TUN DR M TIDAK DIUNDANG UMNO?
Oleh Cili Api - Laman M@RHAEN
Komen di bawah ini terbit di ruangan PEDAS-PEDAS CILI API dalam SUARA KEADILAN terbaru.
TUN DR M TIDAK DIUNDANG UMNO?

Cili Api mendapat khabar dari sumber yang sangat dipercayai bahawa sehingga enam hari sebelum Perhimpunan UMNO bermula, bekas PM serta Presiden UMNO, Tun Dr Mahathir, masih tidak mendapat undangan untuk menghadiri Perhimpunan tersebut.

Sudah tentulah beliau kecewa kalau tidak murka pun. Oleh kerana itu beliau terus belah, khabarnya mula-mula ke London dan kemudian ke Argentina, di mana beliau memiliki ladang dan kawasan menunggang kuda yang sangat luas.

Cili Api dengar bukan soal AP saja yang menyebabkan kelewatan mengundang Tun Dr M. Bahkan ada khabar-khabar angin kononnya terbongkar gerakan yang mendapat restu daripada  mantan Presiden UMNO itu, untuk menyerang Presiden sekarang.

Kononnya ada perwakilan yang sudah bersiap untuk mengemukakan usul mengejut tidak percayakan Abdullah. Tetapi, Pak Dolah, dengan alat-alat yang ada pada kerajaan dan seorang PM, telah dapat menyekat rancangan ini.

Sebenarnya Cili Api tidak hendak mendengar sangat berita angin. Tetapi masalahnya, oleh sebab media perdana tidak boleh dipercayai, dalam negara ini berita angin sudah menjadi sumber berita yang dianggap lebih tepat.
 

ORANG MASIH SAYANG SAYA!

Akhbar-akhbar telah menyiarkan berita tentang Tun Dr Mahathir Mohamad menyambut atau diraikan untuk hari jadinya. Sangat menyentuh kalbu Cili Api. Tetapi yang lebih menyentuh perasan ialah apa yang diakatakan oleh Tun Dr M berhubung sambutan ini.

Dia kata dia rasa gembira sebab  ada sambutan di hotel-hotel. Bahkan katanya Yang Dipertuan Agung pun telah memberikan kek hari jadi kepadanya. Ujar Tun Dr M, “Saya sangat gembira sebab orang masih ingat kepada saya”.

Kalbu Cili Api rasa tersetuh. Bahkan merasa sangat sedih campur kesian. Tak hendak komen lebih dari itu kerana takut  keluar berderai pula air mata Cili Api. Selamat Hari Jadi Tun,  Mudah-mudahan Allah lanjutkan umur dengan penuh semangat berAPi-APi!
 

SELIDIK LEBIH LUAS DARIPADA AP

Cili Api tertarik dengan kenyataan yang telah dibuat oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan Rakyat, Ezam Mohd Noor, dalam Malaysiakini baru-baru ini. Seperti biasa kenyataan pemimpin-pemimpin Keadilan paling jarang sekali dikeluarkan oleh media perdana.

Khabarnya, Presiden UMNO merangkap PM telah mengarahkan supaya media jangan beri apa-apa berita positif kepada Keadilan dan pemimpin-pemimpinnya, terutama sekali Anwar Ibrahim. Dengan tiada berita, orang ramai akan menganggap Keadilan sudah mati dan Anwar tidak aktif lagi.

Mengikut Ezam, Menteri Rafidah harus diselidik bukan saja mengenai soal AP, bahkan banyak lagi soal, seperti pemberian saham kepada keluarga dan lain-lain. Berbagai-bagai laporan polis telah dibuat terhadap Rafidah, terutama oleh Angkatan Muda Keadilan. Akan tetapi sehingga sekarang tiada tindakan diambil.

Baru-baru ini Cili Api baca dalam akhbar Tun Dr M mendakwa bahawa beliau telah menyelamatkan Makcik Fidah sebanyak tiga kali dalam kes-kes berlainan. Takkanlah Tun Dr M bercakap bohong. Tapi yang Cili Api tahu ialah satu kes saja,  iaitu apabila bekas PM menolak dalam Parlimen desakan untuk menyiasat tuduhan bahawa Makcik Fidah memberikan saham bernilai jutaan ringgit kepada anggota keluarganya.

Sebenarnya, Cili Api tahu bahawa amalan korupsi dan penyelewengan kuasa meluas di kalangan ramai pemimpin UMNO dan Kerajaan. Tidak  terbatas hanya kepada Rafidah.

Ada korupsi dan penyelewengan yang melibatkan pemberian projek, kontrak, saham, lesen, selain dari AP.

Soalnya, bolehkah PM Pak Dolah betul-betul dapat memerangi korupsi? Adakah beliau sendiri serta keluarga terdekat beliau benar-benar bersih daripada amalan korupsi dan kronisme? Jikalau tidak, beliau pasti akan gagal bertindak tegas. Cili Api mengharapkan  orang ramai akhirnya tidak akan memandang beliau sebagai Dol Keropok saja.
 

KHAIRY PEMBELA ORANG MELAYU?

Orang yang paling lantang sekali sekarang ini menyuarakan hak orang Melayu dan hendak membela nasib orang Melayu  ialah Khairy Jamaluddin, Timbalan Ketua Pemuda UMNO. Menantu Perdana Menteri ini telah berjaya naik begitu cepat sekali dalam bidang politik. Kini beliau dipandang sebagai juara mengembalikan semangat DEB.

Selain berjaya dalam politik, anak muda ini berjaya besar juga dalam bidang ekonomi. Mengikut cerita mereka yang tahu berita, beliau sekarang ini sudah menjadi maha jutawan. Ada yang mengatakan harta dan wang miliknya sudah mencecah lebih RM300 juta.

Cili Api tidak tahu sama ada berita dan cerita ini benar atau tidak. Sama juga Cili Api tidak tahu sama ada benar atau tidak tuduhan beliau terlibat dengan skandal bersama seorang gadis jelita dari Burma.

Mungkin kedua-dua ini berita angin saja, tetapi Cili Api ulangi: di negeri ini berita angin merupakan sumber berita  lebih tepat daripada media perdana yang dimiliki atau dipengaruhi oleh parti-parti komponen BN.

Cili Api sangat tertarik bahawa anak muda ini dikemukakan dan dipromosikan oleh media sebagai juara orang Melayu.  Nampaknya, Khairy yang tinggal dan belajar berpuluh-puluh tahun di luar negara sudah menjadi lebih Melayu daripada Melayu yang lain, termasuk mertuanya,  sungguhpun Pak Dolah lama menjadi ketua BTN (Biro Tatanegara), badan propaganda kerajaan UMNO yang digunakan untuk menanam semangat keMelayuan sempit.

Cili Api sangat bimbang sekali lagi DEB dan “hak istimewa Melayu” akan disalahguna untuk memberi lebih banyak peluang kekayaan kepada segelintir orang Melayu saja dan bukannya untuk benar-benar membela nasib ramai orang Melayu yang miskin atau susah.

Kali ini nampaknya golongan yang mungkin melakukan ini terdiri daripada orang-orang muda berkelulusan tinggi dari luar negara, yang cepat hendak jadi kaya dan berkuasa.

Cili Api (Suara Keadilan) 06.08.2005 (Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat:
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN CARA MUDAH melakukan sumbangan.