BANGKIT PEMUDA LASAK
Di tengah-tengah gelombang kekejaman

Wira bangsa ditindas, dipenjara
Menutup segala aib melanda negara
Mengundang sengketa anak-anak Melayu
Mengoyak-rabak perpaduan Melayu jati
Memberi laluan Melayu tempelan
Mengsonglap rakus khazanah negara
Atas nama pembangunan
Kononnya membina benteng keganasan
Kononnya membela bangsa tertindas
Semuanya ‘konon’

Tuh! Ludahku melantai
Benci meluat telatah si kejam
Asyik mencipta sandiwara lapuk
Menghina pahlawan-pahlawan Melayu
Pahlawan perkasa gagah berani
Kononnya pandai bersorak, tajinya tumpul

Betulkah wira perkasa waris Hang Jebat tandus?
Betulkah pejuang lasak lupus?
Betulkah panglima sudah lesu?
Betulkah semangat luntur?
Betulkah?

Katakan…
Ini tidak betul
Katakan… Ini tidak betul!!…

Ayuh!!… jagoan bangkit !!.
Bangsa mu mulia segagah hijrah Umar
Menghayun pedang memartabat Junjungan
Menegak keadilan ummah
Aku pejuang reformasi
Siapa berani silakan…
Darahku mengalir kerana jantannya aku
Darahku mengalir kerana benarnya aku
Darahku mengalir kerana Allah

Aku tidak rela anak-bangsaku
Dipermain dengan ISA dan fitnah
Aku tidak rela anak-bangsaku
Diperkotak-katikkan
Aku tidak rela sahabatku dan wira-wiraku
Dibiar merengkok sakit
Melutut kepada sang penguasa reput dan rakus

Ayuh pahlawan perkasa
Masanya telah tiba
Kita tunjukkan pada rejim
Kita bukan lagi cacing berhadapan dengan Naga
Tetapi tentera bersedia berjihad

Anak-anak muda perkasa
Ayuh !… bangkit !!….
Kita ganyang habis-habisan
Kita hapuskan kepala durjana
Kita hapuskan kezaliman
Kita hapuskan gerombolan-gerombolan dan pelopornya
Kita tegakkan keadilan
Kita tegakkan kebebasan

Melintang kita patah
Membujur kita lalu
Alang-alang bersuara sumbang
Biar sampai naik berang
Alang-alang kita berjuang
Biar sampai kita berperang

Oleh: Panglima Tunggaring - 22.03.2003


Tapak Cerminan M@RHAEN http://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com

Click Here!