SUARA KEADILAN
Di bawah ini petikan dari artikel tulisan Dr S. Husin Ali, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat, 
dalam SUARA KEADILAN yang baru terbit dalam pasasan

DEB TUKAR KEPADA ANB, NASIB RAKYAT BAGAIMANA?



Seperti kita maklum, DEB telah diperkenalkan berikutan peristiwa berdarah 13 Mei 1969, apabila pembunuhan kaum telah berlaku. Puncanya dilihat sebagai keadaan ekonomi yang tidak seimbang di antara orang Melayu dengan bukan Melayu, Cina terutama sekali. Peristiwa yang mula mencetuskannya ialah ketegangan kaum yang berlaku selepas pilihanraya, manakala UMNO merasa terancaman  akan hilang kuasa di Selangor, kerana  UMNO-Perikatan memenangi kerusi sama banyak dengan pihak pembangkang.

Selepas berhimpun beramai-ramai di pekarangan kediaman rasmi Menteri Besar Selangor waktu itu, sekumpulan orang Melayu dari situ menyerang orang Cina. Pergaduhan kaum tercetus dan merebak di Kuala Lumpur. Nyawa melayang dan harta benda musnah. Darurat digisytiharkan. Parlimen digantung. Mageran (Majlis Gerakan Negara) dibentuk. Timbalan PM ketika itu, Tun Razak menjadi Pengarah. General Ibrahim dilantik sebagai pegawai eksekutif. Beberapa orang kakitangan pentadbiran awam dipilih sebagai anggota sekretariat. Antaranya  Perana Menteri kini.

Tidak lama kemudian dasar ekonomi baru  diumumkan dan rancangan pembangunan di bawah DEB dikemukakan untuk pelaksanaan. Matlamat  DEB ialah untuk membina Perpaduan Negara. Untuk mencapai matlamat ini diperkenalkan dasar serampang dua mata, iaitu, mengatasi kemiskinan tanpa mengira kaum dan menyusun semula masyarakat dengan menggalakkan keseimbangan kaum dalam perdagangan dan perindustrian.
 

Tidak dapat dinafikan bahawa banyak juga kemajuan yang telah dicapai untuk orang Melayu sejak pelancaran DEB. Bilangan keluarga miskin dan kadar kemiskinan turun. Bilangan orang Melayu yang terlibat dalam pelbagai bidang ekonomi dan menjadi kaya raya bertambah. Begitu juga jumlah pelajar Melayu di universiti dan mereka yang masuk ke bidang profesional  sebagai doktor, jurutera, akauntan dan sebagainya juga meningkat. Pendapatan perkapita naik berlipat kali ganda.

Dalam pada itu terdapat juga beberapa kekurangan. Pengagihan kekayaan tidak adil. Kekayaan semakin bertumpu pada segelintir orang, tidak kira kaum. Sungguhpun kadar kemiskinan mutlak berkurang, namun kemiskinan perbandingan bertambah. Jurang antara ramai orang Melayu miskin atau kurang berada dengan sedikit orang Melayu kaya atau lebih berada semakin melebar. Jurang lebar ini bukan saja antara kaum, bahkan juga intra-kaum (dalam kaum yang sama).

Bagi ramai yang susah, walaupun pendapatan bertambah namun ia sering tidak bererti sangat kerana kuasa beli wang menurun. Harga barang keperluan terus melambung;  bayaran untuk mendapat kemudahan sosial seperti pendidikan, kesihatan, perumahan, pengangkutan dan seterusnya semakin tinggi. Mereka ini, sama ada dalam bidang awam atau swasta, tidak banyak mendapat faedah yang bererti daripada DEB ataupun kedudukan istimewa yang selalu disalah sebut sebagai ‘hak istimewa’ Melayu.

Sebaliknya, atas nama DEB dan ‘hak istimewa’ peluang mengaut kekayaan bertumpu pada sebilangan kecil keluarga dan suku-sakat pihak yang mempunyai kuasa. UMNO menjadi arena untuk berlumba mencari peluang kekayaan, kerana kekayaan membantu  mendapat kuasa, mula-mula dalam parti, dan dengan kuasa ini boleh dikaut lebih banyak lagi kekayaan. Nilai gila kuasa dan mata duitan bertambah merebak. Amalan korupsi dan mengalibaba lesen atau kontrak menjadi kronik. Mereka yang paling rakus terdiri daripada kroni dan keluarga terpilih, kebanyakan dari kalangan UMNO-BN.

Dari Perhimpunan UMNO kali ini banyak sekali yang kita dengar tentang ketinggalan sosio-ekonomi orang Melayu. Ramai yang bercakap tentang padang yang tidak rata. Agak menarik sekali, antara mereka yang paling lantang menyuarakan ini ialah pemimpin-pemimpin muda UMNO yang sudah menjadi jutawan atau multi-jutawan, tidak kiralah dengan apa caranya. Tetapi mereka ini hanya bercakap tentang padang tidak rata  antara Melayu dengan Cina. Mereka tidak bercakap tentang  padang  tidak rata di antara Melayu kaya dengan Melayu miskin, yang rapat dengan pemimpin berkuasa dengan yang tidak.

Sekarang ini DEB hendak digunakan bagi menegakkan Agenda Melayu. Mungkin tindakan ini dibuat oleh sesetengah yang memang ikhlas hendak menaikkan lagi taraf sosio-ekonomi orang Melayu. Kita mengakui pada umumnya orang Melayu lebih ketinggalan daripada orang Cina, misalnya, dikira dari segi pendapatan per-kapita, bilangan jutawan, jumlah profesional dan sebagainya. Tetapi, jangan lupa ramai juga Cina dan bukan Melayu lain yang miskin atau ketinggalan..

Semakin diamati semakin nyata ada dua faktor yang menjadi pendorong besar kepada UMNO untuk melaungkan Agenda Melayu dan menghidupkan DEB semula, iaitu ekonomi dan politik

Keadaan ekonomi negara belum pulih. Kantung kewangan  untuk dibelanjakan  bagi projek-projek tambah kempis, dan kontrak-kontrak yang boleh diagihkan kepada semua kaum semakin habis. Dalam keadaan ini timbul perebutan untuk mendapatkan sedikit yang tinggal. Akhirnya, DEB akan digunakan bukan untuk menaikkan taraf golongan rakyat Melayu yang ketinggalan, tetapi untuk membuka peluang kepada segelintir Melayu terpilih untuk menguasai baki kontrak dan lesen yang ada.

Dari segi politik pula,  pengaruh UMNO sekarang ini kelihatan merosot. Keyakinan terhadap Perdana Menteri semakin menurun. Tanda-tanda perpecahan dalam UMNO tambah ketara.  Sokongan rakyat pelbagai kaum kepada UMNO-BN kian terhakis. Jadi UMNO merasa perlu untuk mengibarkan bendera DEB dan Agenda Melayu, sebagai asas Agenda Nasional Baru (ANB), yang kononnya bertujuan untuk membela nasib orang Melayu. Tujuannya ialah untuk memastikan  kemenangan besar sekali lagi dalam pilihanraya sekali lagi.

Akhirnya, adakah nasib orang Melayu akan lebih baik secara keseluruhan? Sudah pasti, sekiranya  penindasan, korupsi dan kronisme berterusan, dan nilai-nilai buruk yang timbul dari gila kuasa serta tamak harta berlanjutan di kalangan pemimpin negara dan UMNO-BN, selagi itulah rakyat jelata tidak akan mendapat pembelaan yang sejati.

Dr. Syed Husin Ali

06.08.05 (M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat:
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN CARA MUDAH melakukan sumbangan.