Sebagai tanda patriotik kami...

Siri Kelima: Bicara Keadilan
Sejak kemerdekaan kita Malaysia, dakwah Islam berkembang dengan baik sekali sehingga menyaksikan puluhan ribu bangsa peribumi dan bukan-peribumi telah diberi hidayah oleh Tuhan Yang Maha Berkehendak untuk memeluk Islam. Bukan sahaja orang asli Semenanjung, malah Sabah dan Sarawak, bukan sahaja bumiputera malah Cina, India, Thai dan lain–lain juga. Namun begitu, setiap bangsa itu punyai keinginan untuk mendapat hak kesaksamaan sebagai “umat Islam yang bebas menjalankan ajaran Islam” atau dengan frasa yang lagi satu “hak yang sama sebagaimana umat Islam Melayu Malaysia” kerana mereka juga MANUSIA.....!

Jadi sebagai manusia, di kalangan mereka ada yang mempunyai bakat kepimpinan anugerah Tuhan, dan mereka ada hak untuk memajukan bangsa masing–masing, mendapat keselesaan hidup bermasyarakat tanpa menghilangkan identiti kaum masing–masing.

Tidakkah kita yang Melayu muslim ini terfikir atau merasai apa yang mereka iaitu MUSLIM BUKAN MELAYU seperti Cina Muslim, India Muslim dan Thai Muslim rasai? Jika ya maka:

Nyatakanlah bagi kaum MUSLIM BUKAN-MELAYU ini, parti politik mana yang sepatutnya mereka ceburi di negara aman damai Malaysia ini jika mereka Muslim Mukmin seperti Muslim Mukminnya orang Melayu juga...?

A) UMNO (pastinya tidak, kerana UMNO parti Melayu sedangkan mereka bukan-Melayu)
B) MCA bagi kaum Cina Muslim (pastinya tidak kerana walaupun MCA parti Cina tetapi mereka Islam)
C) MIC bagi kaum India Muslim (pastinya tidak kerana walaupun MIC parti India tetapi mereka Islam)
D) DAP
E) keADILan / PAS??
F) Tubuhkan parti lain?

Di manakah keadikan untuk bangsa Islam yang bukan peribumi untuk memperbaiki diri sendiri, untuk mereka merubah nasib kaum mereka sendiri, setelah lama mereka terkurung dalam negara yang bebas merdeka ini? Di manakah rasionalnya sistem monopoli yang sedang berlaku ini? Bukankah ini satu kekejaman dan penindasan terhadap Muslim bukan Melayu? Apakah bangsa itu lebih kita pentingkan daripada agama?

Andai kita ini beriman, kita wajib mengasihi saudara seagama kita sebagaimana kita mengasihi diri kita sendiri.

Padankah gelaran ‘muallaf’ yang kita copkan kepada mereka sedangkan ilmu mereka ada yang lebih menggunung tinggi lebih daripada kita? Bukankah selayaknya kita mengakui kemukallafan mereka? Di mana pengiktirafan kita terhadap mereka?

Mereka pula punyai zuriat yang sejak lahir Islam seperti kita dan anak–anak kita, BEZAnya anak–anak mereka itu yang kini sudah remaja atau lebih dewasa daripada itu, yang sekarang hampir–hampir tamat pengajian di menara gading dan bakal mengisi kekosongan sebagai orang–orang terpenting negara dalam bidang Ekonomi, POLITIK, Sosial dll ialah: mereka bukan bangsa Melayu.

Keadilan dari TUHAN manakah yang di amalkan oleh “Melayu UMNO” untuk membiarkan Melayu sahaja terus memerintah, dan mengenepikan kaum – kaum lain daripada pemerintahan, padahal mereka juga MUSLIM MUKMIN sebagaimana MUSLIM MUKMINnya orang Melayu, atau kita mengatakan mereka tidak layak memerintah, padahal mereka juga keturunan Adam yang ditugaskan di mukabumi sebagai khalifah?

Atau apakah dikehendaki supaya MUSLIM BUKAN MELAYU ini terhakis identiti bangsa mereka dan mengambil identiti Melayu apabila memeluk Islam?? Ini masuk Islam atau masuk Melayu?? Bila semua orang tidak bersetuju bila PAS kata “ISLAM ITU PAS” dan “PAS ITU ISLAM”, tidakkah kita sedar bahawa slogan “ISLAM ITU MELAYU’ dan “MELAYU ITU ISLAM” yang kita cipta selama ini tidak pernah diredhai oleh sesiapa pun.

Melayu mana tidak marah apabila orang Melayu lupa warisan Melayu dan hilang jatidiri bangsa Melayu..?? Jika kita tidak pernah mengharamkan warisan seni bangsa Melayu yang tidak bertentangan dengan syarak (contohnya dikir barat), kerana itu adalah warisan dan identiti bangsa Melayu, maka apakah pula nasib warisan seni kaum lain seperti seni tarian naga dan singa bagi bangsa Cina dan kesenian tarian India bagi bangsa India dan bangsa–bangsa lain yang boleh ditapis menjadi suci??? Bangsa Melayu juga dahulu mempunyai seni wayang kulit yang menceritakan tentang Dewa Rama dan Sita yang kini tidak pun salah jika dimainkan.

Justeru, siapa yang nak hairan masih ramai penduduk daripada kaum lain yang belum Tuhan buka hatinya untuk memeluk Islam di Malaysia kerana takut kehilangan identiti bangsa mereka, walaupun mereka telah di tunjukkan kebaikan Islam. Saya bertanya sekali lagi, apakah orang Melayu tidak kisah kehilangan identiti keMelayuannya? Maka, apa yang dijawab oleh orang Melayu itu jugalah yang akan dijawab oleh kaum lain tentang identiti kaum mereka.

Saya bersuara dengan tidak mementingkan diri sendiri dan atas dasar kasih sayang antara saudara seagama, apakah dengan itu saya terkeluar daripada Melayu?

Sesungguhnya tiada siapa yang dapat menasabkan saya selain daripada ibu bapa saya yang kedua–duanya Melayu.

Sebelum mereka bertanya kepada kita tentang keadilan, atau sebelum Tuhan mempersoalkan amanah yang diberi-Nya kepada kita (bangsa Melayu) nanti, maka saya walaupun perlahan tetapi bersungguh – sungguh, sama – sama mengingatkan kita yang lupa kepada saudara seagama kita sendiri.

Seperti apa yang pernah keluar daripada Muhammad al–Amin,“Kita adalah satu keturunan iaitu keturunan Adam”, “Tiada beza antara Arab dengan bukan Arab”, sama ada kata – kata itu wahyu Tuhan Rabbul Alamin atau sabdanya. Dan apa yang keluar daripada Muhammad al–Amin hanyalah dipercayai dan dipatuhi oleh orang – orang yang beriman.

Wallahu a’lam dan Wassalaam.

Nota: Artikel ini adalah adaptasi daripada artikel saya juga yang pernah keluar di laman web www.inteligensia.com dalam tajuk asalnya "Soalan CEPUMAS Untuk Semua". Saya berharap setelah artikel ini disiarkan di Laman Marhaen, mesejnya dapat disebarkan ke seluruh Malaysia iaitu UMNO sudah tidak relevan lagi...

Oleh Umar Sadiq - 04.09.2003 (suntingan M@RHAEN)


Tapak Cerminan M@RHAEN https://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com

Click Here!