Ahmad Lutfi kembali bersama Siasah

Apabila Harakah mengiklankan sebuah tabloid baru, Siasah, akan muncul di pasaran 5 Ogos 2005, saya segera mencari siapa editornya, walaupun sudah dapat meneka bila melihat penulis tamunya, dan emel di bahagian bawah iklan itu, lutfi_detik@yahoo.com.
 
Lebih penting bagi saya, editornya, Ahmad Lutfi Othman, boleh dianggap sudah pulih sepenuhnya daripada masalah kesihatan yang menganggunya sejak tiga tahun lalu. Kalau tidak, masakan Lutfi sanggup bergelumang semula dengan dunia kewartawanan alternatif yang saya tahu tidak mudah untuk ditangani.
 
Sebagai peminatnya dari jauh saya bersyukur kerana keuzurannya yang menghalang aktiviti penulisannya selama ini sudahpun berakhir. Moga beliau dikurniakan kesihatan baik yang berkekalan, insya-Allah.
 
Lutfi, saya fikir cuba mengemukakan kelainan, dengan tidak lagi menumpukan isu-isu politik yang bertembung dengan kerajaan Umno-BN semata-mata. Banyak sudut atau skop baru yang sedia diterokainya. Saya doakan percubaannya itu akan berjaya dan diterima oleh pembaca seadanya. Saya kira kita harus beri ruang kepada Lutfi membuka dimensi baru persuratkhabaran negara ini, terutama yang dikelaskan sebagai akhbar nyamuk.
 
Saya belum meneliti kandungan Siasah sepenuhnya, tapi sepintas lalu, berdasarkan persembahan reka-bentuknya saya percaya Siasah boleh pergi lebih jauh lagi. Cuma saya pinta isu-isu yang lebih santai dapat diperbanyakkan tanpa mengurangi kelebihan Lutfi dalam hal-hal politik semasa. Beri lebih ruang kepada isu-isu dalaman Umno, MCA juga Gerakan. Biar orang politik merasakan Siasah adalah gelanggang terbaik untuk mereka mendapat maklumat dan analisis terkini dan mantap.
 
Saya akan memberikan komen lebih lanjut tentang akhbar Siasah ini nanti, selepas saya cuba menghadam segala yang terkandung di dalamnya, insya-Allah.

Kiriman: suratanda1@yahoo.com 05.08.2005 (M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat:
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN CARA MUDAH melakukan sumbangan.