Mentaliti Dunia Ketiga: Pemimpin Lagi Teruk?
Oleh Salman Madani
Ucapan Abdullah Badawi yang menegaskan bahawa Malaysia mempunyai kemudahan kelas dunia, tetapi rakyatnya masih mempunyai ‘mentaliti dunia ketiga’ mendapat liputan yang luas daripada akhbar arus perdana dan mendapat sokongan yang luas juga daripada rakyat negara ini.

Sebagai contohnya, dikatakanlah rakyat negara ini tidak tahu menghargai kemudahan yang disediakan oleh kerajaan, masih membuang sampah merata-rata dan sebagainya. Jika menjalankan tugas pula dikatakan tidak bekerja dengan cekap, amanah dan sebagainya.

Di sini saya tidak ingin mempersoalkan apa yang dikatakan ‘mentaliti dunia ketiga’ yang masih terdapat di kalangan rakyat. Sebagai masyarakat yang masih dalam proses peralihan daripada ‘masyarakat tani’ kepada ‘masyarakat industri’, ‘mentaliti tani’ yang (dikatakan juga ‘mentaliti dunia ketiga’) tentulah tidak akan hilang dengan serta merta.

Walaupun pembangunan fizikal di negara ini begitu pesat, sehingga dikatakan negara ini telah mempunyai kemudahan ‘kelas dunia’, tetapi pembangunan yang pesat ini tidak disertai oleh perubahan daripada segi sikap dan mentaliti rakyat. Ini bukanlah perkara yang luar biasa. Di kebanyakan negara lain pun begitu.

Akan tetapi, kerana terlalu ghairah membincangkan ‘mentaliti dunia ketiga’ di kalangan rakyat ini, kita seolah-olah lupa, atau mungkin disuruh melupakan, ‘mentaliti dunia ketiga’ di kalangan pemimpin. Malah ‘mentaliti dunia ketiga’ di kalangan pemimpin mungkin lebih teruk daripada di kalangan rakyat.

Sebenarnya ‘mentaliti dunia ketiga’ di kalangan rakyat, ada kembarannya dengan ‘mentaliti dunia ketiga’ di kalangan pemimpin. Jika di kalangan rakyat terdapat ‘mentaliti tani’, di kalangan pemimpin pula terdapat ‘mentaliti neo-feudalisme’.

Apa yang dikatakan ‘mentaliti neo-feudalisme’ ialah sikap yang terdapat di kalangan pemimpin kerajaan (khasnya di kalangan pemimpin politik yang berkuasa seperti Perdana Menteri) yang menganggap ‘kerajaan sentiasa betul’. Dengan itu, apa yang dibuat oleh kerajaan adalah sentiasa betul dan mesti diikut oleh rakyat. Kerajaan tidak mahu menerima kritik yang membina, tidak mahu mempertimbangkan pendapat atau cadangan yang berbeza, walaupun pendapat atau cadangan itu lebih baik dan lebih bernas daripada pendapat pemimpin yang berkuasa. Rakyat tidak boleh membantah; malah mesti menerima bulat-bulat apa yang diputuskan oleh pemimpin kerajaan yang berkuasa.

Contoh ‘mentaliti neo-feudalisme’ atau ‘mentaliti dunia ketiga’ ini sebenarnya sangat banyak. Selama berpuluh tahun Mahathir menjadi PM, sikap dan tindakan beliau adalah berasaskan mentaliti tersebut. Sayangnya rakyat Malaysia seolah-olah tidak menyedarinya, dan pemimpin berkenaan mungkin suka kalau rakyat tidak menyedarinya!

Dua tindakan kerajaan yang terakhir, iaitu memaksa supaya mata pelajaran Sains dan Matematik diajar dalam Bahasa Inggeris, dan memberhentikan bantuan kepada SAR adalah contoh yang paling jelas tentang terdapatnya mentaliti dunia ketiga di kalangan pemimpin negara ini.

Dalam kes pengajaran Sains dan Matematik, bukan tidak ada tokoh atau pakar pendidikan kita yang jujur dan berwibawa, yang telah memberi pendapat tentang tidak wajarnya kedua-dua mata pelajaran itu diajar dalam bahasa Inggeris, kerana tindakan itu akan ‘memusnahkan’ Dasar Pendidikan Kebangsaan yang dibina dengan susah payah selama ini, dan seterusnya akan membantutkan perkembangan ilmu dan tamadun yang menggunakan bahasa Melayu. Akan tetapi, semua pendapat para pakar itu diketepikan kerana pendapat seorang Perdana Menteri adalah lebih bernas dan sentiasa betul, dan mestilah diterima tanpa soal jawab lagi!

Dalam kes pemberhentian bantuan kepada SAR pula, walaupun rakyat seluruh negara bangkit untuk menyatakan tindakan kerajaan itu adalah tidak betul dan tidak wajar, dan mungkin bertentangan dengan semangat Perlembagaan Negara, tetapi kerajaan atau pihak yang berkuasa tidak mempedulikannya. Malah kerajaan mencari seribu-satu alasan dan dalih untuk mewajarkan tindakan tersebut, yang juga berpunca daripada ucapan dan pendapat seorang Perdana Menteri yang merasakan semua pendapatnya adalah betul dan sentiasa betul!

Kedua-dua contoh di atas mungkin sudah cukup untuk membuktikan betapa teruknya ‘mentaliti dunia ketiga’ (mentaliti neo-feudalisme) yang masih terdapat di kalangan pemimpin yang diagung-agungkan selama ini. Tidakkah kita mahu menyedarinya? Adakah kita masih ingin menyokong pemimpin tersebut?

- Salman Madani - 05.04.2003 (semakan/suntingan M@RHAEN)


Tapak Cerminan M@RHAEN http://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com

Click Here!