GEMPAR – DATUK CAMPAK PISTOL 
KE ATAS MEJA PENGURUS BESAR KPK


Oleh Tun Paduka Tuan (Laman M@RHAEN)

Kota BharuPengurus Besar Kumpulan Perkayuan Kelantan (KPK) petang semalam menerima ugutan dari seorang yang mengakui dirinya bergelar Datuk Azmi yang berasal dari Perak agar meluluskan permohonannya untuk mendapat kawasan balak milik KPK.

Datuk berkenaan yang datang bersama dua orang selaku pengawalnya telah menampakkan pistol di atas meja Pengurus Besar KPK berkenaan sambil memaksa pengurus itu menandatangani surat kelulusan.

Ugutan ini berlaku dipercayai apabila Pengurus berkenaan enggan memenuhi permintaannya agar meluluskan kawasan balak yang dipohonnya.

Datuk berkenaan yang dalam usia 30-an juga mendakwa permohonan itu dibuat atas arahan pihak istana Kelantan, sementara dua orang ‘pengawal’ yang datang bersamanya didakwa sebagai ADC Sultan Kelantan.

Kejadian ini berlaku kira-kira jam 4.00 petang semalam.

Semasa peristiwa itu berlaku, satu panggilan kononnya dari istana telah dibuat ke pejabat berkenaan.

Disebabkan yakin dengan dakwaan itu serta takut dengan ugutan berkenaan, pengurus berkenaan terpaksa menandatangani surat kelulusan permohonan kawasan balak Datuk berkenaan.

Dua minggu sebelum ini Datuk berkenaan ada memohon kawasan balak milik KPK. Bagaimana pun beliau tidak mampu membayar wang cagaran yang diminta oleh KPK sebanyak RM100,000 sebelum kelulusan diproses.

Tembelang busuk Datuk berkenaan bagaimana pun terbongkar apabila sebaik sahaja kejadian itu dilaporkan kepada pihak kerajaan negeri. Pengurus berkenaan bertindak memaklumkan segera kejadian itu kepada Exco Kanan Kerajaan Kelantan, Husam Musa selepas menandatangani surat kelulusan Datuk berkenaan.

Husam yang merasakan sesuatu yang tidak kena terus bertindak mendatangi Istana Besar di Kota Bharu untuk mendapat kepastian apakah dakwaan Datuk berkenaan benar atau sebaliknya. Hasil tindakan Husam ternyata ‘berbaloi’ apabila pihak istana menafikan tidak ada kaitan dengan Datuk berkenaan.

Pihak Istana juga menjelaskan dan menafikan sekeras-kerasnya tidak ada individu yang bernama Datuk Azmi yang menjadi proksi kepada istana. Selama ini juga pihak istana tidak pernah melantik sesiapa sebagai proksinya. Dua orang yang didakwa sebagai ADC sultan juga tidak benar.

Ternyata panggilan ke pejabat KPK itu yang kononnya datang dari istana sebagai satu strategi bagi meyakinkan pengurus berkenaan sahaja. Setelah drama penipuan ini terbongkar KPK bertindak serta merta membatalkan kelulusan permohonan berkenaan.

Satu laporan polis telah dibuat oleh kerajaan Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kota Bharu dan pihak polis sedang menyiasat kes ini.

Sementara itu ekoran kejadian itu Pengurus Besar KPK berkenaan bercadang untuk melepaskan jawatan kerana terlalu takut dengan kejadian itu.

Sebagai rekod KPK adalah di antara syarikat milik kerajaan negeri di bawah portfolio Jawatankuasa Perancangan, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat, yang mencatatkan keuntungan pada tahun ini setelah mengalami kerugian beberapa tahun lalu.

KPK juga menjadi sasaran para pengusaha balak di Kelantan untuk mendapat kawasan pembalakan milik kompleks berkenaan.  – Reformasi.

Tun Paduka Tuan - 28.02.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: