Media PKR:
31 Julai 2005
MEMBANTAH KERAS HARGA MINYAK NAIK



Parti Keadilan Rakyat membantah sekeras-kerasnya tindakan Kerajaan UMNO-BN sekali lagi menaikkan harga minyak petrol. Kenaikan 10 sen untuk minyak petrol dan 20 sen bagi diesel adalah tidak  adil kerana terlalu tinggi dan akan membebankan rakyat.

Sudah pasti kenaikan harga ini akan mengakibatkan kenaikan tambang kenderaan awam dan harga barang keperluan harian. Apabila ini berlaku, yang berat sekali menanggung bebaban ialah rakyat jelata. Kerajaan pernah melaungkan rancangan untuk mencapai inflasi sifar. Nampaknya rancangan ini sudah dilupakan sama sekali.

Ada menteri yang mengatakan bahawa harga minyak petrol di Malaysi adalah rendah jika dibanding dengan beberapa buah negeri jiran. Tetapi kita harus ingat selain membayar cukai minyak yang meningkat, pengguna-pengguna kenderaan juga terpaksa membayar cukai jalan dan tol  lebuhraya yang tinggi. Jikalau dicampur semua ini beban yang ditanggung oleh pengguna di negeri ini adalah lebih teruk..

Sebenarnya kenaikan harga minyak petrol ini tidak perlu berlaku masa ini. Harga minyak petrol di pasaran dunia sekarang  terus meningkat dan memberikan keuntungan kepada negara. Baru-baru ini PETRONAS mengumumkan keuntungan besar, di sekitar RM50 bilion untuk setahun lalu. Mengapa masih hendak membebankan rakyat dengan menaikkan harga?

Lagi pula, selepas Kerajaan menamatkan “pegging” (tambatan) Ringgit kepada Dollar, ramai para akademik, peniaga dan menteri menyatakan harga import barangan akan lebih rendah, kerana  kedudukan ringgit bertambah kukuh. Minyak petrol adalah salah satu bahan yang banyak diimport, walaupun kita mengeluarkan minyak sendiri.  Jadi tidak ada alas an kukuh untuk menaikkan harga minyak petrol?

Parti Keadilan Rakyat mendapat kesan bahawa rancangan yang pernah dilaungkan oleh beberapa pemimpin negara konon hendak membela nasib rakyat ramai adalah laungan kosong semat-mata.

Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden
Parti Keadilan Rakyat

31.07.05 (M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat:
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN CARA MUDAH melakukan sumbangan.