KONGRES NASIONAL PARTI RAKYAT MALAYSIA  KE-35
PADA 7 JULAI 2002


Parti Rakyat Malaysia akan mengadakan Kongres Nasional yang ke-35 pada 7 Julai 2002 (Ahad) ini, mulai jam 8.30 pagi. Kongres ini akan dihadiri oleh kira-kira 200 orang wakil dan pemerhati. Tempatnya ialah: Maluri Value Inn, 1 Jalan Permaisuri, Taman Maluri, 55100 Kuala Lumpur. Kongres bermula dengan Ucapan Dasar dan Perasmian oleh Presiden PRM, Dr Syed Husin Ali.

Tahun ini merupakan tahun pemilihan dan besar kemungkinan beberapa perubahan akan berlaku terutamanya di kalangan pimpinan (iaitu Jawatankuasa Pusat). Lebih ramai orang muda dijangkakan akan terpilih, manakala beberapa pemimpin lama mengundurkan diri. Angkatan Muda PRM akan mengadakan Kongres mereka sehari sebelum itu.

Pada tahun lalu, Kongres PRM ke-34 telah membuat keputusan bersejarah untuk bercantum dengan Parti KeADILan, dan membentuk sebuah parti baru iaitu Parti Keadilan Rakyat Malaysia. Namun demikian, percantuman masih belum berlaku lagi, terutama sekali kerana menunggu keputusan di pihak Parti KeADILan, yang belum mendapat keputusan majoriti 2/3 untuk meminda perlembagaan.

Dalam Kongres ke-35 ini, selain memilih Jawatankuasa Pusat yang baru, perbincangan akan bertumpu kepada membuat rancangan memperkukuh perpaduan organisasi dan politik Parti, membuat kerja di kalangan rakyat, dan mengatur persediaan bagi menghadapi pilihanraya umum akan datang.

Adalah diharapkan PRM akan dapat memainkan peranan lebih besar dalam politik tanah air, memandangkan ia mempunyai ramai pemimpin berprinsip serta tahan uji, keanggotaan yang berbilang  kaum, dan sudah lama berjuang untuk reformasi dan keadilan sosial.

Negara dan PRM kini berada di suatu persimpangan politik yang sangat penting. Anggota-anggota PRM perlu membawa perjuangan yang progresif, berdasarkan prinsip keadilan, demokrasi,  kesaksamaan, perpaduan dan kebajikan bagi seluruh rakyat, untuk menuju ke arah Masyarakat Adil.

Melalui pengumuman ini kami mempersilakan para penyokong yang berminat untuk menghadiri Majlis Perasmian Kongres Nasional ini, yang bermula pada jam 8.30 pagi. Jemputan khas kepada para wakil media, sedang menyusul.

Terima Kasih.

Jawatankuasa Penyelenggara
Kongres ke-35
Parti Rakyat Malaysia (PRM)

(Untuk maklumat lanjut sila berhubung dengan Ang atau Latheefa, telefon: 03-77812151
atau faks: O3-77818704 atau e-mel:  p_rakyat@hotmail.com)


FREE - An online program to make a huge income. more info
Click Here!