Satu Alasan Baru Pemberhentian Bantuan Kepada SAR
Oleh Salman Madani
Nampaknya pihak kerajaan telah berjaya ‘mencipta’ satu lagi alasan baru mengapa pihak kerajaan telah memberhentikan bantuan kepada SAR.

Setelah Dr. Mahathir berulang-ulang menyatakan bahawa kerajaan memberhentikan bantuan kepada SAR kerana dikatakan SAR tidak mengajar ‘agama Islam yang betul’, sebaliknya ‘mengajar ideologi politik membenci kerajaan’, Menteri Pendidikan telah menyatakan satu alasan lagi mengapa kerajaan memberhentikan bantuan itu.

Alasan baru, yang mungkin baru ‘dicipta’ oleh kerajaan ialah, kerajaan tidak lagi memberi bantuan itu, kerana prestasi SAR (dalam peperiksaan) dikatakan sangat rendah. Prestasi pelajar SAR bukan sahaja rendah dalam pelajaran umum atau pelajaran bukan agama, malah dalam pelajaran agama juga, apabila dibandingkan dengan prestasi pelajar sekolah kebangsaan dan sekolah menengah agama kebangsaan.

Dengan itu, dikatakan sia-sia sahajalah kerajaan menyalurkan bantuan kepada SAR yang prestasinya begitu rendah. Bukan sahaja kerajaan rugi, malah murid-murid SAR sendiri pun rugi jika terus belajar di sekolah itu.

Alasan kelemahan prestasi itu, walaupun merupakan ‘ciptaan’ baru, mungkin betul, dan pada peringkat ini, baiklah tidak kita pertikaikan.

Akan tetapi, pada pendapat saya, pihak-pihak yang mahu mempertahankan SAR tidak menganggap prestasi dalam peperiksaan itu sebagai alasan penting yang patut diambil kira untuk mengekalkan SAR.

Pada pokoknya, SAR patut dikekalkan kerana dua perkara: Pertama, waktu pembelajaran agama di SAR dan juga subjek agama yang diajar di SAR lebih banyak daripada yang diajar di sekolah aliran kebangsaan. Inilah sebab utama mengapa buat masa ini SAR mesti dikekalkan.

 Pelajaran agama yang diajar di sekolah kebangsaan, sama ada dari segi masa dan juga subjek yang diajar dianggap tidak mencukupi.

Kedua, yang mungkin lebih penting, SAR bukan sahaja mengajar pelajaran agama, tetapi juga dapat memastikan para pelajarnya ‘menghayati’ mata pelajaran agama yang dipelajari itu.

Murid-murid aliran kebangsaan mungkin dapat banyak A dalam peperiksaan dan dengan itu dikatakan prestasinya sangat cemerlang. Akan tetapi, sebahagian daripada pelajar berkenaan mungkin tidak lancar membaca Quran, tidak rajin bersembahyang secara berjemaah dan tidak boleh membaca doa pun!

Sebabnya ialah suasana pembelajaran di sekolah aliran kebangsaan itu lebih memberi tumpuan kepada pembelajaran akademik sahaja, dan bukan penghayatan terhadap pelajaran agama itu.

Sebaliknya, suasana pembelajaran di SAR saya yakin lebih mendorong para pelajarnya, bukan sahaja mempelajari, tetapi juga menghayati pelajaran agama yang mereka pelajari.

Dengan itu, walaupun mereka tidak mendapat A dalam peperiksaan, tetapi mereka menghayati pelajaran agama yang mereka pelajari dengan sebaik-baiknya. Inilah perbezaan mereka dengan pelajar sekolah aliran kebangsaan.

Dengan mengambil kira dua perkara di atas, maka soal prestasi yang dijadikan alasan baru oleh kerajaan untuk ‘mengesahkan’ memberhentikan bantuan kepada SAR itu bolehlah dianggap tidak relevan., dan bukan alasan yang wajar untuk memberhentikan bantuan itu.

Kiriman Salman Madani - 18.03.2003 (semakan/suntingan M@RHAEN)


Tapak Cerminan M@RHAEN http://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com

Click Here!