SAR Menjadi 'Mangsa Politik'
Oleh Salman Madani
Untuk kesekian  kalinya Dr.Mahathir mengatakan bahawa  “… kerajaaan tetap tidak akan memberi bantuan kepada  sekolah agama rakyat (SAR)” , kerana katanya, “ SAR kini merupakan sebuah sekolah politik yang mengajar murid-muridnya supaya membenci kerajaan” (Utusan Malayia, 13 Januari 2003).

Beliau dipetik sebagai berkata, “SAR bukan menyediakan pendidikan agama kepada pelajar kerana pelajar dididik menjadi anti-kerjaan”.

Kata beliau seterusnya, “… walaupun kita membantu mereka dengan memberi wang dan sebagainya, tetapi mereka tetap membenci kerajaan”  (Berita Harian, 3 Januari 2003).

Dr.Mahathir membuat kenyataan yang demikian tanpa sebarang bukti atau contoh yang khusus. Jadi kita pun tidak pasti sama ada kenyataan beliau itu berdasarkan fakta yang sahih, atau pun berdasarkan ‘cakap dengar’ dan andaian umum sahaja.

Bagaimanapun, daripada kenyataan beliau itu jelaslah bahawa tindakan pihak kerajaan memberhentikan bantuan kepada SAR baharu-baharu ini pada asasnya kerana sebab politik atau faktor politik.

Alasan lain mengapa bantuan itu diberhentikan, seperti  SAR tidak mempunyai guru yang berkelayakan, masa depan pelajarnya tidak terjamin, atau SAR terlalu melebihkan pelajaran agama dan sebagainya, sebenarnya hanyalah alasan yang dicari-cari kemudian, untuk menyokong atau mengesahkan tindakan kerajaan itu.

Jika isu ‘pelajar membenci kerajaan’ itu tidak timbul, kerajaan mungkin akan membiarkan sahaja SAR terus beroperasi di bangunan yang daif, dan dengan guru yang tidak berkelayakan, walaupun SAR didakwa tidak dapat menjamin masa depan para pelajarnya.

Jadi sekarang kita boleh mengambil kesimpulan, bahawa SAR sebenarnya telah menjadi ‘mangsa politik’, iaitu mangsa  persaingan dan konflik politik antara UMNO dengan PAS.

Dr.Mahathir sebenarnya khuatir SAR akan menjadi tapak yang subur bagi melahirkan kader-kader PAS, jika SAR terus berjalan dan berkembang seperti sekarang. Pada hakikatnya itulah sebab sebenar mengapa kerajaan mahu ‘membunuh’ SAR.

Dengan membunuh SAR, UMNO dan kerajaan mungkin mengharapkan bahawa satu tapak semaian yang penting bagi kader-kader PAS telah terhapus. Dan ini mungkin boleh menguntungkan UMNO dari segi jangka panjang.

Akan tetapi, bagi pihak PAS pula pengekalan SAR memang boleh dijangka akan menguntungkannya, kerana  kebanyakan (kalau pun tidak semua ) SAR dikendalikan oleh orang-orang yang menyokong atau bersimpati dengan perjuangan PAS. Oleh itu, memang ada lojiknya, jika PAS mengharapkan sekurang-kurangnya sebahagian daripada bekas pelajar SAR akan menjadi orang-orang yang bersimpati dengan perjuangan PAS dan menyokong perjuangan PAS juga.

Oleh yang demikian, kini sudahlah sampai masanya, kita terpaksa menerima kenyataan walaupun pahit, bahawa SAR tidak akan mendapat bantuan lagi daripada kerajaan, malah kerajaan mungkin akan terus menjalankan pelbagai usaha untuk membunuh SAR, sama ada secara drastik atau secara perlahan-lahan.

Dengan itu, isu SAR ini terpaksalah dianggap sebagai isu politik dan dikembalikan kepada rakyat. Rakyatlah yang akan menentukan sama ada SAR patut dibantu dan dikekalkan kewujudannya ataupun tidak.

Rakyatlah yang akan menentukan dalam pilihan raya akan datang, sama ada mereka menyokong kerajaan yang mahu menghapuskan SAR atau parti pembangkang yang mahu mengekalkan SAR.

Berdasarkan keadaan yang terdapat sekarang, saya rasa orang-orang yang mahu SAR dikekalkan masih ramai. Dan mereka tentu boleh diharapkan untuk membantu SAR daripada segi kewangan dan sebagainya.

Jadi pihak-pihak yang mahu SAR dikekalkan mungkin tidaklah perlu bersikap terlalu pesimistik. SAR boleh hidup tanpa bantuan kerajaan, asalkan kita mahu berusaha untuk membantu kewujudannya. Mengapa tidak?

Kiriman Salman Madani - 13.01.2003 (semakan/suntingan M@RHAEN)
Tapak Cerminan M@RHAEN http://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com

Click Here!