Siri Keenam: Muda Bukan Sekali...
“Tinggalkanlah segala duka,
Hidup mesti happy;
Bila lagi mahu bergembira,
Muda hanya sekali.”

Muda Hanya Sekali”. Retorik yang cukup menipu dan melemahkan jiwa anak muda sejak dulu lagi. Falsafah ini sebenarnya sampah yang perlu ditanam jauh–jauh kerana melenyapkan kenikmatan hidup sebenar di sebalik kegembiraan meraikan usia muda kerana katanya muda hanya sekali.

Usia muda, saat dan ketika tenaga masih ampuh, sendi – sendi masih teguh, semangat kental jiwa utuh dan belum sampai saat tua rapuh, jatuh lumpuh mahupun sakit geruh.

Muda itu usia selesa untuk bersungguh–sungguh. Bukan leka dibuai angin Pantai Sungai Berembang, atau asyik dengan mandian lampu di Kangar Waterfront sehingga terawang–awang antara langit malam yang mendung sejuk dan bumi subur yang empuk memujuk.

Mimpi indah tak akan datang dua kali, jika datang juga iakan lebih indah lagi. Begitulah muda bukan hanya sekali, di tempat sana kitakan muda lagi nanti.

Mudalah masa janaan tenaga untuk jiwa hamba, mengumpul bekal bagi jiwa kembara, mencari cinta bagi jiwa merdeka: demi Tuhan Rabb manusia yang telah bersumpah demi masa.

Usia muda bukan untuk bergembira sehabis–habisnya dan usia tua bukan saat untuk berduka, kerana muda bukan sekali; muda ada dua kali:- sekali di tempat sementara di sini, sekali lagi di sana tempat abadi.

wallahu a’lam.

Oleh Umar Sadiq - 09.09.2003 (suntingan M@RHAEN)


Tapak Cerminan M@RHAEN https://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com

Click Here!