ADAKAH CHE DET TELAH BERTAUBAT?
Pada 25 Jun 2003, telah dilaporkan secara besar-besaran di media massa di mana rakyat Malaysia serta dunia telah menyaksikan bagaimana Perdana Menteri Dato Seri Dr. Mahathir melakonkan watak prihatinnya kepada rakyat dengan melahirkan rasa belas kasihan kepada tokoh pejuang Myanmar, Aung Sung Sui Kyi yang sedang ditahan sejak 30 Mei 2003 oleh regime kuku besi MYANMAR SLORC (yang merampas kuasa setelah gagal dalam pilihan raya umum beberapa tahun lepas) di bawah Akta Keselamatan Negara serupa dengan Akta ISA di Malaysia.

 
Perdana Menteri dalam kenyataan sidang akhbar menegaskan dengan sekeras-kerasnya tindakan yang dilakukan oleh regime kukubesi SLORC Myanmar adalah tidak berwibawa dan telah mendilemakan Negara Asean. Beliau mengharapkan Aung Sung Sui Kyi dibebaskan dengan segera. Jika rakyat Malaysia merujuk kepada sejarah pemerintahan Dr. Mahathir Mohammad selama 22 tahun, beliau tidak pernah sekalipun membela kaum yang diseksa kecuali dalam situasi yang boleh memberi faedah kepada diri dan kedudukannya daripada segi politik. Amalan yang dizahirkan oleh Perdana Menteri untuk membela Aung Sung Sui Kyi memang luar biasa dan boleh dikatakan satu sifat mahmoodiah (terpuji) yang dilahirkan oleh Perdana Menteri Malaysia yang dikasihi.

Adakah Perdana Menteri telah tersedar serta bertaubat apabila dididik dengan ajaran Islam yang sebenar. Rakyat sentiasa dimaklumkan bahawa ajaran Islam yang di praktikkan oleh pihak selain daripada UMNO, adalah dalam kekeliruan dan tidak benar. SYABAS! Dr. Mahathir dan rakyat Malaysia mendoakan semoga Perdana Menteri sebelum memisahkan diri dari gelanggang politik akan berterusan dengan sikapnya yang prihatin, berperikemanusiaan dan memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia. Sedangkan hari ini keseluruhan dunia telah mengiktirafkan perhubungan rapat antara Perdana Menteri dengan regime kukubesi SLORC Myanmar.  Di atas kegagalan Tan Sri Razali Ismail sebagai wakil khas Negara Bangsa-bangsa Bersatu untuk membebaskan Aung Sung Sui Kyi, berkemungkinan Dato Seri Dr. Mahathir Mohamad perlu menggunakan hubungan sulit beliau dengan regime SLORC untuk berusaha membebaskan Aung Sung Sui Kyi disebabkan cuma pemimpin yang sama perangai boleh bermuzakarah antara dua pihak.
 
Baru-baru ini rakyat Malaysia juga telah melihat bagaimana Perdana Menteri membebaskan tanpa syarat 6 orang pejuang reformasi yang telah di tahan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama dua tahun di Kem Kamunting, Perak. Tidak pernah dalam sejarah Malaysia penahanan ISA dibebaskan tanpa syarat. Ini adalah perbuatan yang di manifestasikan oleh Perdana Menteri untuk dipamerkan kepada dunia bahawa beliau seorang yang berperikemanusiaan yang menyebabkan baru-baru ini telah menerima pujian daripada pihak luar. Telah tersiar di dalam beberapa media massa antarabangsa yang mengatakan berkemungkinan Perdana Menteri cuba membersihkan nama beliau sebelum bersara dari arena politik serta mengubahsuai kedudukan beliau di pentas antarabangsa terutama beliau akan menjadi Pengerusi persidangan Negara Islam (OIC) yang akan diadakan di Putrajaya pada bulan Oktober 2003, malangnya arang yang telah melekat di wajah beliau menyebabkannya sukar untuk digilap semula.
 
Serentak dengan kepujian yang diberikan kepada Perdana Menteri di atas kegiatan beliau, rakyat Malaysia mendoakan agar Perdana Menteri akan terus dengan amalan mahmoodiah dengan melakukan lagi satu kewajipan yang lebih crucial dan mustahil untuk negara Malaysia serta dunia sebelum bersara pada bulan Oktober. Kewajipan ini adalah membebaskan bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia Dato seri Anwar Ibrahim yang telah di kurung dalam sebuah tembok batu serta jeriji besi di penjara Sungai Buloh. Setelah disiksa dan meringkuk dalam penjara selama beribu-ribu hari, suara menentang kezaliman bertambah kuat memandang penjara Sungai Buloh di sebalik manusia tidak boleh melihat kezaliman berlaku di atas kumpulan mustadafin serupa dengan rakyat Malaysia yang menentang regime kezaliman Myanmar, Iraq, Bosnia dan lain-lain. Masa berlalu dengan begitu pantas untuk Perdana Menteri menggunakan segala kuasa beliau bagi membebaskan bekas timbalan perdana menteri Dato Seri Anwar Ibrahim. Rakyat Malaysia tidak dapat melupakan peristiwa kejutan yang telah membinasakan nama baik Malaysia serta telah dilabelkan oleh kaum antarabangsa sebagai sebuah negara dictator..
 
Setelah hukuman yang dijatuhkan kepada bekas timbalan Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim pada waktu itu, Professor Dr. Shaikh Taha Jabir Al-Awani (Pengerusi Majlis Fiqh Amerika Utara dan Kanada, Ahli Majlis Fiqh Antarabangsa Jeddah, Ahli Majlis Fiqh Eropah,  Professor Kerusi Iman Al-Shafii GSISS) seorang tokoh ulamak peringkat dunia ada menyampaikan fatwa yang bertarikh 23hb Ogos 2000 yang terdapat dalam “Pendirian Syariat terhadap Hukuman bersalah ke atas Dato Seri Anwar Ibrahim, adalah cukup jelas. (Buku ini boleh di dapati percuma dari pejabat Pak Rob Yee, E-mail: pak_robyee@yahoo.com.my).
 
Tatkala itu ada lagi seorang tokoh ulamak dunia Shaikh Professor Dr. Yussof Al-Qadrawi pun telah menulis fatwa berkaitan dengan hukuman terhadap bekas timbalan Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim. Sudah menjadi pengetahuan umum kepada rakyat Malaysia di mana Shaikh Professor Dr. Yussof Al-Qadrawi pada tahun lepas telah menyampaikan surat peringatan kepada Perdana Menteri Dato Seri Dr. Mahathir  Mohammad agar segera membersihkan nama Anwar Ibrahim selagi beliau ada dalam kuasa Perdana Menteri.

Pada tahun lepas sudah beberapa kali dilaporkan oleh BERNAMA, Perdana Menteri Dato Seri Dr. Mahathir Mohammad telah mengadakan temujanji dengan Shaikh Professor Dr. Yussof Al-Qadrawi di dalam suatu perhimpunan Islam Dunia. Malangnya beliau dengan harapan tinggi menggunung kepingin sungguh untuk bertemu dengan Shaikh Professor Dr. Yussof Al-Qadrawi telah gagal. Dengan peringatan daripada ulamak terkenal dunia serta rakyat Malaysia yang berhajat kebebasan Dato Seri Anwar Ibrahim, kita mendoakan semoga Perdana Menteri yang sedang mempamerkan sikap perikemanusiaan beliau akan melahirkan terapi kejutan untuk membebaskan bekas timbalan PM Dato Seri Anwar Ibrahim. Berkat doa dan cita-cita rakyat Malaysia untuk mengembalikan keadilan yang telah lama hilang dalam masyarakat akan terlaksana.
 
Fe amanellah dan wassalam.

Daripada Pak Rob Yee E-mail: pak_robyee@yahoo.com.my - 08.07.2003 (suntingan M@RHAEN)


Tapak Cerminan M@RHAEN http://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com

Click Here!