Sumbangan Air Johor ke Singapura Hingga Hari Kiamat...
Pada beberapa hari yang lepas, kesemua alat telekomunikasi di pejabat saya diserang dengan panggilan, E-mail, SMS, fax daripada rakyat Singapura yang merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Malaysia Dato Seri Dr. Mahathir Mohammad kerana semasa perasmian Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), beliau dengan secara langsung menyumbangkan air daripada Negeri Johor Darul Ta’zim ke Republik Singapura sehingga hari kiamat. Mereka memaklumkan kepada saya, keseluruhan rakyat Singapura serta pemimpin republik tersebut sedang membuat kajian dan mencadangkan pingat tertinggi untuk Dr. Mahathir Mohamad sebelum beliau memisahkan diri daripada arena politik atas sumbangan air ke Singapura sehingga hari kiamat. Dengan sumbangan cemerlang ini bermakna kesemua masalah air Republik Singapura sehingga hari kiamat telah dapat diselesaikan. Kebanyakan rakyat Johor telah dikelirukan oleh perbuatan Perdana Menteri dan dalam keadaan bimbang disebabkan air yang akan disumbangkan adalah khazanah Tuhan dan berasal daripada Negeri Johor Darul Ta'zim. Rakyat Johor tidak faham kenapa Perdana Menteri yang bijaksana dan berkemungkinan akan menjadi salah seorang tokoh dunia boleh berkata sebegitu dan memperalatkan khazanah untuk memainkan peranan politik dalam negara kita dengan matlamat untuk meningkatkan lagi kedudukan beliau sehingga mencapai taraf tokoh dunia.

Perdana Menteri perlu ambil kira perasaan rakyat Johor kerana khazanah air yang dianugerahkan Tuhan perlu digunakan untuk generasi yang akan datang bukan untuk menjualkannya kepada Singapura walaupun republik tersebut boleh bayar mengikut nilai antarabangsa, sepertimana belian air oleh Hong Kong dan  Macau daripada negeri China yang diasaskan setiap 1000 gelen adalah 4.30 dollar Amerika bukannya 3 sen setiap 1000 gelen yang dibayar oleh Singapura. Bayangkan jikalau air - seperti mana kata-kata Perdana Menteri - dikekalkan 3 sen sehingga hari kiamat, berapa banyak kerugian besar lagi yang perlu ditampung oleh rakyat dan negara. Tidak lama lagi perdana menteri akan mensayonarakan diri dari arena politik, rakyat tentulah bimbang dengan tindakan yang telah dilakukan oleh PM sebelum ini.  Rakyat Malaysia berdoa agar PM kita tidak menjadi seperti Pak Harto dan Ferdinand Marcos yang meninggalkan jawatan dengan jumlah hutang yang akan ditampung oleh beberapa puluh generasi yang akan datang.

Dalam konteks Al-Hadis adalah diriwayatkan, selagi ada makhluk yang boleh menyebut perkataan ‘ALLAH’ hari kiamat tidak akan berlaku. Di sini kita boleh bayangkan berapa ratusan generasi lagi yang akan datang dan air di Johor akan terus disumbangkan ke Singapura. Rakyat Malaysia khususnya rakyat Johor perlu segera mengambil tindakan untuk memperbaiki situasi yang telah dijejaskan oleh Perdana Menteri baru-baru ini.

Kita boleh lihat apabila ada isu berbangkit antara Republik Singapura dan Malaysia, kesemua rakyat Singapura juga bangkit untuk menghadapi masalah yang ditimbulkan oleh Pemimpin Malaysia. Rakyat Malaysia telah dinafikan untuk mengambil peranan disebabkan semua media massa telah disekat. Oleh yang demikian, keseluruhan rakyat Johor Darul Ta’zim perlu bangkit untuk menentang sekeras-kerasnya dan mempertahankan prinsip tauhid di mana air yang disalurkan ke Singapura adalah anugerah Tuhan untuk rakyat Johor Darul Ta’zim dan sumber tersebut sememangnya berasal daripada Johor.

Sila tunggu siri selanjutnya.

Sesiapa yang ingin berkongsi pengalaman atau mengirimkan maklumat tambahan berkenaan isu air ini boleh berhubung dengan saya pak_robyee@yahoo.com

Daripada Pak Rob Yee - 18.02.2003 (suntingan M@RHAEN)
Tapak Cerminan M@RHAEN http://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com

Click Here!