Sebagai tanda patriotik kami...

Siri Kedua: Bukti Nyata Alam Ini Ada Pengawalnya
Tentu ada sesiapa yang pernah melihat bagaimana sebuah sistem peraturan pergerakan kenderaan di jalan raya diatur, atau keluar masuk kenderaan di pusat letak kereta, atau pengaliran minyak pada enjin 4 lejang, atau pergerakan jarum pada sebuah jam, atau pertukaran syif di kilang.

Pada sistem pertukaran syif di kilang diatur, dilihat pada seorang pekerja yang masuk bekerja pada awal pagi. Kerjanya perlahan pada awal permulaan kemudian semakin lama semakin tangkas sehingga mencapai tahap ketangkasan maksimum di pertengahan kemudian beransur perlahan pada saat–saat akhir seterusnya apabila sudah tamat masa kerjanya itu digantikan oleh orang lain pada syif malam …

Lihat pula pada kereta yang bergerak keluar masuk di kawasan pusat meletak kereta. Pada awalnya kawasan meletak kereta itu kosong, kemudian apabila kereta muncul, besi palang di pondok jaga terangkat naik, kemudian kereta berlumba–lumba masuk sehingga tempat parking menjadi penuh. Kemudian pula sebahagian kereta keluar melalui saluran di pondok jaga di bahagian keluar…. kemudian masuk…. kemudian keluar….. masuk.... dan keluar…

Dan seterusnya pada kehidupan jarum–jarum di muka jam yang bergerak dari masa ke masa, yang panjang bekerja keras mendahului yang pendek yang hanya bergerak sekali sekala, anak jarum pula berlari-lari dengan cergas mengelilingi ibu dan bapanya sehingga seterusnya apabila tiba masa rumah jam pun berdenting–denting menunjukkan sudah masuk waktu. Jika jam itu tidak berbunyi bermakna ada sesuatu yang tidak kena pada sistem jam itu…

 Kemudian lagi pada aliran pergerakan kereta di jalan raya. Si kereta bergerak dari permulaan terus menuju tempat tujuan jika tiada apa-apa sekatan di jalan raya, dan apabila sampai di tempat lampu isyarat merah ia berhenti, dan apabila kenderaan banyak di jalan raya kereta bergerak dengan merangkak perlahan–lahan dan kemudian ia terus sehingga sampai ke destinasinya…

Adakah sistem–sistem itu bergerak secara tiba–tiba atau secara semula jadi atau sedang bergerak dengan sendirinya? Tidak… sudah tentu ada yang mengawalnya.

Setelah itu lihatlah pada pertukaran malam dan siang. Pada awal pagi si matahari muncul dengan fajar sadiq yang lembut pada permulaan, kemudian cahayanya semakin lama semakin berbahang sehingga menjadi terik di tengah hari, kemudian beransur–ansur reda dengan datangnya waktu petang kemudian apabila terbenam tempatnya digantikan oleh sang bulan pada waktu malam...

Pula pada peredaran darah yang mengalir keluar masuk di jantung. Mula–mula darah menderu–deru masuk melalui vena kava memenuhi ruang aurikel kanan, kemudian injap trikuspid terbuka di salur masuk ke arteri pulmonari lalu darah melimpah masuk, kemudian injap tertutup… kemudian keluar… masuk… keluar….. masuk… dan keluar…

Lagi pada kehidupan manusia dalam komuniti keluarga yang bekerja dari semasa ke semasa. Si bapa bekerja keras untuk keluarganya sementara si ibu berada di rumah menjaga anak–anak, sementara anak–anak bermain–main berlarian dan berjalan di dalam rumah, kemudian apabila tiba masa rehatnya mata masing-masing pun mengantuk menunjukkan sudah sampai waktu tidur. Jika tidak mengantuk dan tidur ada sesuatu yang tidak kena…

Dan seterusnya lihat pada pengaliran arus air di sungai–sungai. Anak sungai mengalir dari atas gunung laju menuju ke hilir jika tiada sekatan, dan jika sampai di sekatan empangan ia berhenti, apabila tiba di kawasan sesak dengan sampah sarap ia mengalir perlahan–lahan dan mengalir seterusnya sehingga sampai ke destinasinya ke laut…

Adakah pula sistem–sistem itu bergerak secara tiba–tiba atau secara semula jadi atau sedang bergerak dengan sendirinya? Tidak… sudah tentu ada yang mengaturnya.

Apa belum cukupkah bukti bahawa alam ini ada penciptanya??

Akan bersambung ke Siri Ketiga: Antara Kejujuran dan Cerdik

Oleh Umar Sadiq - 02.09.2003 (suntingan M@RHAEN)


Tapak Cerminan M@RHAEN https://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com

Click Here!