Keenam: Kedudukan PASTI di sudut Undang-undang (Akhir)
(dipetik daripada Berita PASTI - Edaran Khas Februari 2002)


FREE - An online program to make a huge income. more info
Click Here!