TAG 1523:
Sandiwara Yang Menjebak Malaysia ke Dalam Kancah Nuklear Dunia Islam
(The Malaysian comedy of errors in the Islamic chain and the global war on terrorism) Oleh MGG Pillai 05.02.2004

Tersebut kisah hikayat purba China di mana ada seorang Maharajah China yang begitu takut akan gerakan penggulingannya sehingga dia merancang rapi satu sistem pembunuhan sesiapa sahaja yang dianggap berkemungkinan menjadi musuhnya, termasuk ahli keluarga musuh bayangannya itu. Kemudian, dirancang pula usaha membunuh golongan cerdik-pandai yang dianggap mampu merencana penggulingannya, termasuk golongan tukang mahir dan pemilik perkakasan yang dianggap boleh digunakan terhadap pemerintahannya. Demikianlah dahsyatnya ketaksuban itu sehingga rakyat bangkit meminta penasihat raja memberitahu baginda betapa kegilaannya itu akan menghancurkan takhta yang didudukinya. Memanda penasihat itu terus memikirkan perkara itu sedalam-dalamnya. Ketika beliau berjalan seiring dengan baginda dia ternampak seorang tukang kebun di taman itu. Lantas dia berpaling kepada Maharajah dan berkata: “Ampun patik Tuanku, eloklah Tuanku bunuh si tukang kebun itu!” Maharajah terkejut beruk, lantas berpaling wajah merenung penasihatnya sambil bertanyakan alasannya. “Tuanku,” jawab si tukang jilat itu tadi, “si tukang kebun itu mempunyai wajah seorang yang mungkin melakukan onar satu hari nanti.”

Cuba kita ambil iktibar akan cerita dongeng ini dan rangkumkan keadaan semasa dengan melakukan sedikit perubahan kepada kisah dongeng itu mengikut senario di London dan di Washington semasa mereka bertindak mengganyang Iraq. Presiden Saddam Hussein difitnah memiliki senjata berat pemusnah dan dianggap menjadi pengancam besar dunia dan mesti dihapuskan. Sebenarnya dia tidak memiliki semua itu, tetapi dianggap mampu membelinya bila-bila dia mahu. Lantas mereka merancang mengganyang beliau dan negara yang diperintahnya. Seperti juga dengan Maharaja China dahulu, Presiden George Bush dan Perdana Menteri Tony Blair terpaksa memusnahkan musuh bayangan mereka. Seperti yang terjadi di China, mereka berdua ini terpaksa berdepan dengan dalil-dalil yang tidak dapat diterima-pakai, tetapi mahu terus bertegas betapa semua alasan itu adalah benar. Cuma, setakat ini mereka belum berjaya lagi dengan pembohongan ini.

Kisah paranoia (gila) ini telah dicipta di Britain dan Amerika Syarikat sejurus barat mendapati bahawa kumpulan militan Islmiah dan semua pemimpin yang telah mereka latih berjaya memusnahkan empayar Soviet Union. Lantas timbul kesedaran kepada tukang ajar di Barat itu betapa anak didik mereka semua akan menggigit tangan yang memberikan suapan dahulu. Itu sebabnya Afghanistan dijajah, dan Iraq diserang. Inilah yang membuatkan keseluruhan dunia Islam menjadi kelam-kabut. Washington dan London telah bersekongkolan merancang satu kelentungan di kalangan negara-negara Islam yang tidak bersetuju dengan rencana mahu menguasai dunia Islam dan khazanah minyaknya. Apa yang termampu dilakukan setakat ini ialah menghenyak semua negara itu agar kelam-kabut melalui tekanan agar bersetuju dengan agenda global mereka. Akan tetapi rakyat warga negara semua negara itu amat marah dengan rancangan mereka. Sebenarnya Washington dan London tidak berapa memahami siapakah musuh yang mereka perangi itu, namun mereka terlalu yakin untuk menang. Mereka percaya bahawa musuh mereka bergerak sama caranya dengan gelagat mereka, lengkap dengan kelengkapan komputer, dengan rencana jangka panjang dan pendek. Sedangkan apa yang sebenar berlaku musuh yang bertunjangkan masyarakat kabilah itu bergerak dengan cara yang amat berbeza rentaknya, bersatu hanya disebabkan musuh mereka itu adalah kumpulan yang sama. Kerana itu mereka disuntik oleh satu semangat kerana tertindas, dan menyebabkan mereka berupaya bergerak bebas dan tanpa kawalan arah tuju satu operasi pusat.

Satu hari nanti dongeng yang mengatakan Osama bin Laden dan kumpulan Al Qaeda bertanggungjawab memusnahkan Pusat Dagangan Dunia di New York, dan Pentagon di Washington pada 2001, sedangkan kerja-kerja itu dibuat oleh kumpulan yang berbeza. Cuma perkara semacam itu dianggap tidak masuk akal orang-orang di Barat.

Apabila gagal menemui sebarang bukti di Iraq, Washington dan London telah dihujani pelbagai tuduhan kenapa mereka sengaja mahu berperang. Oleh kerana Pilihan Raya Presiden akan dilakukan pada bulan November, mereka terus mencari alasan lain pula. Mereka tumpukan perhatian ke arah Pakistan. Secara tiba-tiba Bapa Nuklear Pakistan, Dr. Abdul Qader Khan telah dituduh menjual rahsia nuklear kepada Iran, Libya dan lebih karut lagi kepada Korea Utara. Dr. Khan telah muncul di kaca TV dan mengaku betapa dia mempunyai satu jihad untuk menggalakkan negara Islam memiliki keupayaan sumber nuklear. Kalau Korea Utara berada dalam senarai yang diisytiharkan itu, menunjukkan betapa Dr. Khan hanya memainkan satu peranan kecil sahaja. Program nuklear Pakistan adalah kelolaan Angkatan Bersenjata Pakistan. Dr. Khan telah membuat pengakuan bahawa dia tidak melakukan kerja-kerja penjualan rahsia kerajaan. Program nuklear Pakistan itu adalah satu rahsia besar dan kalau apa yang disebut oleh Dr. Khan mempunyai kebenarannya, tentulah beliau sudah lama kena gam beberapa tahun dahulu lagi. Kini, beliau ternyata merupakan satu kambing korban yang sungguh berguna untuk mengampunkan peranan Washington sebagai pencetus perang mengganyang keganasan di merata dunia.

Semakin jelas kini bahawa Dr. Khan akan diberikan keampunan tanpa ada sebarang tindakan terhadapnya. Jika tidak, beliau boleh dicop sebagai seorang penderhaka. Tetapi adakah sebarang hukuman kerana tindakannya itu? Akan tetapi, beliau tidak boleh dikenakan sebarang tuduhan, seperti juga yang berlaku di Baghdad terhadap Saddam Hussein, tanpa mencetuskan keadaan betapa yang menuduh boleh bertukar peranan sebagai yang tertuduh. Majikan Dr. Khan, Angkatan Bersenjata Pakistan, terlepas tangan. Presiden Musharraf yang sudah pasti mengetahui tindakan Dr. Khan selama ini kerana dialah orang yang berkuasa ketika itu, terlepas begitu sahaja. Demikianlah kesudahannya, jika tidak Washington tidak boleh melancarkan perang besar di Pakistan dan Afghanistan. Kisah bagaimana pemimpin Pakistan itu berjaya mengelak daripada dua usaha membunuhnya, adalah gambaran betapa Washington turut gelabah dibuatnya. Mereka saling memerlukan dan kerana itu orang semacam Dr. Khan menjadi serangan mereka.

Sekarang berbalik kita di Malaysia yang semacam Pakistan juga mempunyai satu keyakinan betapa semua negara Islam di dunia ini mesti berusaha untuk memodenkan dirinya. Saya telah mendengar pandangan begini selama beberapa tahun ini di Kuala Lumpur dan Islamabad, di mana mantan Perdana Menteri TKT Mahathir memang begitu mudah menyediakan bantuan kepada apa juga negara Islam yang sanggup berusaha mencapai sasaran beliau. Apabila Dr. Khan membuat dua kali lawatan ke negara ini, dia bukannya datang untuk menikmati roti naan dan daging kambing masalla di Restoran Omar Khayam. Tetapi, kerajaan Malaysia berkata kedatangannya itu bukannya untuk bertemu sesiapa yang berpangkat tinggi dalam kerajaan.

Penafian begini memang sukar diterima pakai. Lebih-lebih lagi kalau diambil kira siapa yang menjadi Pesuruhjaya Tinggi Pakistan di Kuala Lumpur pada waktu itu. Beliau ialah Lt. General Nassim Rana bekas Ketua Turus Biro Perisikan Pakistan yang bertanggungjawab membolehkan Taliban naik berkuasa di Afghanistan. Beliau merupakan seorang insan yang sungguh pintar menguis ke tepi segala isu mengenai pembabitan beliau dan melencung kepada perkara lain pula. Presiden Musharraf memang sungguh mempercayai beliau dan saya amat yakin ketika itu bahawa beliau ditugaskan di Kuala Lumpur ini bukanlah kerana alasan Musharraf mahu menentukan orang yang mampu menggulingkannya berada di luar negara. Tentu tidak masuk akal kalau beliau tidak menguruskan pertemuan Dr. Khan dengan orang kenamaan di Malaysia.

Ketibaan Dr. Khan dikatakan telah dilakukannya sebelum berlakunya satu urusan jual-beli antara satu syarikat Dubai, Gulf Technical Industries LLC (GTI) yang diuruskan oleh seorang warga Sri Lanka, Mr. B.S. A. Tahir dengan sebuah firma di Shah Alam. Syarikat Shah Alam itu diberikan kontrak untuk membekalkan serombong ‘centrifugal’. Tetapi, bekalan GTI itu telah dipintas oleh satu pasukan perisikan Eropah akhir tahun lalu, menyebabkan Malaysia terpalit dalam satu rangkaian pembekalan alat-alat pembinaan senjata nuklear. Inilah yang membuatkan seorang pegawai Pentagon muncul di pejabat Timbalan Perdana Menteri untuk memberi ingatan akan kisah itu. Najib pantas bingkas dan mengaku tidak tahu menahu akan perkara itu. Rupanya, tujuan sebenar Pentagon adalah untuk mengaitkan kisah itu dengan TKT Mahathir. Akan tetapi ia sudah menanah dan menjadi satu keaiban kepada Washington dan Kuala Lumpur kerana ia sudah melibatkan Perdana Menteri baru, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi. Adalah tidak menghairankan apabila akhbar perdana Malaysia berhati-hati tidak mahu menyebut nama Paklah sebagai ada kaitan dalam skandal ini.

Rupanya, satu syarikat yang dikuasai oleh anak Paklah, Kamaludin Abdullah, yang telah diberikan kontrak membekalkan 14 unit serombong nuklear itu berharga RM13 juta semuanya, dan bekalan dihentikan pada Ogos tahun lalu. Dengan lain perkataan ada satu kilang yang dibina lebih besar harganya daripada harga barangan kontrak yang dibuatnya, kini sedang ketandusan projek. Komponen yang dihasilkan itu boleh digunakan untuk rencana perubatan, tapak minyak dan gas, dan juga kilang nuklear. Yang menghairankan tidak ada satu soalan mengenai bila ia dihasilkan untuk kegunaan akhirnya. Kita tentu mahu tahu kenapa pihak kastam tidak berjaya mengesan pengeksportan barangan nuklear seperti itu. Apakah serombong nuklear itu dibina mengikut ukuran yang disediakan oleh Pakistan? Inilah yang membuatkan semua pihak gelabah sakan. Amerika Syarikat telah berusaha mengatakan betapa kilang itu dan syarikat induknya tidak bertanggungjawab. Lagi pun, Malaysia sudah lama bingkas tidak mahu ada kaitan dengan kisah ini. Pakistan pun sama juga. Tetapi, Pakistan dan Malaysia sedang diserang sekarang ini. Malangnya para pemimpin kedua-dua negara ini yang turut terjebak sama. Sesungguhnya memang banyak lagi rahsia terpendam di sebalik episod ini.

- MGG Pillai
Terjemahan MT-SPAR (suntingan M@RHAEN) - 06.02.2004

Hantar artikel ini kpd sahabat: 


Sertai Maillist M@RHAEN