TAG 1790:
Sikap Bermuka-Muka Dalam ASEAN,
Urusan Dua-Hala Dan Lawatan-Lawatan Lain
(The farce of ASEAN, bilateral and other visits)
Oleh: MGG Pillai23-02-2005 01:10 am     - Laman M@RHAEN
(Artikel Asal ada dalam HARAKAH terbitan terkini)
Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loon, telah mengadakan lawatan ke Indonesia dan Malaysia. Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono, telah melawat Singapura dan Malaysia. Perdana Menteri Malaysia, Dato Sri Abdullah Ahmad Badawi telah melawat Singapura dan Indonesia pula. Setiap lawatan ini dibuat sejurus mereka naik memegang kuasa dan dikatakan lawatan dua hala (bilateral) sedangkan ia sepatutnya menjadi salah satu kemestian dalam merancakkan hubungan ASEAN. Akan tetapi, apakah masih wujud konsensus ASEAN itu kini? Tidak. Apa yang satu ketika dahulu merupakan satu pertubuhan serantau yang sungguh berpengaruh sudah pun menjadi satu pertubuhan yang dalam bayangan sahaja. Malaysia dan Singapura yang satu ketika dahulu menjadi tulang belakang pertubuhan itu sudah tidak lagi ghairah menjadikan pertubuhan itu secergas dahulu. Pertubuhan ASEAN kini merupakan hidup segan mati tak mahu. Hanya Singapura yang masih menghidupkannya dengan membesarnya keahlian pertubuhan itu berganda menjadi sepuluh. Tumpuan aktiviti pertubuhan itu sudah pun beralih daripada Jakarta ke Bangkok apabila Buddhisme menggantikan Islam sebagai agama kepercayaan yang dominan. Kini, Singapura tidak lagi mahu berpura-pura dengan menyokongnya selepas mengetepikan peranannya sebagai proksi Amerika di rantau ini dalam peperangan menentang keganasan dan mengganyang Islam.

Suasana siku-menyiku terus berlaku. Pegawai kerajaan dan ahli politik masih tidak sanggup memberi ruang pada orang lain ataupun menjelaskan pendapat mereka. Tujuannya ialah memperlekehkan orang lain sambil berpura-pura kepada warga negara sendiri yang hanya dia sahaja boleh dipercayai untuk mewakili mereka dalam urusan dengan negara luar, terutama jiran tetangga yang mereka benci. Mereka menganggap penting menonjolkan kepentingan warga negara sendiri. Undang-undang antarabangsa dan amalan ASEAN sengaja diperlekeh, walaupun usaha itu kerap menemui jalan buntu. Perang-saudara di Indonesia membabitkan kerajaan pusat dan Aceh masih tidak boleh tamat walaupun Aceh sudah lumat dilanda tsunami dan gempa bumi. Pihak pemberontak dan pejuang kemerdekaan yang masih berkuasa kerana mereka yang berada di sana. Angkatan tentera Indonesia masih tidak mahu berkompromi walaupun sekurang-kurangnya 25,000 nyawa askarnya hilang ditelan tsunami.

Ketika di Malaysia Mr. Lee hanya memikirkan perkara dua hala sahaja, sambil menawarkan perdagangan dalam penyelesaian politik Malaysia yang banyak tidak relevan. Contohnya ialah cadangan haprak menggantikan Tambak Johor dengan jambatan bengkok yang merupakan cetusan rasa segera sekumpulan pemimpin UMNO dan  para peniaga. Itulah cadangan yang tidak masuk akal kerana Singapura hanya berminat dengan bekalan air Johor yang berkekalan dan hak menggunakan ruang udara Malaysia. Yang jelas ialah kelemahan Paklah untuk menyelesaikan masalah, walaupun UMNO Johor bertegas yang mereka mesti dirujuk dahulu dalam perkara itu. Nampak sangat bagaimana Paklah adalah tidak berbeza dengan seorang maharaja yang telanjang bogel satu ketika dahulu sedangkan maharaja itu masih tidak mahu mengaku berlagak begitu. Nampak sangat bagaimana ketiga-tiga negara ini hanya pandai main kata-kata menaikkan semangat bala tentera mereka sambil menaikkan kejengkelan jiran tetangga sahaja.

Memang, ASEAN adalah laksana rumput di tepi jalan - hidup segan mati tak mahu. Seperti juga ‘League of Nation’ (di Switzerland satu ketika dahulu - penterjemah) yang lumpuh beberapa tahun sebelum pupus. Namun, ASEAN masih wujud dengan namanya sahaja tanpa sebarang peranan menentu selain mengatur lawatan dua hala untuk anggota negara keahliannya. Tradisi lama ASEAN yang memecahkan kebuntuan di mana para pemimpin kerap menelefon dan bersemuka secara peribadi untuk menyelesaikan masalah berbangkit sudah tidak diamalkan lagi. Saya berani kata tidak ada sesiapa dalam ASEAN yang berani menghubungi rakan sejawatan di negara tetangga membincangkan isu yang kemudiannya tidak mencetuskan masalah antarabangsa. Satu ketika dahulu memang ia menjadi satu amalan biasa untuk para pemimpin ASEAN memerap isu yang berbangkit daripada diketahui umum dan menyelesaikan isu itu secara senyap-senyap tanpa diketahui oleh sesiapa. Di Wisma Putra kini, tidak ada pegawai ataupun menteri yang berani menghubungi rakan sejawatan mereka dalam ASEAN untuk membincangkan isu berbangkit tanpa menjejaskan hubungan bilateral dua negara.

Satu ketika dahulu tersebut kisah seorang Perdana Menteri Vietnam bernama Mr. Pham van Dong yang cuba mengada-ngada menunjukkan kuasa dan menggugat kestabilan ASEAN. Setiap negara melaporkan gelagat Perdana Menteri Vietnam ini yang mahu mengkucar-kacirkan semangat setiakawan ASEAN. Semasa beliau tiba di Singapura, dengan lantang Perdana Menteri Lee Kuan Yew memberitahu beliau agar menghentikan gelagat biadap itu. Keberanian dan semangat setiakawan semacam itu sudah tidak ada lagi, masa kini.

Hubungan antara Malaysia dan Thailand kini melambangkan satu konfrontasi yang mungkin tercetus antara Buddha dan Islam. Ini adalah lambang masalah dalam ASEAN. Keresahan penduduk Melayu Thai yang beragama Islam di bahagian Selatan Thai sudah membara sejak satu ratus tahun dahulu lagi, dan kini ia sudah menyala sebagai satu isu peperangan menentang keganasan. Sesungguhnya masalah yang disebut-sebut ini adalah satu helah yang menyungkup masalah yang sebenarnya di Thailand. Di sana memang wujud satu perebutan kuasa antara angkatan tentera Thai dengan pasukan polis Thai yang mahu menjadi kumpulan yang mempengaruhi dan menguasai rantau itu secara mutlak. Keinginan masyarakat Muslim mahukan autonomi dijadikan isu besar-besaran. Tidak pun ada usaha untuk (antara Malaysia dan Thailand) menyelesaikan masalah melalui rundingan dan hujah kata-kata kasar dilihat sebagai satu urusan diplomasi sahaja. Keadaan menjadi lebih menekan apabila ada pemimpin Malaysia yang menghangatkannya tanpa membuat kajian terperinci dahulu tetapi sengaja ghairah mahu mencari penyelesaian secara suka-suka sahaja. Apa pun, konfrontasi itu memang satu isu tegang yang memang jelas realitinya. Perdana Menteri Thai, Thaksin Shinawatra tidak boleh melawat Malaysia kecuali sudah berupaya meyakinkan Budhis Thai bahawa dia tidak akan mengalah.

Anggota kabinet negara ASEAN menguruskan dasar pentadbiran mereka melalui ‘megaphone’ sambil menunjukkan reaksi kepada laporan akhbar, dan dasar negara mereka di persidangan akhbar. Mereka mementingkan sokongan awam yang tidak relevan itu secara segera. Sebagai contohnya, masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) memasuki Malaysia (PATI) diberikan tumpuan hanya kepada warga Indonesia sedangkan kumpulan PATI itu datang daripada pelbagai negara lain seperti India, Pakistan Bangladesh, Myanmar hinggalah ke China dan Filipina. Soalnya, ramai pemimpin ASEAN yang melawat negara jiran tetangga mudah membawa sama dasar negara yang merungsingkan mereka. Semasa Paklah melawat Pakistan, lawatan itu digembar-gemburkan sebagai lawatan rasmi. Yang sebenarnya lawatan itu adalah untuk merasmikan satu pejabat perniagaan (syarikat Malaysia ) yang baru di sana. Kalau betul itu lawatan rasmi kenapa tidak ada pengumuman bersama ataupun kenyataan rasmi bersama. Lawatan itu tidak pun diberikan liputan di Malaysia dan Pakistan. Pada waktu yang sama, Menteri Luar India sedang melawat Pakistan. Sekali gus ketibaan Paklah di Pakistan tidak pun dihiraukan. Media dua negara tidak pula membuat liputan lawatannya. Akhirnya, ketibaaan Menteri Luar Mr. Natwar Singh menjadikan lawatan rasmi Paklah sebagai lawatan pelancongan semata-mata.

Apabila ASEAN diketepikan, ia boleh disamakan dengan terbukanya luka lama. Masalah perkauman, keagamaan, wilayah yang menjadi semakin menekan disebabkan diplomasi megafon, dan tanggapan dunia melepasi rupa bentuknya sendiri. Sesungguhnya, tidak ada institusi yang dapat terus segar kalau diabaikan. Seperti yang terjadi kepada Barisan Nasional dan UMNO seperti yang sudah disedari oleh ahli-ahlinya sendiri. Setiap institusi yang wujud mempunyai edarannya sendiri. Semasa Bismarc menyatukan negara-negara Jerman di Eropah menjadi satu kuasa Eropah Tengah yang sungguh unggul, kemaraan Empayar Othmaniah (Turki) telah tergugat, walaupun ia terus dapat bertahan untuk 50 tahun lagi sebelum pupus ditelan lembaran sejarah. Panglima perang cuba menunjuk bagak di kawasan mereka sendiri, tetapi itu sahaja yang terdaya mereka lakukan. Secara kecil-kecilan kita dapat melihat gelagat ini dalam politik UMNO. Hari ini gelgat ini dapat dlihat dalam setiap lawatan rasmi. Segala isu yang berbangkit adalah yang remeh-temeh seperti yang wujud dalam politik negara mereka sendiri. Inilah gambaran tsunami politik yang sedang melanda, dan kalau ia menyerang, seperti yang dijangkakan, kerosakan politik yang berbangkit akan buruk padahnya.

Lawatan Paklah keluar negara sebenarnya memberi ruang untuk beliau menarik nafas lega daripada segala kesulitan yang dihadapi dalam pentadbiran dan urusan poltik di negara sendiri. Apapun alasannya, dia sudah mencari jalan mudah sambil menguasai keadaan melalui proksi dan orang suruhan di pejabat peribadi sendiri. Inilah yang gagal sekarang ini. Segala cadangannya dicemuh begitu sahaja laksana menyiram air di daun keladi. Masalah yang dihadapi adalah satu contoh betapa memang wujud masalah kepimpinan dalam UMNO, Malaysia dan dunia sejagat. Inilah kecelaruan yang mendahului proses membangun semula. Inilah suasana kelam-kabut yang tidak mudah diperbetulkan lagi.

- MGG Pillai
pillai@streamyx.com
Terjemahan MT-SPAR  - 24.02.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: