AJK Rukun Tetangga Kg Paya Sangkal Dakwaan
Pak Haji UMNO Anjur Karaoke

Assalamualaikum..

Merujuk kepada artikel tuan bertarikh 12/8/03 bertajuk 'Pak Haji Umno Kampung Paya Anjur Karaoke!', di sini saya ingin membuat beberapa pembetulan.

Semoga kita tidak dilaknati Allah di akhirat kelak kerana memilih jalan untuk memfitnah orang yang tidak bersalah. Untuk pengetahuan pihak tuan, saya adalah salah seorang AJK Rukun Tetangga Kg Paya, di mana di dalam Rukun Tetangga ini, AJKnya terdiri dari perbagai kaum dan kami tidak mempunyai fahaman politik yang sama. Masing-masing punya hak untuk memilih fahaman politik tanpa ada sebarang prejudis serta sifat dengki-mendengki. Ini adalah kerana kami fikir ianya baik untuk perjalanan aktiviti di bawah anjuran Rukun Tetangga. Di dalam mesyuarat bulanan, kami telah memutuskan untuk membuat beberapa aktiviti yang mana ianya melibatkan semua kaum di Malaysia, selaras dengan objektif rukun tetangga itu sendiri iaitu untuk mengujudkan perpaduan kaum di Malaysia.

Soal Pas, Umno, Dap atau apa saja tidak timbul, cuma sebagai rakyat malaysia kami ingin melihat negara kita bersatu padu di antara semua kaum. Jadi pecahan aktiviti telah kami buat iaitu untuk kaum Melayu, kami akan anjurkan aktiviti seperti gotong-royong membersih masjid, jamuan berbuka puasa, dll. AJK bangsa Cina pula menganjurkan aktiviti mereka sendiri dan antaranya ialah karaoke. Kami juga menganjurkan aktiviti seperti jamuan rakyat, gotong-royong membersih kampung, bengkel motivasi dan sebagainya. Ingin saya jelaskan di sini yang Umno tidak terlibat langsung dengan pertandingan karaoke ini, ini kerana pertandingan karaoke ini adalah anjuran Rukun Tetangga dan pengerusi pertandingan ini adalah seorang AJK Rukun Tetangga berbangsa Cina. Kami, beberapa AJK berbangsa Melayu sendiri tidak terlibat langsung dengan pertandingan tersebut, apatah lagi beberapa Haji yang tuan sebutkan di dalam artikel tersebut.

Janganlah kita terlalu taksub dengan fahaman politik kita hinggakan apa saja yang tidak baik di mata kita, kita akan menunding jari ke arah orang yang tidak sama fahaman politik dengan kita. Saya difahamkan di dalam khutbah jumaat juga, perkara ini telah disebut beberapa kali, sedangkan imam tersebut tidak langsung berjumpa dan bertanya kami AJK Rukun Tetangga tentang perkara tersebut. Bagi saya sebagai seorang muslim yang sejati, hendaklah kita duduk mesyuarat dan berbincang dahulu sebelum mengeluarkan sesuatu fakta yang boleh menjatuhkan aib saudara semuslim kita sendiri.

Mengenai ketidakhadiran haji-haji tersebut di masjid Tengah, ingin saya tegaskan di sini, saya berharap dan berdoa kepada penulis artikel tersebut supaya jenguk-jenguk jugalah di surau-surau terpencil di Kampung Paya, kerana sudah lama surau itu sunyi dari jemaahnya. Kalau anda mengejar glamour sembahyang di masjid yang besar dan cantik itu, janganlah anda lupa masih ada insan yang masih sudi mengimamkan solat waktu di surau usang tersebut!!! Saya tidak berani untuk mempersoalkan mengenai penerimaan Allah terhadap ibadah kita, kerana semuanya adalah kehendakNYa tetapi saya fikir Allah tidak menilai dengan di mana kita beribadat samada di surau usang atau di masjid cantik, yang penting adalah iman di hati kita sendiri....

Kepada penulis artikel berkenaan saya memohon supaya berilah contoh terbaik buat kami generasi muda ini untuk menjadi insan yang terbaik dan janganlah melemahkan semangat kami untuk berjuang dengan perbuatan serta tindak tanduk anda ini..

Sekian, yang baik adalah dari Allah semata-mata, dan yang buruk adalah dari kelemahan saya sendiri.

Wassalam....
Kiriman: Khalid - 14.08.2003.


Tapak Cerminan M@RHAEN http://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com

Click Here!