Siri Ketujuh: Pemimpin di Jalan Kebenaran
“Pemimpin yang baik ialah pemimpin yang berpandangan jauh, bercita–cita tinggi dan apabila berbuat sesuatu dia berfikir tentang masa depan.”

Petikan kata–kata ini telah mengundang polemik pemikiran yang hangat diperkatakan. Sehingga sekarang ia masih berbekas pada hati
setiap individu yang memimpin dan tidak kurang juga yang dipimpin.

Sebenarnya apakah itu berpandangan jauh? Maknanya apabila sesuatu perancangan dibuat, pemimpin yang berpandangan jauh akan
melihat apa yang akan terjadi pada masa akan datang. Jadi, contohnya apabila merancang perbelanjaan bagi ekonomi negara, lihatlah kesannya pada 20 tahun akan datang. Namun jika hanya melihat 20 tahun akan datang tidak cukup jauh, jadi lihatlah sehingga 100 tahun akan datang. 100 tahun akan datang belum cukup jauh jika dibandingkan dengan abad akan datang…Jadi sejauh mana dapat ditumpukan pandangan, supaya pandangan itu betul–betul jauh?

Jika 20 tahun akan datang tidak cukup jauh, lihat pada 100 tahun akan datang, 100 tahun tak cukup jauh, lihat untuk 1000 tahun, tidak cukup… Sebenarnya untuk berpandangan jauh lihatlah sejauh–jauhnya hingga sampai ke Syurga dan Neraka di hari akhirat.

Oleh itu, apabila merancang sesuatu fikirkanlah jauh–jauh, jauh sehingga ke hari akhirat, sama ada perancangan itu membawa ke syurga atau ke neraka. Contohnya apabila merancang ekonomi, kaji pada kaedahnya sama ada dibolehkan syariat, lihat pada halal dan haramnya sumber ekonomi itu dan sama ada ia membawa banyak manfaat atau mudharat kepada rakyat.

Dan apa pula ertinya bercita–cita tinggi? Membina negara maju menjelang 2020 itu cita-cita tinggi? Membina menara tertinggi itu cita – cita tinggi? Tentu ada yang lebih tinggi, iaitu Taman Firdausi. Demikianlah apabila sesuatu pekerjaan dibuat, tanamkan cita–cita untuk mendapat syurga tertinggi yang tiada tempat sebaiknya iaitu Jannatul Firdaus yang sangat mahal harganya. Bukan hendak menjadikan negara ini seperti Syurga Firdaus tetapi maksudnya apabila mentadbir, tadbirlah dengan cara yang terbaik, apabila mengurus uruslah dengan kaedah terbaik, teliti dalam memulakan pekerjaan supaya dengan semua tadi tempat terbaik tersebut menjadi milik kita.

Dan apabila berbuat sesuatu dia berfikir tentang masa hadapan? Terus sahaja dicatatkan di sini bahawa masa depan yang dimaksudkan ialah hari akhirat, kerana apakah ada masa depan lagi sedepan hari akhirat? Justeru, apabila berbuat sesuatu dengan berfikir tentang masa depan, ertinya apabila bercakap dikawalkan lidah, apabila berfikir dikawalkan hati dan anggota–anggota lain seperti tangan, kaki, mata, telinga dan kemaluan juga dikawal daripada perkara haram kerana sedikit pun dosa boleh membawa kesan iaitu boleh dimasukkan ke neraka pada masa depan nanti bila hari kehidupan semula.

Ringkasnya, pandangan jauh sebenarnya ialah memandang sehingga ke Syurga dan Neraka, bercita–cita tinggi ialah Syurga Firdaus dan masa depan ialah Hari Akhirat.

Secara keseluruhannya, taqwalah jalan paling sempurna dalam memimpin bagi seorang khalifah di mukabumi. Pemimpin yang bertaqwa apabila berkata–kata dikawal lidahnya dan apabila berfikir dikawal hatinya menjadikan buah fikiran dan kata–katanya bernas dan bergeliga. Apabila merancang dengan syura, mengikut syariat, kaedahnya betul serta dijaga batas halal dan haramnya, kerana matlamat utamanya ialah Jannatul Firdaus.Seperti pula yang kita doakan selepas solat,

“Rabbana! Jadikanlah daripada pasangan-pasangan kami dan zuriat keturunan kami yang menyejukkan mata kami bila memandangnya, dan jadikanlah kami untuk orang yang bertaqwa dikalangan kami sebagai pemimpin.”

wallahu a’lam.

Oleh Umar Sadiq - 16.09.2003 (suntingan M@RHAEN)


Tapak Cerminan M@RHAEN https://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com

Click Here!