Mahasiswa Lemah?
Ada pandangan bahawa antara punca kelemahan mahasiswa hari ini adalah kerana ketiadaan idealisma serta halatuju yang jelas dalam kehidupan. Bagaimanakah sebenarnya kita ingin mencapai matlamat supaya mahasiswa kita boleh membina idealisma serta halatuju yang jelas dalam kehidupan?

Mungkin antara pandangan prasyarat utama untuk mencapai matlamat sedemikian ialah dengan memberikan ruang yang bebas dan secukupnya untuk mahasiswa meneroka dan menilai sendiri pandangan dan perspektif kehidupan yang berbeza. Dalam kepelbagaian inilah mereka mampu menilai, membanding dan menentukan idealisma mereka. Kalau mereka hanya disogokkan dengan perspektif kehidupan yang senada dan dari satu sudut sahaja, apalah yang ada untuk dinilai dan diperbandingkan?

Karenah birokrasi dan peraturan universiti yang ada sekarang ini sebenarnya menyulitkan mahasiswa. Memanglah benar peraturan yang ada tak sepatutnya menjadi penghalang untuk mereka yang benar-benar mahu mencari idealisma. Namun apa perlunya kita menyulitkan proses pencarian ini. Sebenarnya kita lebih bimbang bila peraturan yang ada lebih menyemai perasaan ketidak percayaan "distrust" antara mahasiswa dan institusi yang mereka hadiri. Peraturan demi peraturan dibuat menampakkan seolah-olah institusi-institusi pendidikan itu sendiri tak mempercayai keupayaan mahasiswa mereka mengawal diri sendiri. Suasana saling tidak mempercayai ini tidak "kondusif" dalam melahirkan mahasiswa yang berketerampilan dan berwibawa.

Kita amat bersetuju bahawa mahasiswa kini amat kurang menghayati karya dan keperibadian tokoh-tokoh yang telah disahkan kredibilitinya oleh sejarah. Kehadiran tokoh-tokoh baru yang belum teruji oleh laluan sejarah mungkin telah dengan mudah mempengaruhi mereka.

Kelemahan pemikiran mahasiswa hari ini bukanlah semata-mata disebabkan oleh AUKU. Sepertimana kemunduran pemikiran yang berlaku di kalangan umat Islam di serata dunia bukan disebabkan sekatan atau halangan daripada mana-mana pihak, demikian juga dalam kes mahasiswa atau generasi muda Melayu masa kini. Banyak faktor lain yang menyumbang, antaranya ialah ketiadaan idealisme serta halatuju yang jelas dalam kehidupan. Semangat dan cita-cita perjuangan hanya dimiliki oleh mereka yang berjiwa besar - yang lahir daripada proses pendidikan dan ta'dib, pembacaan karya-karya pemikir yang agung; terdedah dengan perbincangan serta perdebatan isu-isu semasa secara ilmiah dan akademis serta kesanggupan mencari pengalaman dalam gerakerja serta aktiviti-aktiviti kemsyarakatan.

Malangnya, generasi muda hari ini amat sedikit yang mengenali Al-Ghazali, Bennabi, Muttahi, Shariati, apatah lagi membaca dan menghayati karya serta pemikiran mereka. Dinamisme dalam pemikiran dan tindakan tidak dapat dicapai kerana tahap berfikir hanya berlegar kepada persoalan remeh temeh di sekeliling hidup mereka, sebab itu, mulakanlah dengan banyak membaca -  (iqra') sebagaimana saranan Al-Quran. Bacalah bahan-bahan yang boleh menghidupkan akal dan jiwa, tak kira dari sumber mana kerana hikmah itu adalah milik orang mukmin, apabila dia menemuinya, maka kutiplah ia walau dari sumber mana sekalipun. Berfikiran terbukalah dan banyakkan merenung kehidupan dengan pandangan mata hati yang insaf dan jangan meletakkan kesalahan pada keadaan dan suasana sekeliling. Tiada suatu kuasa pun yang dapat mempengaruhi/mengubah diri kita melainkan diri kita sendiri

Apakah Akta Kolej Universiti telah menyumbang kepada kebimbangan oleh seorang ahli akademik terkenal berhubung dengan kemampuan mahasiswa kita? Prof Emeritus Dato' Dr Khoo Kay Kim berkata, pelajar dan golongan mahasiswa kini berada dalam suasana ketakutan dan pemikiran mereka tidak mampu melangkau jauh.

"Mereka hanya tahu bercakap apa yang dikatakan oleh guru sahaja tanpa boleh membuat kajian sendiri. Begitu juga dengan perkembangan semasa, amat sedikit yang diketahui pelajar.
 
"Apakah kecetekan ilmu serta maklumat yang ada pada mahasiswa sekarang mampu untuk mengambilalih tampuk pemerintahan pada masa hadapan," katanya.
 
Tanpa merendah-rendahkan mahasiswa zaman sekarang marilah kita sama-sama merenung pandangan seorang tokoh sejarah dan akademik yang telah berdekad-dekad bergelumang dengan dunia pendidikan tinggi di negara ini.

Sebagai seorang pengkaji sejarah dan sosial yang disegani dan tokoh akademik yang kehidupan sehariannya sentiasa dikelilingi mahasiswa di pusat pengajian tinggi, Prof Dato Khoo Kay Kim tentulah sangat arif tentang apa yang diperkatakannya. Beliau berwibawa untuk membuat perbandingan sejarah dan sosial malah melihat sendiri fenomena dunia mahasiswa di hadapan matanya.

Pandangan yang dikemukannya adalah pandangan akademik. Kita bebas untuk bersetuju atau tidak, berbincang secara rasional. Ianya juga adalah satu pandangan umum, jadi tak perlu melenting bagai mempertahankan diri daripada serangan peribadi.

Sebuah akhbar harian telah mendedahkan bahawa hampir 50% graduan UUM masih menganggur. Sekiranya pendedahan ini benar, tidakkah ini satu fenomena yang membimbangkan? Kebimbangan ini kita utarakan tanpa batas kepartian. Orang UMNO sepatutnya bimbang, orang PAS juga sepatutnya bimbang, orang Adil juga sepatutnya bimbang, semua orang sepatutnya bimbang.

Kita tidak boleh mengelak tumpuan istimewa pihak parti-parti politik terhadap mahasiswa kampus (dibaca dengan perkataan yang kasar, campurtangan politik luar). Hubungan naungan antara parti politik dengan mahasiswa telah wujud secara semulajadi akibat saling kebergantungan antara kedua-dua pihak. Pihak mahasiswa membekalkan pelapis kepimpinan dan pihak parti membekalkan asas ideologi.
 
Terjadinya ekstremism di kampus terutama pada pendokong PAS (terutama dlm PMI) kerana fitrah semulajadi muda yang darahnya masih lagi mendidih, cita-cita yang tinggi menjulang langit dan pandangannya pada aspek yang ideal, berkehendakkan kemurnian cita-cita. Gejala sebeginilah yang membentuk keberanian (yang dikalangan pendokong UMNO disalah ertikan sebagai ekstremis, militan dan seumpamanya).
 
Akan tetapi terdapat gejala tangan-tangan ghaib, iaitu pencatur politik mahasiswa oleh pihak parti, sama ada PAS ataupun UMNO, tetapi lebih-lebih menyerlah di peringkat PAS.  Di peringkat PAS terjadi pula kongkongan terhadap "decision making", tidak seperti UMNO. ini bermakna pada PAS, mahasiswa tidak hanya mempunyai ikatan persamaan ideologi tetapi menjadi pula ikatan yang akibatnya telah mengongkong gerakan mahasiswa PMI. Akhirnya, terjadi gejala "kecut telur" pada aktivis pro-PAS terutama semasa krisis. Contohnya, dengan semangat muda dan keberanian, mereka berani menganjurkan demonstrasi anti-Israel dan demontrasi anti-ISA. Akan tetapi, apabila PMI di UTM dan di USM digantung, mereka menjadi penakut untuk melaksananakan tindakan balas sebaliknya berundur, atas sebab strategi.
 
Cukup setakat ini tentang campurtangan politik di kampus. dah lari sedikit dari tajuk. Cuma hendak dijelaskan yang campurtangan parti politik di kampus semulajadinya tetap ada. Apabila berlangsungnya pilihanraya, maka kedua-dua pihak akan turut menjayakan dan memeriahkan pilihanraya kampus dengan bantuan kemudahan, tenaga kerja, latihan dan dana. Tiada yang pelik jika kita mendengar berita pihak UMNO sponsor calon di UPM ataupun sebaliknya pihak PAS Terengganu sponsor calon di UM. Pilihanraya kampus menelan belanja besar untuk memeriahkan suasana tetapi mahasiswa nak print poster dan manifesto pun tak ada duit!
 
Tak kiralah mana pihak yang menang, tetapi sebagai perwakilan mereka harus berhati-hati dengan HEP. Dengan kata lain, menjadikan HEP sebagai musuh. Malah bekerjasama dengan HEP boleh jadi "haram" bagi mereka. Ini bukan bermakna MPP tidak mendokong aspirasi pentadbir universiti untuk memajukan universiti, sebaliknya dalam menjalankan peranan bagi mendokong aspirasi universitilah MPP harus berpendirian sedemikian.
 
Kerap-kali HEP menjalankan aktiviti yang tidak selari dengan jiwa mahasiswa, malah seringkali mengancam kebajikan mahasiswa. Malah ketidakprofesionalan HEP dalam tugas sering diperkatakan umum dan mahasiswa yang aktif berpersatuan tahu "kerenah HEP' dalam setiap kali menganjurkan aktiviti.
 
Apa yang kita ingin persoalkan, adakan kumpulan pro-kerajaan ini, pendiriannya pro-kerajaan ataupun ianya cuma pro-HEP?! Perlu diingat, HEP bukannya kerajaan dan bukan mewakili mana-mana parti politik hatta UMNO sekalipun. "Kekejaman dan penindasan HEP" (dalam perkataan yang kasar) tiada kaitan dengan UMNO. Lihat sahaja di UIAM, HEP pro-ABIM, tetapi tetap menghukum mahasiswa dan menindas dengan polisi dan peraturannya.
 
Tiada guna jika MPP menjadi pro-HEP. Ia tidak dapat membela mahasiswa. Ia akan berkata, HEP berkehendakkan sebegini, HEP berpendapat ini dan itu. Tidak mahasiswa berkehendakkan sebegini, berpendapat ini dan itu.
 
Memang benar majoriti HEP pro kepada parti pemerintah UMNO dan BN, tetapi pertentangan mahasiswa dengan HEP harus dibezakan dengan pendirian politik pentadbir universiti. Bolehkah universiti kerajaan PAS Kelantan tidak menggunakan HEP untuk mengongkong mahasiswa?!
 
Memang HEP banyak memberi bantuan pada calon pro-kerajaan...opp!! calon pro-UMNO atau calon pro-HEP?!! HEP meletakkan calon untuk memudahkan tugas HEP menindas mahasiswa dan melabelkannya pro-kerajaan. Tidakkah dengan tindakan ini HEP akan memberi tanggapan buruk kepada "Idealisme mendokong kerajaan". INI BAHAYANYA?!
 
Walaupun, sama ada pro-pas dan pro-idealis yang berpendirian parti politik tidak harus campurtangan dalam politik kampus. Kita menentang pendirian ini, walaupun pernah satu ketika menentang campurtangan. Bagi kita, pendirian "non-partisan" telah kita salah tafsir. Pada kita "non-partisan" ialah apabila siswa pro-kerajaan (UMNO) dapat memberi kritikan kepada kerajaan dan parti pemerintah dan begitu juga bagi pro-PAS, walaupun kritikan yang diberi itu kasar dan tidak berektika (nak cakap apa, orang muda, dia langgar jer). Tetapi kita menentang campurtangan HEP dalam pilihanraya kampus. HEP tidak pernah serasi dengan mahasiswa.
 
Kita tunggu, dapatkah yang dikatakan mahasiswa pro-aspirasi kerajaan ini dapat benar-benar pro-mahasiswa apabila berhadapan dengan HEP walaupun pro-kerajaan apabila di luar.
 
Pada kita, peringkat sekarang, kewujudan satu entiti yang benar-benar pro-aspirasi kerajaan adalah perlu dalam membawa keseimbangan dalam politik mahasiswa (dan tidak hanya dimonopoli PAS) tetapi entiti ini harus jelas pendirian menentang HEPnya. Kelab Wawasan di kampus pada waktu ini amat elit dan mementingkan aktiviti di luar kampus dan tidak melihat kebajikan mahasiswa sebagai proriti.

Masalah graduan menganggur @ tanam anggur, apakah kelulusan mereka dengan bilangan pengangguran yang yang tinggi sudah cukup untuk membimbangkan kita. Kalau benarlah apa yang dikatakan bahawa ianya disebabkan oleh terlalu ramainya pelajar mengambil sesuatu bidang, maka perlulah pihak yang berkenaan mengambil tindakan. Pengambilan untuk sesuatu bidang mungkin boleh dikurangkan dan "resources"nya dialihkan ke bidang lain yang lebih memerlukan.

Pengalaman kita berhadapan dengan graduan-graduan sekarang memang agak menggusarkan. Tanpa menafikan ramai yang cemerlang, namun tidak kurang yang kualiti pencapaiannya hanyalah sekadar cukup makan. Secara umum penguasaan bahasa Inggeris mereka amat lemah. Malah ada yang lebih teruk penguasaan Bahasa Malayu mereka juga boleh dipertikaikan. Itu belum lagi dilihat kepekaan mereka terhadap isu-isu semasa. Kemahiran "critical thinking & problem solving" mereka juga tak seberapa.

Kita lihat ada pemimpin MPP yang lulus sekadar cukup makan, ada juga yang cemerlang. Betullah pandangan, bahawa tak semua kajian ahli akademik itu benar belaka. Biasalah manusia. Tetapi secara umum kajian saintifik  mereka tentu lebih berwibawa daripada sekadar tinjauan rambang oleh orang kebanyakan seperti kita.

Jadi dimanakah silapnya? Mungkinkah sistem pendidikan tinggi kita memang tak mampu melahirkan graduan yang cemerlang? Mungkin benar, mungkin tidak. Kita kongsi pandangan dan idea, manalah tau pandangan kita lebih hebat daripada pandangan para professor.

Oleh Ummu Solehah - 19.09.2003 (suntingan M@RHAEN)
Tapak Cerminan M@RHAEN https://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com

Click Here!