Rumus Kemenangan BN Dalam Pilihan Raya Umum (Bahagian I)
Pilihan Raya Umum (PRU) pertama sehinggalah kesepuluh yang lalu memperlihatkan kemenangan selesa Perikatan dan Barisan Nasional yang dipimpin oleh UMNO kecuali dalam Pilihan Raya Umum 1969. Dalam Pilihan Raya Umum 1969 berlaku peralihan sokongan pengundi bukan-Melayu daripada Perikatan kepada pembangkang yang amat ketara sekali menyebabkan Perikatan kehilangan banyak kerusi sehingga menghadapi masalah untuk menubuhkan beberapa kerajaan negeri. Tetapi oleh kerana barisan pembangkang ketika itu yang terdiri daripada PAS, DAP, Gerakan, PPP dan lain-lain tidak bersatu untuk menghadapi Perikatan walaupun mood rakyat ketika itu jelas menolak Perikatan, namun peluang menumbangkan Perikatan terlepas begitu sahaja dan berkesudahan dengan peristiwa hitam 13 Mei yang akhirnya dijadikan senjata oleh UMNO dan BN untuk mengugut para pengundi bukan-Melayu agar sentiasa memberikan sokongan mereka kepada UMNO dan BN dalam PRU-PRU seterusnya.

Kemenangan selesa BN ini juga akhirnya telah menjuruskan Malaysia ke arah kepimpinan authoritarian oleh Mahathir Mohammad kerana beranggapan kemenangan mutlak BN dalam PRU adalah suatu kemestian kerana pengundi walau pun muak dengan gelagat pemimpin BN akhirnya terpaksa akur bahawa formula BN adalah yang terbaik bagi Malaysia.

Kajian menunjukkan walau pun pengundi benci dan bosan akan BN namun mereka tiada pilihan lain selain mengundi BN kerana PAS dan DAP adalah dua Parti yang berlainan aliran dan tidak boleh bekerjasama. Umno akan memomokkan DAP kepada orang Melayu manakala Komponen yang lain pula akan memomokkan PAS kepada orang bukan-Melayu melalui media massa baik cetak maupun elektronik yang dikuasai. Maka lahirlah satu kesan negatif yang tertanam dalam minda pengundi mengenai dua parti pembangkang utama ini. Trend ini diteruskan lagi sehinggalah ke hari ini.

Apabila peristiwa hitam sejarah ketamadunan Malaysia berulang lagi pada 1990 ekoran pemecatan Tun Salleh Abbas sebagai Ketua Hakim Negara sekali lagi rakyat Malaysia terkedu kerana kerajaan BN tanpa segan silu telah campur tangan dalam urusan kehakiman dalam Negara ini dan sehingga ke hari ini system kehakiman dalam Negara kita ini terus dinodai dan diperkosai oleh Mahathir dan kuncu–kuncunya.

Anggota kabinet dan Ahli parlimen yang lain bukan tidak menyedari akan kepincangan ini tetapi untuk menjaga kepentingan diri hanya membiarkan ia terus berlaku malah mempertahankannya pula. Maka wujudlah satu sindrom bisu yang menyebabkan demokrasi layu dan menuju kepupusan. Sebarang tindakan Mahathir hanya diiakan sahaja tanpa dibahas buruk baiknya dan dicarikan pula dalih untuk membenarkan tindakan tersebut.

Kerakusan Mahathir semakin serakah satu lagi peristiwa hitam melanda Negara ini iaitu peristiwa hitam Anwar Ibrahim (tak perlu diperbutirkan di sini) dan peristiwa–peristiwa yang berlaku seterusnya sudah cukup untuk menumbangkan sebuah kerajaan yang memerintah tetapi sekali lagi dalam Pilihan Raya Umum ke-10 BN sekali lagi diberi mandat untuk memerintah Malaysia walau pun dengan imej yang tercalar kerana Negeri Terengganu telah jatuh ke tangan PAS. Namun tampuk pemerintahan kerajaan pusat BN menang selesa melebihi 2/3 majoriti.

Soalnya sekarang, peristiwa hitam yang bagaimana lagikah yang perlu melanda Negara kita ini untuk rakyat membuka mata untuk mengubah kerajaan yang ada?

Jawapannya: Tidak akan ada satu peristiwa hitam yang akan mampu menggugat BN selagi barisan pembangkang hari ini iaitu Barisan Alternatif dan DAP serta parti–parti kecil di Sabah dan Sarawak tidak bersatu dan mewujudkan satu manifesto bersama untuk menghadapi BN dalam PRU yang akan menjelma sedikit masa lagi.

Kita akan membicarakan berkenaan BAB ini dalam artikel yang akan datang. InsyaAllah.

AllahuAkbar 3x …….Reformasi 3 X

Sham Abadi - 31.05.2003 (suntingan M@RHAEN)


Tapak Cerminan M@RHAEN http://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com

Click Here!