Siasah – Tabloid Mingguan Baru Negara
Oleh Es Putra - Laman M@RHAEN


Kuala Lumpur: Sebuah akhbar mingguan tabloid baru Siasah kini muncul dengan gaya baru yang dikemudikan oleh penulis buku politik tidak asing Ahmad Lutfi Othman.

Keluaran sulung tabloid berkenaan kini sudah berada di pasaran dan akan terus muncul dua kali sebulan untuk peringkat permulaan.

Akhbar berkenaan diterbitkan oleh Tinta Merah di mana permitnya milik Mohd Sayuti Omar (MSO) yang juga salah seorang penulis buku politik.

Menurut Mohd. Sayuti, dengan kemunculan semula Lutfi bersama Siasah itu akan dapat menghilangkan kerinduaan peminat-peminat tulisan dan buku-bukunya. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini penulis berkenaan menyepi kerana keuzuran.

Menurut Mohd. Sayuti yang merupakan rakan rapat Lutfi, mempercayai Lutfi boleh membawa gaya baru serta memenuhi impian masyarakat media kini sesuai dengan dunia global berdasarkan pencapaian serta pengalaman sebelum ini.

Sebelum ini Lutfi pernah mengejutkan masyarakat pembaca Malaysia dengan kemunculan buku-buku politiknya yang kontroversi. Beliau juga pernah membimbing penerbitan majalah Tamadun, Detik dan akhbar mingguan tabloid Cabaran .

“Dengan pengalaman dan sikap gigih dalam berkarya, saya yakin Lutfi boleh membawa Siasah menjadi sebuah minggun tabloid yang diminati dan dipercayai,” jelas Mohd Sayuti.

Menyentuh mengenai sejauh mana kebebasan yang mungkin dapat dirungkai oleh Siasah, ia bergantung kepada syarat-syarat permit yang yang ditetapkan.

Namun menurut Sayuti, apa yang paling diharap Siasah akan menjadi media alternatif yang bebas, bertanggungjawab serta adil dan menjadi penutur aspirasi rakyat bawahan.

Tambah beliau lagi sudah sampai masanya negara ini memiliki media yang rasional dan tidak melampau menekan kepada soal sentimen puak, ideologi dan sebagainya.

Ditanya apakah ia akan menyaingi akhbar tabloid yang sedia ada yang sejenis dengannya, penerbit akhbar itu menjelaskan ia bukan niat Siasah untuk bersaing dengan mana-mana pihak sebaliknya, apa yang diingini ialah kesuburan bersuara di negara ini berterusan.

Di antara isi kandungan Siasah ialah berita isu-isu semasa, rencana pendidikan, kebudayaan, hiburan, politik dan juga antarabangsa. Paling menarik dan tidak dilupakan ruangan wanita yang merupakan sisipan dalaman khas Wanitakini yang memperkatakan personaliti wanita dan mencerita hal ehwal dunia wanita.

Lutfi dibantu oleh dua wartawan, Haris Zakapli bertindak pengarang rencana dan Hafiz Mohd Baqi selaku Ketua Pemberita. Turut memeriahkan penampilan Siasah kali ini, penulis jemputan veteran Subky Latif, Rustam Sani dan Dinsman.

Es-Putra - 05.08.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat:
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN CARA MUDAH melakukan sumbangan.