Dari Sidang Pengarang Akhbar Cina (Sin Chew): 
Masa Depan Yang Kian Malap


Membaca ucapan Ketua Pemuda UMNO, Hishamuddin, jantung saya berdegup pantas, diikuti dengan perasaan marah dan kemudiannya rasa sedih yang tidak terkata.

Jantung saya berdegup laju kerana syarahan berfikiran sempit dan berbentuk perkauman yang sudah tidak lama kedengaran tiba-tiba berkumandang semula hari ini seperti pontianak yang kembali menghantui mangsanya.

Marah, kerana sayap pemuda parti yang menjadi tulang belakang dalam politik negara sepatutnya penuh bersemangat serta bertenaga, dan pandangan mereka seharusnya progresif dan meluas. Namun, realitinya pandangan mereka adalah singkat, tidak ideal serta tidak berwawasan, dan ia mengheret orang yang mendengarnya ke satu jalan buntu.

Sedih, kerana selepas Dasar Ekonomi Baru dihentikan sedekad lalu, negara menghadapi beberapa masalah untuk berkembang maju. Walaupun hasilnya tidak memuaskan, sekurang-kurangnya ada sesuatu yang boleh diharapkan oleh rakyat Malaysia. Tetapi jika kita berpatah balik sekarang, bukan sahaja usaha kita pada masa lepas akan menjadi sia-sia, malah masa depan negara juga akan tenggelam dalam lautan globalisasi.

Dalam ucapannya yang paling kritikal itu, Hishamuddin sepatutnya meluahkan sesuatu yang lebih rasional. Contohnya, dia boleh berucap mengenai naib presiden yang dipecat kerana politik wang; rakannya yang pernah menjadi ketua menteri yang mempunyai hutang judi berjuta-juta ringgit; atau mengenai ketua Wanita yang juga rakan sekabinetnya yang terlibat dalam skandal AP. Sebagai seorang pemimpin generasi baru, dia seharusnya meluahkan ketidakpuasan hatinya dengan isu-isu tersebut, serta penyelesaiannya ke arah perubahan.

Dia tidak berbuat demikian. Dalam ucapannya, dia tidak menyebut satu pun daripada isu di atas.

Hishamuddin boleh membangkitkan isu-isu lain yang sedang dihadapi oleh masyarakat Melayu, seperti mentaliti kebergantungan terhadap kerajaan, daya saing yang lemah, kemiskinan, penagihan dadah, AIDS dan topik-topik lain yang lebih serius untuk dibincangkan bagi mendapatkan jalan penyelesaiannya.

Dia tidak berbuat demikian. Baginya isu-isu tersebut adalah kecil dan tidak berbaloi untuk disebutkan.

Hishamuddin juga boleh membuat perbincangan bernas tentang cabaran yang dihadapi oleh orang Melayu di era globalisasi, dan memberikan pandangannya tentang agenda-agenda utama seperti daya saing, keganasan, penyusunan kaum serta perubahan ekonomi.

Dia tidak berbuat demikian. Dia mengabaikan isu-isu penting ini serta melepaskan peluang yang mungkin boleh membantunya menaikkan imej serta kepimpinannya.

Sebaliknya, dia memilih untuk menyentuh isu perkauman yang sempit dalam usahanya untuk menonjolkan imejnya sebagai seorang pemimpin pemuda dan peneraju negara pada masa depan.

Dia menekankan tentang pembahagian ekuiti kepada bumiputra. Dia mahu orang Melayu mendominasi semua sektor ekonomi utama. Dia mahu merealisasikan agenda Melayu. Walaupun ia hanya merupakan gimik politik yang popular pada tahun 70an, sebagai seorang pemimpin pemuda Melayu yang elit, Hishamuddin sekali lagi telah mempersembahkan pusaka itu di atas pentas perhimpunan UMNO.

Tiga puluh tahun dahulu, kita masih memiliki sedikit sumber sosial, termasuk apa yang kita warisi daripada penjajah kita dahulu, dan kita masih lagi mampu untuk membuat beberapa peruntukan serta pengagihan. Tambahan pula, pada masa itu kita hidup dalam masyarakat yang kurang liberal serta tanpa permusuhan serta cabaran yang kuat daripada luar. Akibatnya, walaupun Dasar Ekonomi Baru mungkin merupakan perkara yang tidak dapat diterima oleh sesetengah pihak, kita tetap bersabar dengannya. Dan kita memang telah bersabar dengannya.

Tetapi hari ini, apa yang boleh diperuntukkan telah pun diperuntukkan, dan tiada apa lagi yang tinggal untuk diagihkan lagi. Ditambah dengan cabaran yang hebat daripada pesaing dari luar, ini hanya akan menjahanamkan lagi negara ini jika kita membenarkan pontianak DEB kembali menghantui kita.

Adakah orang bukan bumiputera mempunyai syer dalam setiap sektor yang disebut oleh Hishamuddin – daripada industri automobil hinggalah kepada industri petrokimia? Apa lagi yang tinggal untuk diagihkan?

Hishamuddin sepatutnya sedar tentang ini, tetapi memandangkan dia sekarang adalah seorang ahli politik, maka dia perlu untuk mencari jalan keluar yang mudah baginya.

Lebih sepuluh tahun dahulu, Hishamuddin muncul dalam kancah politik negara sebagai seorang pemuda Melayu elit. Dia pernah menjadi seorang pemuda yang penuh yakin, pandangannya yang jauh serta cita-cita yang hebat. Ramai orang memandang tinggi kepadanya, dengan harapan dia akan meniupkan semangat baru ke dalam UMNO dan masyarakat Melayu.

Tetapi Hishamuddin yang dulu sudah hilang. Hishamuddin yang ada hari ini adalah yang baru kita lihat.

Jika Hishamuddin mewakili masa depan negara, maka masa depan itu sudah mula malap.

Kiriman: MTua 06.08.2005 (M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat:
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN CARA MUDAH melakukan sumbangan.