Minyak Naik,Rakyat Tanggung,
Pemimpin BN Pula Terus 'Buncitkan Perut'

Oleh Amirulreza  - Laman M@RHAEN

Assalamualaikum w.b.t.

Perang kenaikan harga minyak, nampaknya begitu hebat diperkatakan mutakhir ini dimana-mana sahaja, tidak kira di kedai-kedai kopi,di kedai baiki motor sehinggalah ke kedai pajak gadai. Mungkin untuk masa yang terdekat ini, para 'pencinta minyak' sekalian akan berasa kenaikan ini biasa sahaja, apa tidaknya kebanyakan warga Malaysia ini lebih suka berfikir singkat dan paras 'naik minyak' mereka akan teraktif dengan serta-merta apabila mereka melihat duit mereka yang surut dengan mendadaknya apabila membeli barangan keperluan harian mereka. Untuk masa terdekat ini, warga Malaysia lebih suka dengan 'Prinsip Angguk-angguk' nya apabila mendengar penjelasan dari pihak kerajaan.

Mutakhir ini, MTEN yang dipelopori oleh Tok Pa sedang sibuk menjaja produk 'minyak urat'nya diserata Malaysia tentang betapa Kerajaan Umno 'terpaksa' menaikkan harga minyak memandangkan harganya dipasaran dunia mencecah US Dollar 60 Setong. Hebohlah Tok Pa ke hulu ke hilir bak seorang gurkha yang kehilangan turbannya. Malah kerajaan telahpun menerbitkan buku bertajuk "Penjelasan Isu Harga Minyak Dan Subsidi" untuk diedarkan kepada rakyat yang sentiasa angguk-angguk sejak keluar dari perut ibu mereka lagi.

Memang saya tidak nafikan harga minyak petroleum di pasaran dunia meningkat dengan begitu hebat sekali setelah tumbangnya Parti Baath dibawah Saddam Hussein di kaki Bush. Malah ramalan ini telah pun berlegar-legar sejak 2 tahun yang lalu dikalangan pemerhati ekonomi di seluruh dunia malah mahasiswa yang mempelajari matapelajaran petroleum di universiti tempatan juga telah diberitahu oleh para pensyarah tentang 'malapetaka' ini 2 tahun lalu. Tentang itu tidakperlulah dipanjangkan lagi. Itu bukan isunya.

Isunya disini adalah mengapa dengan lantangnya kerajaan pusat menyeru rakyat jelata berjimat cermat mulai sekarang serta menasihatkan rakyat agar redha dengan kenaikan ini sedangkan para pemimpin BN langsung tidak perlu dinasihatkan agar berpada-pada menggunakan duit negara mutakhir ini untuk perbelanjaan negara?

Setiap kali minyak dinaikkan, kerajaan akan menggunakan helahnya bahawa keuntungan Petronas yang dinikmati pada Mac 2005 iaitu sebanyak RM 58.03 billion tidak boleh digunakan sepenuhnya untuk 'subsidize' minyak di Malaysia kerana keuntungan itu untuk pembangunan negara. Rata-rata memfokuskan kepada Petronas,bagaimana pula dengan keuntungan negara dari sektor-sektor lain ? Setidak-tidaknya keuntungan negara dari sektor kerajaan yang lain boleh 'menyuntik' dana kepada kerajaan untuk mensubsidikan petroleum di Malaysia. Betulkan kerajaan mahu menggunakan keuntungan yang didapati untuk pembangunan ataupun mahu menggunakannya untuk 'membuncitkan' perut pemimpin masing-masing.

Seandainya RM 9 billion yang sepatutnya digunakan oleh kerajaan dari keuntungan Petronas untuk 'subsidize' minyak tidak dapat dijadikan kenyataan, bagaimana pula sekiranya kita menggunakan pendekatan 'memotong gaji' serta semua elaun bagi setiap menteri serta kakitangan kerajaan yang berpendapatan RM 9,000 keatas? Gaji yang dipotong itu dikumpulkan untuk melabur dalam kerja-kerja carigali petroleum yang mana dijadikan alasan utama mengapa keuntungan Petronas tidak boleh digunakan untuk membantu rakyat yang sedang dalam kegawatan.Sekiranya Pak Lah boleh mengarahkan agar kerajaan membelanjakan RM 12.5 juta untuk mengubahsuai mahligai PM di Putrajaya, takkanlah Pak Lah tidak boleh 'dermakan' gaji serta elaunnya demi kesenangan rakyat. Inilah yang dikirakan langkah yang wajar dilakukan kerana pemimpin kerajaan pusat juga harus berkorban sama apabila krisis kenaikan minyak berlaku ! Barulah berbaloi rakyat 'memangkah' lambang 'dacing' sewaktu PRU yang lalu bagi memenangkan BN untuk membentuk kerajaan !

Adakah langkah itu dianggap mustahil? Untuk pengetahuan warga Malaysia amnya dan kerajaan pusat khasnya, cara pemotongan itulah yang digunakan oleh Kerajaan PAS Kelantan untuk menyuntik dana demi pembangunan fizikal rakyat diserata Kelantan selama 15 tahun! Mungkin suatu ketika dahulu pemimpin BN 'ketawa terbahak-bahak' melihat kesengsaraan pemimpin PAS Kelantan mengorbankan gaji serta elaun mereka untuk rakyat memandangkan bantuan kewangan yang sepatutnya diberi oleh kerajaan pusat disekat, kini tibalah masanya pemimpin BN pula berbuat demikian !

Selain itu,acapkali juga kita mendengar paras harga minyak di Malaysia adalah yang terendah di Asean. Sekiranya kita mahu membandingkan Malaysia dan Thailand, boleh bukannya tidak boleh tetapi jika itulah alasannya Malaysia perlu mengkaji semula cukai jalan, tol serta pelbagai kos yang ditanggung oleh pengguna di Malaysia kerana Thailand tidak mempunyai tol malah cukai jalannya pula tersangatlah murah jika dibandingkan dengan Malaysia.

Selain itu,kerajaan BN memang boleh mencerap anggaran kerugian yang bakal dihadapi kerajaan sekiranya subsidi minyak petroleum terus diberikan kepada rakyat, namun dapatkah wahai pemimpin BN sekalian memikirkan betapa 'tingginya' kenaikan harga barang yang akan dialami oleh penduduk Malaysia di semua sektor ? Kenaikan yang dialami oleh rakyat disifatkan sebagai suatu yang 'unpredictable'. Kenaikan harga disemua sektor 100 peratus dialami oleh rakyat sedangkan pemimpin atasan menikmati elaun yang disediakan oleh kerajaan untuk berbelanja ! Adilkah itu ? Jika mahu harapkan anak buah Shafiee Apdal yang sememangnya gagal menguatkuasakan undang-undang berkait dengan penyeludupan minyak ke negara jiran mahu memantau akan fenomena kenaikan harga barang,nampaknya rakyat terpaksalah menangis tidak berlagu sekali lagi! Memang tidak afdal sekiranya pemimpin atasan khususnya BN tidak tahu akan realiti ini.

Sememangnya pemimpin BN sekali lagi mahu rakyat 100 peratus bertanggungjawab akan kenaikan harga minyak petroleum ini sedangkan pemimpin itu sendiri langsung tidak mempunyai kesan akan kenaikan ini kerana taraf gaji dan elaun mereka tidak membuatkan mereka mengetahui apa itu nilai kesusahan! Inilah hadiah utama kepada rakyat setelah rakyat memberikan mandat yang begitu besar kepada kerajaan BN untuk memerintah.

Sedarlah, pemimpin BN sememangnya bencikan hidup susah kerana bertahun lamanya mereka tidak pernah susah untuk menipu rakyat demi mendapatkan undi sewaktu PRU sedang berlangsung.

Sekian.

Coretan: amirulreza (amirulreza.2ya.com)
email: avicenna@kelatedaily.net
Sila lawat laman web: http://kelatedaily.net (dibuka dlm browser berasingan)
 - 03.08.2005 (M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat:
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN CARA MUDAH melakukan sumbangan.