Bukti Mengaitkan Talian Elektrik Dan Tumor Otak
Kajian selama 8 tahun
Talian elektrik yang bergantungan dan peralatan elektrik dalam rumah meningkatkan risiko mengidap barah, menurut hasil kajian yang dibuat selama 8 tahun tentang kesan medan elektromagnet (electromagnet field). Kajian yang bernilai 4.5juta Paun Sterling itu, satu kajian yang terbesar bagi menilai kesan elektrik terhadap kesihatan mencadangkan bahawa ratusan ribu rakyat Britain, terutamanya kanak-kanak berada dalam risiko terhadap penyakit-penyakit merbahaya yang disebabkan oleh pengeluaran medan elektromagnet itu. Wanita mengandung juga menghadapi risiko keguguran yang tinggi.

Penemuan itu akan diperlekehkan oleh jurukempen yang menolak medan electromagnet yang terhasil dari talian kuasa elektrik dan menara telefon bimbit bertanggungjawab bagi kejadian leukaemia dan barah yang berpolar di seluruh Britain. Lembaga Perlindungan Radioaktif Kebangsaan, NRPB, Lembaga pemerhati milik Kerajaan ke atas kesan Radiasi telah mengeluarkan laporan tahun lalu bahawa kajian mereka tentang kesan Medan Elektronik itu tidak mencapai kata putus.

Kajian terkini sedang dilakukan oleh ‘California Public Utilities Commission’, keputusan penuh kajian dijangkakan akan diterbitkan dalam masa beberapa bulan terdekat ini. Para Ahli Sains akan menilai hasil kajian terdahulu yang dilakukan seluruh dunia, termasuk Britain, juga melakukan ujian baru di kawasan San Francisco. Para pengkaji telah memberitahu akhbar The Telegraph betapa mereka percaya bahawa Medan Elektromagnet meningkatkan risiko terhadap penyakit-penyakit yang meragut nyawa seperti Leukaemia kanak-kanak, tumor otak orang dewasa dan Amyotrophic lateral Sclerosis, sejenis penyakit degeneratif yang menyerang sel-sel saraf dan saraf tunjang (spinal cord)

Dr Raymond Neutra dari Jabatan Kesihatan California, yang mengetuai kajian itu berkata, “di Negara Britain ratusan ribu rumah terdedah kepada Medan Elektromagnet yang memungkinkan mereka dalam keadaan berisiko”.

Dr Vincent Del Pizzo, ahli veteran dalam Tim Pengkajian itu berkata, “ orang awam berhak diberi amaran tentang hal itu, akan tetapi sama ada akan ada usaha mengurangkan Medan Elektromagnet adalah suatu yang perlu dibuat keputusannya.”

Hubungkait pertama yang dibuat antara talian kuasa elektrik dan tumor dibuat di Amerika pada tahun 1979. Walau bagaimanapun sesetengah laporan telah menolak hubungkait itu, manakala setengah yang lain pula mengatakan bukti yang diberi tidak mencukupi untuk satu rumusan. Sehingga kini tindakan perundangan yang mahal dan lama itu mungkin menemui kegagalan kerana ketiadaan bukti yang kukuh.

John Scott seorang MSP Konservatif Ayr pernah memimpin kempen yang gagal dalam menghentikan projek pembinaan lebih 200 pencawang elektrik di Ayrshire Selatan, kelmarin telah berkata, “Implikasi kajian ini begitu besar kesannya ke atas Syarikat-syarikat Penghasilan Tenaga Elektrik.”

Sekiranya hasil kajian menuntut pembumian semua talian kuasa elektrik, kosnya akan meningkat kepada berbillion Pound Sterling. Seorang jurucakap Persatuan Pengeluar Elektrik berkata: “ Sekiranya kerajaan mengeluarkan dekri mengarahkan penanaman talian elektrik, kosnya pasti akan dibebankan kepada pengguna secara terus.”

Pemasangan kabel bawah tanah bagi setiap satu batu menelan belanja 16 juta Pound, sedangkan pemasangan talian gantung hanya menelan sekitar 800,000 Pound bagi jarak yang sama.

Syarikat pembekal kuasa elektrik akan menghadapi saman yang panjang dari keluarga-keluarga yang mendakwa kesihatan mereka terganggu oleh Medan Elektronik itu, begitu jugalah dengan syarikat pembuatan barangan elektrik rumah. Martyn Day, seorang Peguam yang mewakili berdozen keluarga yang sedang mempertimbangkan tindakan mahkamah ke atas Syarikat pembekal kuasa terbabit, berkata: ‘Bukti-bukti telah dikumpulkan sejak 23 tahun lalu dan laporan ini menunjukkan ia adalah suatu yang penting sebagai maklumat tambahan.”

Antara mereka yang ditimpa masalah berkait Medan Elektrik ialah pasangan Ray dan Denise Studholme, yang percaya anak mereka Simon tentu masih hidup jika tidak kerana pendedahan kepada medan electromagnet yang kuat dalam bilik tidurnya. Sewaktu Simon tidur kepalanya berada kurang dari 3 kaki dari meter elektrik dan alat penggera keselamatan yang berada di dalam almari ruang tamu. Menurut keluarga itu, ujian yang dilakukan selepas kematian anak kesayangan itu menunjukkan kedua peralatan elektrik itu mengeluarkan medan elektromagnet 6 kali melebihi tahap selamat yang dibenarkan.

Simon telah disahkan mengidap Leukaemia pada November 1990, hampir dua tahun setelah keluarga itu berpindah ke rumah tiga bilik tidur berhampiran Bolton, Greater Manchester. Beliau meninggal dunia pada September 1992 ketika berusia 13 tahun.

Keluarga terbabit berharap dapat menggunakan hasil kajian itu nanti bagi mendakwa Syarikat pembekal elektrik, Norweb. Mereka menggugurkan kes awam itu 5 tahun lalu apabila hilang kelayakan mereka mendapat bantuan guaman.

“Kita menghadapi laluan sukar bagi memenangi gantirugi,” kata Encik Studholme, 54 tahun, yang bersara dari jawatan Penasihat Kewangan ekoran masalah kesihatannya.

“Saya tentu tidak akan membenarkan Simon tidur di situ sekiranya saya tahu tentang medan elektromagnet itu. Dalam tempoh 6 bulan berpindah ke situ, mendiang Simon sering mengadu sakit kepala dan pening-pening sebaik bangun tidur,” kata Encik Studholme.

Di Amerika hampir 5 peratus rumah awam mempunyai kadar Medan Elektromagnet yang tinggi dan dikira bahaya. Adalah dianggarkan bahawa sejumlah peratusan yang sama di Britain berada dalam risiko, sama ada oleh talian kuasa berhampiran, pendawaian dalaman ataupun peralatan elektrik.

Dr Michael Clark, jurucakap saintifik bagi NRPB, berkata kelmarin bahawa Lembaga itu mengalu-alukan kajian baru tentang kesan medan elektromagnet itu, akan tetapi enggan mengulas hasil kajian dari California itu sehinggalah mereka meneliti laporan penuh kajian terbabit.

Roger Coghill seorang pemilik makmal Sains persendirian di Pontypool, Gwent, dan pernah mengkaji kesan medan itu terhadap kesihatan manusia lebih satu dekad lalu, menyatakan betapa tertariknya beliau dengan projek kajian terbaru itu. “Ini adalah satu kajian yang besar, dijalankan dengan teliti dan orang awam mesti menghargai keputusannya. Sesetengah Syarikat tenaga elektrik secara sengaja telah menekan kajian seumpamanya. Namun akhirnya kebenaran akan muncul juga dan inilah kebenaran yang dinanti selama ini. Kita semua berada di pihak yang sama: kita semua mahukan kemudahan elektrik akan tetapi kita tidak mahu ketumbuhan (barah) otak.”

Walau bagaimanapun persoalan bagaimana pendedahan kepada medan itu dapat menghasilkan tumor masih tinggal sebagai tandatanya. Kekuatan medan magnetik itu menurun dengan cepatnya dari talian kuasa gantungan pendawaian elektrik. Kajian tentang tisu hidup dan binatang ujian yang terdedah kepada medan elektromagnet selemah itu gagal mendedahkan sebarang perubahan sel tidak terkawal yang biasanya dikaitkan dengan barah.

Artikel asal dapat dibaca di sini.
Terjemahan N-SPAR (suntingan M@RHAEN) - 11.03.2003


Tapak Cerminan M@RHAEN http://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com

Click Here!