SAMPAI BILAKAH ABDULLAH BADAWI MESTI
BERGELUMANG DENGAN KOMPLOT RASUAH
Oleh Pendekar Mustar - Laman M@RHAEN

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (DSAAB) seorang pemimpin bersih dan berjiwa besar. Beliau mahu memerangi rasuah. Mahu rakyat membangunkan kehidupan sejahtera. Mahu rakyat memiliki minda kelas pertama. Dan mahu rakyat jadi insan cemerlang, gemilang dan terbilang.
 
Tetapi, DSAAB dibelenggu dilemma. Niatnya yang luhur dan murni kini terdampar sepi. Jiwanya yang bersih terus diheret untuk bergelumang dengan kemungkaran. Segolongan anggota kabinet DSAAB adalah perasuah dan penyalahgunakuasa. Sesetengah timbalan menterinya juga perasuah dan penyalahgunakuasa. Lebih teruk lagi, sesetengah anggota kabinet dan timbalan menterinya juga golongan muflis moral dan budi.
 
Teruk DSAAB diumpat, dimaki dan dicaci. Ramai pula pemandu teksi di Kuala Lumpur yang asyik membebel pasal Datuk Seri Nazri Tan Sri Aziz Yeop. Ramai juga jurujual kereta di ibukota mengumpat pasal Datuk Seri Rafidah Aziz. Kedua-duanya dikatakan telah makan terlalu besar. Sampai muntah-muntah. Sampai terboroi perut di sepanjang jalan.
 
Kisah Datuk Seri Jamaluddin Jarjis @ JJ pun sudah mula timbul di kedai-kedai kopi hotel lima bintang, di sepanjang Jalan Sultan Ismail, dan di daerah segitiga kewangan di Kuala Lumpur. Menteri ini selalu digandingi oleh balacinya bernama Datuk Shahziman Mansor, Timbalan Menteri kepada Datuk Seri Lim Kheng Yaik. Pada suatu malam, setahun dua yang lalu, kedua-dua anak emas DSAAB ini digossipkan telah membahagi-bahagikan RM800,000 dalam sekelip mata. Kalau hendak tahu kisah selanjutnya, selalu-selalulah makan malam di Carcosa Seri Negara atau di Hotel Mandarin Oriental Kuala Lumpur.

 Senarai kerasuahan segolongan anggota kabinet dan timbalan menteri DSAAB amat panjang. Sesetengah menteri dan timbalan menteri yang dalam penggal pertama pun dipercayai sudah mula berjinak-jinak dengan rasuah dan mula arif mengenai seni penyalahgunaan kuasa.
 
Ini belum termasuk senarai pemimpin negeri di bawah rejim DSAAB. Segolongan mereka jatuh dalam kategori perasuah. Sesetengah mereka masuk dalam kumpulan penyalahguna kuasa. Tetapi, ada juga yang masuk dalam kelab muflis moral dan budi. Kalau hari ini ada seorang pengembara yang menyusur dari Kuala Perlis sampai ke Tanjung Puteri, singgah makan satay di Shah Alam, dan meratah cencalok di Kota Melaka, tentu pengembara itu akan pengsan mendengarkan seribu satu cerita bagaimana kotornya moral dan budi sesetengah pemimpin negeri di bawah kekuasaan DSAAB. Kalau hendak tahu dengan lebih sahih mengenai hal ini, cuba-cubalah pasang telinga. Pasti kita akan terdengar cerita panas pasal MB Perlis, gossip pasal MB Johor dengan Exconya yang seksi, dan kisah MB Selangor dengan jin-jin tanahnya.

Kalau pengembara di atas singgah di Melaka, tentu dia akan terhidu kisah KM Melaka dengan hantu-hantu kuburnya. Kisahnya begini. KM Melaka ini suka sangat berkawan dengan hantu kubur. Sebab itu dia gadai banyak tanah wakaf kubur kepada hantu-hantu kubur. Wakaf MAIM di depan Masjid Negeri Melaka adalah mangsa terbarunya. KM Melaka dikatakan telah menggadaikan tanah wakaf itu kepada sekumpulan hantu kubur bermata sepet.

KM Melaka juga dipercayai merestui sebuah syarikat membina sebuah menara telekomunikasi di Bandar Hilir dengan harga belasan juta ringgit. Banyak pihak membantah projek itu atas sebab-sebab alam sekitar. Tetapi KM Melaka tidak mempedulikan bantahan itu. KM Melaka kena berhati-hati. Jangan izinkan diri jadi boneka hantu kubur. Jangan biarkan hantu kubur bernama Poh Ah Tiam panjat kepala. Ingat. Jangan selalu sangat ke Singapura dengan hantu kubur itu. Ramai orang sudah mula bertanya, betulkah gossip KM Melaka simpan duit di Singapura guna nama seorang perempuan yang kononnya anak buah hantu kubur Poh Ah Tiam. KM Melaka bercita-cita tinggi hendak jadi Perdana Menteri Malaysia. Tetapi, kalau KM Melaka hari ini tidak berfikiran strategik, lebih baik dia berhenti sekarang. Apa gunanya jadi Naib Presiden UMNO dan KM, kalau dia tidak terdaya membaca kilat dalam kilau? Apa gunanya KM Melaka hendak jadi pemimpin besar, kalau pemikiran beliau terlalu kerdil dan dangkal?
 
Semua perkembangan seperti di atas sangat menghairankan. Adakah ini tandanya segelintir MB dan KM memprotes konsep Islam Hadhori? Atau, inikah caranya mereka mengkhianati agama, bangsa dan tanahair mereka? Apakah tindakan paling sesuai dengan golongan seperti ini? Adakah DSAAB akan terus melindungi mereka?
 
Berat sungguh tanggungjawab DSAAB untuk memerangi rasuah dan memperjuangkan Islam Hadhori. Ianya berat kerana yang rasuah dan yang songsang moral dan budi bukan sahaja kaum Adam. Anggota kabinet yang kaum Hawa pun dipercayai ada yang songsang moral. Kalau tidak percaya, intiplah apa yang Azalina buat. Carilah kepastian, benarkah dia simpan lelaki Myanmar sebagai penyedapnya, atau mungkinkah berita ini hanya fitnah semata-mata?

Jadi, apalah yang hendak DSAAB lakukan sekarang? Prioriti beliau adalah memerangi rasuah. Tetapi, beliau sendiri masih dipagari oleh segolongan manusia yang rasuah. Perjuangan beliau adalah untuk menegakkan Islam Hadhori. Tetapi, sekelompok manusia di keliling beliau juga bergelumang dengan dosa dan kebangkrapan moral dan budi.

Di kaca TV, muka DSAAB kelihatan merah padam dan tidak berseri-seri lagi. Ini kerana semuanya dibebankan ke bahu beliau. Dari soal mercun, pergi ke soal kemalangan jalanraya, soal TNB, soal denggi, semua DSAAB kena tanggung. Itu belum lagi soal karenah menantu kesayangannya bernama Khairy Jamaluddin. (di lamanweb ini pun terkandung satu cerita panas pasal Khairy.) Kalangan usahawan, diplomat, pegawai kerajaan, orang politik dan orang kampung kini sudah pandai mengumpat pasal Khairy. Di Terengganu ceritanya lain. Di Putrajaya ceritanya lain. Di Permatang Pauh ceritanya lain. Di UKM ceritanya lain. Di Kapit, Sarawak, ceritanya lain. Di Tawau, Sabah, ceritanya lain. Di mana-mana ceritanya lain. Ini kerana Khairy dikatakan telah membabitkan diri dalam beraneka jenis urusan, baik urusan kerajaan, politik atau perniagaan.

Tetapi, yang menerima kesan negatifnya adalah DSAAB. Penulis politik prolifik tanahair, Saudara Yahya Ismail @ Pak Ya, sudah pun menulis buku meramalkan Khairy akan jadi Perdana Menteri Malaysia. Apabila DSAAB menerima senaskah buku tersebut, DSAAB mulalah naik angin. Apa pasal? Kerana konon-kononnya, Khairy sedang mencaca-murbakan banyak hal dan banyak perkara yang tidak lama lagi mungkin meletup menjadi isu politik dan isu negara? Adalah kurang pasti kalau tindakan pencaca-murbaan ini termasuk fitnah kepada Tun Mahathir Mohamad selaku Penasihat Proton.

Khairy sudah melampau. DSAAB kena bertindak. Kalau tidak, kita semua bimbang Khairy akan menyebabkan keruntuhan pemerintahan DSAAB. Sekarang ini, banyak peluru gajah sudah disiapkan untuk membedil Khairy. Kisah dan gambar beberapa babak skandal Khairy pun sudah ada di tangan pihak tertentu. Mungkin DSSAB pun sudah melihatnya sendiri. Dengar-dengar ceritanya, Nuri isteri Khairy pun sudah maklum tentang skandal itu. Jadi, bila lagi? Janganlah DSAAB masih hendak pertahankan Khairy. Janganlah sesiapa yang menyampaikan berita mengenai Khairy kepada DSSAB, orang itu dikatakan bersalah.

Bagaimanapun, rakyat Malaysia patut merasa lega sedikit kerana mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI), kini sedang menjalani fellowship di Oxford University, England, tempat Khairy pernah belajar. Harap-harap banyaklah peluru gajah dan kisah benar pasal Khairy yang boleh dibawa balik ke Malaysia tidak lama lagi.

Baru-baru ini, DSAI juga telah mendapat penghormatan untuk menyampaikan satu syarahan di London School of Oriental and African Studies. Tajuknya adalah mengenai rasuah dan penyalahgunaan kuasa, iaitu dua perkara yang dihuraikan secara panjang lebar seperti di atas, dan dua perkara yang kini sangat-sangat memeningkan kepala DSAAB serta majoriti rakyat Malaysia.

Kita semua pening kepala kerana bekas Ahli Parlimen Pembangkang yang terlebih sedikit tuntutan perjalanannya diheret ke mahkamah atas tuduhan rasuah, tetapi mereka yang songlap duit rakyat berpuluh juta ringgit tidak langsung dikenakan tindakan. Ikan bilis diheret ke mahkamah kerana rasuah. Ikan paus dibiarkan sampai boncet perut menyedut duit rakyat. DSAI tahu akan hal ini. DSAAB juga tentu tahu pasal hal ini. Kalau begitu, bila DSAAB hendak bertindak?

Bagaimanapun, cuba kita bayangkan betapa bersemangatnya DSAI sewaktu menyampaikan syarahan itu di hadapan khalayak intelektuil antarabangsa di London. Dengan intonasi, gaya, suara dan wajah yang menawan, pasti hadirinnya terpaku kepada apa yang diluahkan oleh DSAI. Dan, agaknya, macam mana kalau DSAI diberi peluang menyampaikan syarahan yang sama di PWTC dengan audiens daripada Pemuda UMNO, Puteri UMNO, Wanita UMNO dan seluruh warga UMNO? Bolehkah rasuah dan penyalahgunaan kuasa di kalangan mereka berkurangan, sedikit demi sedikit, selepas itu?

Lupakan sahaja soalan di atas. Tetapi, cuba renungkan pula soalan ini. Apakah pendapat anda kalau DSAI diberikan pengampunan dan dikembalikan statusnya di dalam parti dan kerajaan? Lepas itu, macam mana pula kalau DSAI yang karismatik itu diminta merefomasikan UMNO dan Malaysia supaya bebas daripada rasuah dan penyalahgunaan kuasa?

Soalan di atas bukan soalan kosong. Ia mungkin menjadi satu kebenaran. Bayangkan, apa akan jadi, seandaianyalah DSAAB yang dalam keadaan tercungap-cungap dicekik masalah Khairy, tiba-tiba terus give-up dan mengosongkan jawatannya suatu hari kelak. Kalau ini terjadi, tidak layakkah DSAI menggantikan takhta pemerintahan negara supaya kita semua terselamat daripada bencana rasuah dan salahgunakuasa?

DSAAB kena fikirkan soal di atas masak-masak. KM Melaka rosak kerana hantu kubur Poh Ah Tiam. MB Johor hancur kerana langsui Halimah. MB Selangor sedang dirasuk jin tanah Lebar Daun. Shahidan pula sedang digoda jerangkong Noritta! Jadi, janganlah DSAAB tersungkur kerana hanturaya Khairy. Ingat. Baru-baru ini seorang Hamba Allah telah menasihati DSAAB “jangan berkawan dengan orang bodoh.” Rakyat Malaysia pula minta DSAAB jangan berkawan dengan hantu kubur, jin tanah, langsui, jerangkong dan sebagainya. Kalau sudah tidak terdaya hendak lawan hantu, jembalang dan puaka berkenaan, carilah helah yang munasabah dan undurkanlah diri secara terhormat!

- Pendekar Mustar  - 24.02.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: