Sekadar Renungan....
Perbandingan Antara Dua Negara
Oleh Pemerhati Politik Baru
 

Ada dua negara yang diperintah oleh dua kerajaan. Negara pertama diperintah oleh seorang raja yang warak, alim dan adil. Baginda mempunyai sistem pemerintahan yang benar-benar berlandaskan ajaran Allah yang suci - Islam. Visi dan misi ialah ketaatan kepada Allah dan Rasul demi kesejahteraan umat dunia dan akhirat. Berpaksikan hukum Allah dan sunnah Rasul, baginda membina empayarnya dengan saksama; dibantu oleh barisan menteri yang celik agama dan politik kenegaraan serta mempunyai prinsip yang teguh 'menegakkan makruf dan mencegah yang mungkar'. Dari segi pelaksanaan undang-undang, mereka berpegang pada 'kami dengar dan kami patuh'. Ini bermakna apa jua arahan dari pihak raja akan mereka laksanakan sebaik mungkin asalkan semua arahan itu tidak menyimpang daripada agama Islam.

Saban siang, kesemua mereka menjalankan urusan pemerintahan dengan bersungguh-sungguh kerana menyedari bahawa mereka dipikulkan dengan satu tanggungjawab yang amat berat iaitu sebagai khalifah Allah di muka bumi. Mereka bertanggungjawab di atas apa jua tindakan yang dilakukan. Kepentingan sendiri mereka ke tepi kerana mengutamakan hak dan kepentingan rakyat jelata. Oleh sebab Sang Raja mempunyai stail pentadbiran yang benar-benar telus dan lurus, maka kesemua barisan menteri, kakitangan awam dan juga swasta serta rakyat amnya memberikan sokongan padu menjayakan segala projek kerajaan sehingga negaranya sangat dihormati kerana kejayaan yang amat cemerlang dalam semua aspek kehidupan sama ada berbentuk ukhrawi atau duniawi. Kesemua tenaga kerja menyumbang ke arah menjayakan negara Islam sehinggakan doktor, peguam, peniaga, guru, arkitek, engineer, pegawai kerajaan dan lain-lain pekerja bersatu dalam menyempurnakan aspirasi Islam.

Pada malamnya pula, raja dan para menteri bangun mengerjakan solat tahajjud, meminta istighfar dan petunjuk dari Allah dalam menjalankan tugas yang dipikulkan ke atas mereka. Siang mereka bersama manusia, malamnya bersama Allah Pencipta sekalian alam.

Kejayaan dan kecemerlangan negara amat terserlah.  Yang kaya menjadi bank kepada yang miskin, yang kuat menjadi pelindung yang lemah, yang mulia menjadi naungan kepada yang hina dan yang alim menjadi pemimpin yang jahil. Etika sosial begini menjadi asas kepada kejayaan negara keseluruhan. Pembangunan berjalan dengan pesat meskipun tiada projek mega yang membebankan rakyat. Taraf pendidikan begitu maju dengan menekankan aspek fardhu 'ain terlebih dulu sebelum fardhu kifayah. Dalam bidang sosial pula, tidak terdapat golongan manusia yang bertuhankan kebendaan. Masalah jenayah, maksiat dan budaya lepak hampir tiada. Kecurian, penzinaan, rasuah dan penyalahgunaan kuasa hampir tidak wujud di dalam kamus mereka. Pasukan polis dan askar amat mudah menjalankan tugas. Begitu juga dalam bidang ekonomi, negara menjadi kaya walaupun tidak mengamalkan sistem riba'.

Pendek kata, berkat ketaqwaan dan kepatuhan kepada Allah, negara ini menjadi contoh teladan kepada negara lain seantero dunia. Allah meredhai pemerintahan raja yang menjadikan dirinya sebagai role model pemimpin yang adil. Sebagai balasan, negaranya berkat dan mendapat pengampunan dan keredhaan Allah 'Baldatun Thaiibatun Wa Rabbun Ghafur' - negara yang baik dan berkat serta mendapat pengampunan Allah. Raja negara ini berjaya membawa rakyat ke mercu kejayaan dunia dan akhirat.

Sebuah negara lagi adalah sebaliknya. Mempunyai pemerintah yang zalim. Menteri-menterinya juga ikut zalim dan rakus kuasa. Sesiapa saja yang cuba mendirikan keadilan akan dihukum dan tidak sesuai berada di dalam barisan menterinya. Harta negara dibahagi sesama mereka tanpa mempedulikan hak rakyat jelata. Hak dan harta rakyat menjadi hak mereka diambil dengan sewenang. Kebajikan rakyat dan orang bawahan tidak dijaga baik, sebaliknya pendokong kerajaan dan juga para korporatnya begitu ditatang seperti menatang minyak penuh. Nama baik negara dijaga dari pandangan antarabangsa meskipun tidak diperkenankan oleh rakyat jelata. Projek mewah yang langsung tiada kaitan dengan kepentingan orang bawahan begitu serius dijaga; sehingga mengorbankan kepentingan jelata.

Oleh sebab prioriti adalah untuk menegakkan ekonomi negara, maka soal lain menjadi perkara kedua yang tidak begitu penting dan tidak diberikan keutamaan. Sikap pemimpin ini menjadi ikutan orang bawah. Akhirnya matlamat hidup sebagai hamba Allah kian pupus. Manusia hidup untuk benda. Para korporat dibela. Rakyat jelata yang menaikkan mereka dibiarkan saja. Agama katanya masalah peribadi. Lahirlah satu generasi rakyat yang kosong jiwa walaupun kaya harta. Kerana mengejar benda, manusia lari dari Allah, tidak lagi melakukan solat 5 waktu. Amar makruf dan nahi mungkar tidak lagi jadi pegangan. Surau dan masjid semakin terpinggir walaupun tersergam dibina macam istana. Masjid dihias dan diceriakan tapi ke mana pergi jemaahnya? Yang dewasa mula longgar agama. Anak-anak mereka tidak dijaga. Larilah mereka dari rumah menurut rakan sebaya. Budaya mereka berfoya-foya. Amal ibadat jadi persendaan. Ulama dan nabi dikatakan tipu daya.

Orang kaya semakin mengada, orang miskin pula kian melata. Kepada siapa ingin mengadu? Sang Menteri tidak ambil tahu. Orang ramai semakin menderita. Dunia mereka tidak dijaga. Akhirat pula dipandang hina. Akhirnya rugilah mereka kedua-dua. Sang Menteri tidak peduli apa berlaku pada remaja. Ramai melepak tak tentu hala. Pegangan agama tidak diambil kira. Sang Ulama dan Nabi dipandang hina. Tindakan mereka menjemput bala. Negara menuju saat kehancuran. Tapi menteri masih mendabik dada kononnya mereka membawa negara ke mercu jaya.

Benar sekali kata hukama, barang siapa mengejar dunia, dunia akan terus lari. tetapi barang siapa yang mengejar akhirat, mereka akan perolehi keduanya.

- Pemerhati Politik Baru - 10.10.2003 (suntingan M@RHAEN)


Mulai sekarang anda mempunyai lebih pilihan untuk melayari Laman M@RHAEN:
Tapak Utama:http://marhaen.internations.net
Tapak Utama versi baru: http://marhaen1.web1000.com
Portal sokongan interaktif & mesra-pengguna: http://marhaen.portal.dk3.com/
Blog kembaran M@RHAEN (GOBLOK) 1: http://goblok.blog-city.com/
Blog kembaran M@RHAEN (BLOGKU) 2: http://blogku.dk3.com/
Selain itu, anda boleh terus melayari Laman M@RHAEN di tapak-tapak sokongan/cerminan asal.
~ Sila cetak dan sebarkan terutama di kampung-kampung di mana mereka hanya disogokkan berita-berita fitnah yang disebarkan oleh media milik umno/bn ~ .
Click Here!