Kedah Mahukan Ustaz Azizan Sebagai Timbalan Presiden PAS yang baru
Daripada Exco Pemuda PAS Kedah - Laman M@RHAEN

Dewan Pemuda PAS Kedah ingin menyatakan pendirian kami bahawa para perwakilan ke Muktamar Agong tahun kali ini perlu memilih calon-calon kepimpinan tertinggi PAS daripada kalangan mereka yang banyak bercakap tentang negara Islam kerana itulah perjuangan sejati PAS.

Kami merasakan Ustaz Azizan Abdul Razak amat layak dimartabatkan sebagai Timbalan Presiden PAS yang baru. Ini bukan di atas dasar beliau merupakan seorang pemimpin PAS dari Kedah, tetapi sebaliknya di atas pelbagai faktor penting demi kemajuan parti kita ini.

Untuk pengetahuan umum, Ustaz Azizan merupakan pemimpin PAS yang telah diasuh oleh Al Marhum Ustaz Fadzil Noor sejak dari zaman pengajian universiti beliau. Al Marhum adalah orang yang bertanggungjawab membawa masuk Ustaz Azizan ke dalam PAS setelah beliau bersara daripada mengajar di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Ustaz Fadzil telah berusaha memberi ruang kepada Ustaz Azizan untuk berada dalam saf kepimpinan PAS Pusat. Ustaz Azizan amat rapat dengan Ustaz Fadzil sehinggakan ketika mereka berada di Mekah, Ustaz Azizanlah yang telah membasuh baju Ustaz Fadzil.

Ketika Ustaz Hassan Shukri merasmikan Ekspo Perdagangan Islam Kedah Kawasan Kulim Bandar Baru pada 4 Mac yang lalu, Ustaz Hassan sempat berbincang dengan Ustaz Azizan dengan memaklumkan bahawa beliau akan menarik diri dari mempertahankan jawatan Timbalan Presiden. Beliau yang akan bersara dan bertindak sebagai penasihat berharap agar Ustaz Azizan dapat menggantikan tempatnya.

Ustaz Azizan merupakan calon terbaik Timbalan Presiden kerana beliau dapat bekerjasama dan membantu Presiden Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam urusan seharian PAS Pusat.

Tidak ramai yang mengetahui bahawa Ustaz Azizan sebenarnya yang telah mendraf ucapan dasar Presiden pada Muktamar Agong tahun lepas. Begitu juga dengan buku “Hadarah Islamiah Bukan Islam Hadhari” adalah merupakan cetusan idea Ustaz Azizan yang bertanggungjawab mendraf segala isi kandungan draf buku tersebut.

Dalam pertemuan pihak kami dari Dewan Pemuda PAS Kedah baru-baru ini dengan Ustaz Azizan yang juga merupakan Pesuruhjaya kami, kami dapat melihat dengan jelas peribadi mulia Ustaz Azizan yang mempunyai akhlaq yang baik yang memenuhi ciri-ciri sebagai antara pemimpin utama PAS.

Kami mendoakan supaya Ustaz Azizan Abdul Razak dapat menjadi sebagai Timbalan Presiden PAS yang baru. Beliau sahajalah harapan kami sebagai pemimpin yang kerap mengetengahkan tentang negara Islam.

Exco Dewan Pemuda PAS Kedah - 07.03.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: