Tahniah....Harga Minyak Naik Sekali Lagi Serta-merta!
Oleh Amirulreza  - Laman M@RHAEN

Assalamualaikum w.b.t.

Selepas satu, satu krisis yang timbul di bawah pemerintahan Malaysia mutakhir ini. Setelah isu AP yang langsung membuatkan Rafidah dan Pak Lah kelu seribu bahasa, kini satu lagi igauan buruk menghantui Malaysia. Sudahlah harga barangan yang wujud di Malaysia baru sahaja 'kebah' dari 'demam' kenaikan harga, sekarang ini demam naik harga akan melanda Malaysia sekali lagi.

Ini memandangkan kelmarin (Sabtu, 30 Julai 2005) kerajaan mengumumkan kenaikan harga minyak yang mana menurut kenaikan terbaru itu, harga runcit petrol premium (RON 97) di Semenanjung ialah RM1.62 seliter, petrol regular (RON 92) RM1.58 seliter, diesel RM1.281 seliter dan LPG RM1.45 se kg.

Manakala di Sabah dan Sarawak harga runcit baru RON 97 ialah masing-masing RM1.60 dan RM1.61 seliter, RON 92 RM1.58 di kedua-dua negeri, manakala diesel RM1.284 dan RM1.278 seliter manakala LPG RM1.53 sen se kg di kedua-dua negeri.

Sesungguhnya ketahuilah wahai warga Malaysia sekalian bahawa kenaikan harga runcit minyak pada kali ini adalah harga runcit diesel= 20 sen, petrol=10 sen dan gas petroleum cecair (LPG)=5 sen dan kenaikan ini berkuatkuasa mulai Ahad. Saya percaya sambil-sambil warga Malaysia yang asyik melihat siapakah yang tersingkir di dalam AF di Astro tadi akan tercengang tidak terkata dengan kenaikan ini.

Sebab musabab kenaikan ini masih menggunakan 'modal' yang sama dengan yang sebelumnya iaitu ketidakmampuan kerajaan untuk menanggung bebanan subsidi petroleum yang makin meningkat kepada angka RM6.63 bilion pada akhir tahun ini.

Namun sedikit kelegaan berlaku pada harga ikan selepas ini kerana kerajaan telah mengumumkan kenaikan paras subsidi kepada nelayan dari 44.1 sen kepada 64.1 sen iaitu pertambahan sebanyak 20 sen seliter. Melalui tindakan itu nelayan akan dapat membeli diesel subsidi dengan harga lingkungan RM1.20.

Nampaknya keuntungan dari pelbagai sumber pendapatan negara yang digembar-gemburkan sebelum ini masih tidak mampu untuk menyelamatkan kita pada kali ini. Pak Lah pada suatu ketika dahulu dengan nada lantangnya menerangkan kepada rakyat seantero Malaysia bahawa keuntungan yang didapati dari keuntungan negara adalah untuk pembangunan dan pelaburan semata-mata. Kononnya daya pergerakan daya saing negara akan terbantut sekiranya kerajaan berterusan memberi subsidi minyak kepada rakyat!

Maka, tunggulah pesta kenaikan harga yang akan melanda Malaysia selepas tarikh 31 Julai 2005 ini !

Sekian.

Coretan: amirulreza (amirulreza.2ya.com)
email: avicenna@kelatedaily.net
Sila lawat laman web: http://kelatedaily.net (dibuka dlm browser berasingan)
 - 31.07.2005 (M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat:
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN