Media PKR:
1 Ogos 2005
ANB - UMNO BUAT KEPUTUSAN TANPA RUNDINGAN



Sebaik-baiknya sebarang dasar Kerajaan yang hendak dilaksanakan perlu dibincangkan seluas-luasnya secara demokratik terlebih dulu. Kerajaan saja atau satu parti politik, apatah seorang Perdana Menteri yang berkuasa saja tidak sepatutnya membuat keputusan sendiri dan memaksakan  keputusan mereka sewenang-wenang  ke atas pihak-pihak lain, terutama rakyat jelata.

Baru-baru pada 22hb Julai 2005 Perhimpunan Agung UMNO telah berbincang dan meluluskan resolusi yang dibawa oleh gerakan Pemuda supaya Kerajaan melaksanakan semula semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB) melalui apa yang dipanggil Agenda Nasional Baru (ANB), demi menaikkan taraf ekonomi orang Melayu. Dalam Sidang Akhbar selepas itu, Presiden UMNO, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, menyatakan sokongannya kepada ANB dan membayangkan Kerajaan akan segera melaksanakannya.

Oleh kerana tidak dirundingi, beberapa buah komponen BN, khususnya MCA dan Gerakan merasa tidak puas hati, seperti yang disuarakan oleh pemimpin masing-masing. Hari ini BN akan bersidang dan agenda utama mereka ialah untuk UMNO menerangkan hasrat melaksanakan ANB itu. Oleh kerana UMNO sudah membuat keputusan dan UMNO merupakan parti terkuat dalam Kerajaan BN, kemungkinan besar ialah semua komponen BN akan terpaksa menerima saja kehendak UMNO.

Sekali lagi kami ingin menegaskan mesti ada proses rundingan yang luas dan demokratik bagi menentukan dasar baru, terutama sekali dalam bidang ekonomi, yang melibatkan semua kaum dan semua golongan masyarakat dalam negara ini. Kita memang memerlukan satu dasar pembangunan ekonomi baru. Tetapi pada pandangan kami dasar itu hendaklah bertunjangkan semangat dan matlamat untuk membela terutama sekali rakyat yang miskin, terbiar dan berpendapatan rendah, tanpa mengira kaum. Mereka ini terdapat di kampung, estet, kawasan setinggan, kawasan pendalaman dan sebagainya. Sebahagian besar mereka ini terdiri dari orang Melayu/Buiputera juga. Mereka akan mendapat faedah walaupun dengan dasar yang tidak mengira kaum.

Kami lihat dan memberi amaran bahawa ANB, untuk mengembalikan  semangat DEB itu akan disalahgunakan. Atas nama pembangunan dan kedudukan istimewa Melayu serta Bumiputera lain, ia akan disalahgunakan untuk memberi projek, kontrak, lesen, saham dan kekayaan kepada segelintir kroni dan keluarga, terutama dari kalangan  orang Melayu. Sudah pasti akibatnya  korupsi akan terus meluas dan tidak akan dapat dihapuskan. Ini tidak bererti kami menentang sesiapa untuk mencari kekayaan dengan usaha mereka sendiri, mengikut cara yang bersih, halal tanpa korupsi dan pilih kasih,

Dr Syed Husin Ali
Timbalan Presiden
Parti Keadilan Rakyat

01.08.05 (M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat:
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN CARA MUDAH melakukan sumbangan.