TAG 1581:
Dalam Konfrontasi Berproksi Pusingan Pertama: Anwar:1 Paklah 0
(In their first proxy confrontation, it is Dato' Seri Anwar 1 Pak Lah 0) Oleh MGG Pillai - 17.04.2004

Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, menerima kemenangan besar dalam pilihan raya umum bulan lalu. Barisan Nasional (BN) telah memenggal parti pembangkang. Tetapi itu adalah kemenangan yang kosong sahaja tanpa banyak makna. BN telah menang, dan itulah sahaja. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat perubahan kepada peraturan pilihan raya sesuka hati mereka, tanpa takut kepada tindakan terhadap perbuatan jijik itu. Hukum-hakam pilihan raya dan juga waktu membuang undi bertukar sesuka hatinya. Kalaulah SPR mematuhi perundangan yang dibuatnya, sudah tentu keputusan pilihan raya tidak menjadi semacam itu. Pengerusi SPR kerap bertukar-tukar kenyataannya di setiap persidangan akhbar sedangkan dia sendiri telah mencadangkan agar satu Suruhanjaya DiRaja ditubuhkan untuk menyiasat segala kepincangan yang terjadi. Tetapi Paklah tidak bersetuju. Namun, Perdana Menteri yang amat berminat dengan kesan pilihan raya ini, sepatutnya tidak boleh membuat keputusan begitu. Sepatutnya semua parti politik dirujukkan dulu perkara ini. Di Selangor, yang paling baik patut diadakan oleh SPR ialah mengadakan pilihan raya umum kali kedua, tetapi ia amat tidak berkuasa untuk menentukannya.

Hasilnya, Paklah berada di atas singgahsana yang tidak bermakna, kerana negara sudah berpecah-belah tidak menentu halanya. Lebih-lebih lagi setelah seorang mantan Timbalan Perdana Menteri diaibkan, dibuang, dan dihenyak sehingga lebam matanya sedangkan tangannya terikat di belakang dan matanya ditutup dan seterusnya beliau terpenjara. Satu ketika dahulu, inilah yang menyebabkan orang Melayu lari jauh daripada Umno semasa pilihan raya umum 1999, tetapi kali ini, keadaan bukan lagi lebih serius tetapi perpecahannya boleh berkekalan, lainlah kalau BN berusaha perbaiki keadaan. Inilah satu harapan yang tidak akan kesampaian. Lebih-lebih lagi apabila BN dan PAS, tersilap congak akan impak pengaruh Anwar Ibrahim ke atas Pilihan Raya Umum. Dua parti itu kehilangan pengaruhnya, satu di kalangan masyarakat dan yang satu lagi di dalam pilihan raya umum itu. PAS sengaja telah memperkecilkan pengaruh Anwar dan impaknya, sehingga sanggup berkempen tanpa mengambil kira nasib beliau. Itu sebabnya ia kalah teruk. Sebenarnya PAS tidak mempunyai faktor pukulan maut untuk bertarung secara berdepan dengan UMNO, walaupun jentera pilihan raya parti diakui mantap. Sepatutnya ia perjuangkan nasib Anwar dan kerana keangkuhannya ia kini terpinggir juga.

BN, terutamanya UMNO bertegas secara terbuka bahawa Anwar sudah menjadi hiasan sejarah sahaja. Ia mengabaikan perasaan akar-umbi betapa UMNO sudah melakukan satu kerja biadab dengan menyumbat seorang bakal Perdana Menteri ke dalam penjara. UMNO bertegas betapa Anwar sudah kehilangan sokongan di akar umbi dan orang Melayu sudah berpaling semula menyokong UMNO. Itulah anggapan yang sebaliknya. Secara peribadi Paklah mesti memusnahkan Anwar kalau dia mahu terus berkuasa dalam politik. Tetapi caranya melakukan perkara itu memang pelik sikit. Paklah bertindak menyanggah Anwar secara menggunakan proksi di Permatang Pauh di mana kerusi Anwar disandang kini oleh isterinya Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail. Paklah menggunakan senjata rahsia dalam bentuk seorang bekas imam Masjid Negara, Dato' (Duit) Pirdaus Ismail. Datuk Imam Duit ini berusia 38 tahun, dan merupakan seorang Alhafiz. Kalaulah beliau menang dulu, sudah tentu dia dilantik menjadi Menteri Hal Ehwal Islam. Ini caranya Paklah menggunakan serampang dua mata kalaulah rencana beliau berjaya. Malangnya dia kecundang juga.

Paklah berkempen di konstituensi itu sebanyak empat kali dalam tempoh kempen hanya lapan hari. Begitu juga dengan ramai pemimpin BN dan UMNO. Cuma ada satu kesilapan dalam strategi BN ketika itu. Mereka tidak mempunyai sebarang strategi rupanya. Calon yang mereka tonjolkan ternyata tidak sesuai. Rupanya dia mempunyai rekod lama yang ‘buruk’. Beliau pernah menolak satu kontrak kepada sebuah syarikat UMNO dengan keengganannya menerima sogokan bayaran rasuah bernilai RM30,000 sahaja (sedangkan yang dimintanya dulu ialah RM50,000) bagi kerja-kerja membersihkan dinding Masjid Negara untuk tempoh satu tahun. Di kawasan Permatang Pauh dia lebih dikenali sebagai Tok Imam Duit dan Tok Imam Rasuah. Inilah yang membuatkan kempen beliau menjadi semakin mudarat. Pertama kali Paklah tiba berkempen di situ, dia telah disambut oleh orang ramai yang ceria dan bertepuk gembira. Apabila dia menurunkan cermin keretanya, Paklah telah disogokkan satu gambar potret Anwar Ibrahim yang besar. Orang yang menunjukkan potret itu bertanya beliau: “Masih ingat dia tak?” Akan tetapi mereka lebih ganas terhadap Ustaz Pirdaus. Setiap kali berjabat tangan dengan beliau mereka sisipkan duit siling lima sen sebagai tanda mengaibkannya. Yang lebih teruk kali ialah ketika mereka mengerumuni keretanya dia akan menurunkan jendela dan mereka pun mencampak wang siling ke dalam kereta itu.

Datin Seri Wan Azizah telah menang semula dengan kelebihan 33 undi. Pada keesokan harinya diadakan kiraan semula sebanyak tiga kali dan dia menang dengan kelebihan 590 undi. Selalunya kertas undi dikumpul dan disusun sebanyak sepuluh keping setiap satu ikatan. Keputusan bergantung kepada kiraan ikatan yang disahkan. Bagi Wan Azizah setiap ikatan mengandungi lebih sepuluh helai kertas undi sedangkan ikatan untuk pencabar beliau mengandungi kurang daripada sepuluh helai setiap satu. Apabila semua ikatan itu dihitung semula barulah terserlah penipuan yang direncana. Dengan lain perkataan, walaupun banyak halangan yang dihadapinya, Wan Azizah menang juga. Tetapi Ustaz Pirdaus tidak mahu lepaskan perkara itu kerana dia mahu mencabarnya di mahkamah nanti. Kita harus ingat betapa Pirdaus adalah orang pilihan Paklah. Kini BN dan UMNO Permatang Pauh sudah diberitahu bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya semula. Tetapi saya tidak nampak apa pentingnya pilihan raya semula di situ tanpa menjejaskan wibawa Paklah lagi. Walaupun banyak bantuan yang menyebelahi Pirdaus, Paklah masih tidak mampu menumpaskan musuh ketatnya. Kalaupun Pirdaus menang, bukannya bererti Paklah akan dapat kemenangan besar daripadanya. Dalam konfrontasi pusingan pertama antara beliau dengan Anwar, walaupun menggunakan proksi, Paklah sudah kalah.

Paklah tidak pun akan mendapat banyak keuntungan seandainya Pirdaus menang. Nampak sangat dia tidak sesuai dijadikan senjata rahsia Paklah seperti yang diidamkannya. Pirdaus memang terlalu pelahap kepada dunia kebendaan ini. Di sebalik tuduhan korupsi yang dihalakan padanya, mereka yang bergelar Alhafiz bukanlah kaum yang amat sukar didapati di negara ini. Ramai kanak-kanak berusia 12 tahun yang pandai menghafaz Al-Quran. Tentu Paklah boleh mencari orang lain sebagai pengganti si Pirdaus pelahap, itu. Itu sebabnya PAS ketawa besar dalam kes saman mahkamah yang mahu dikemukakan oleh Pirdaus. Tidak ada yang istimewanya pada Pirdaus. Lainlah kalau seseorang itu adalah Isa al–Masehi, ataupun Gautama Buddha ataupun Sankarachaya. Kini, Pirdaus diambil untuk menganggotai Majlis Tertinggi Pemuda UMNO. Sekali lagi ini merupakan satu kesilapan. Kekuatan yang ada pada Pirdaus mengikut kaca mata Paklah ialah keagamaannya. Kenapa pula dia diberikan status ahli politik Gred B? Kalau pun ada pilihan raya semula di Permatang Pauh, ia tidak akan melakukan apa-apa perubahan di sana. Dato’ Seri Anwar Ibrahim masih mempunyai pengaruh lagi. UMNO sengaja melupakan perkara ini dan sedang dihantui bencana juga.

MGG Pillai
pillai@streamyx.com
20.04.2004 - Terjemahan MT-SPAR (suntingan M@RHAEN)

Hantar artikel ini kpd sahabat: 


Sertai Maillist M@RHAEN