PANDANGAN RUSTAM
Isu AP Pelik dan Luarbiasa


Persoalan AP kini merupakan isu yang meluas diperkatakan, menjadi bahan perbincangan dan bahan jenaka di kedai kopi maupun melalui SMS. Topik itu sebenarnya merupakan topik yang bizzare – pelik dan luarbiasa. Seorang bekas Perdana Menteri yang dulunya begitu terkenal kerana kuasanya kini sedang berbalah dengan seorang bekas anggota kabinet “kesayangan”nya – sekaligus juga merupakan sekutu politiknya.

Hubungan baik antara bekas PM itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, dengan Datuk Seri Rafidah Aziz (seorang menteri kanan dan Ketua Pergerakan Wanita UMNO), memang diketahui umum.

Sewaktu Mahathir menyingkirkan Anwar Ibrahim daripada kedudukan Timbalan PM dan Timbalan Presiden Umno pada tahun 1998 Rafidah merupakan salah seorang yang paling kuat menyokong tindakan itu dan paling kuat menghentam Anwar. Sewaktu Mahathir mengumumkan keputusannya untuk bersara Rafidah merupakan salah seorang yang paling kuat melarangnya, meraung-raung menangis di atas pentas Perhimpunan Agung Umno.

Namun kini mereka berdua sudah berbalah dan saling tuduh menuduh atas isu AP. Mahathir sebagai Penasihat Proton mengkritik dasar pemberian AP yang mengizinkan orang-orang atau syarikat tertentu mengimport motokar ke negara ini. Menurutnya amalan tersebut sedang mengancam projek automobil nasional yang telah dipeloporinya dan kini sedang dinasihatinya itu.

Secara tidak langsung, Mahathir juga seolah-olah menyatakan ada sesuatu yang tidak kena pada amalan AP tersebut – lalu beliau menuntut supaya senarai para penerima AP itu didedahkan kepada umum. Rafidah mempertahankan amalan tersebut, menyatakan bahawa bukanlah dasar pemerintah untuk mengumumkan senarai para penerima AP tersebut, menyatakan bahawa antara orang yang banyak dianugerahi AP ialah salah seorang anak Mahathir sendiri.

Kisah itu kemudiannya berpanjangan. Selepas perbalahan awal itu, ada panyokong Mahathir yang menuntut Rafidah supaya memohon maaf. Kabinet sendiri mengarahkan supaya Rafidah membuat penjelasan bertulis kepada Mahathir dan mengirimkan senarai penerima AP itu sekali kepada beliau. PM Abdullah Badawi mengumumkan isu itu sudah selesai dan tidak harus ditimbulkan lagi. Namun arahan PM itu tampaknya tidak dipedulikan – dan Jabatan PM sendiri kemudiannya mengumumkan senarai para penerima AP yang kononnya telah dikirim Rafidah kepada Mahathir.

Isu itu terus menjadi isu panas dalam Perhimpunan Umno yang terakhir – sehingga Rafidah dikritik, diboo dan disorak. Dalam satu Sidang Media, Rafidah menangis terisak-isak menurut gaya dan cara seorang Mahathir yang akan melepaskan jawatannya. Sayangnya Mahathir tidak membalas budi Rafidah dan tidak turut terisak-isak memujuknya di khalayak ramai.

Malah salah seorang anak Mahathir sendiri kemudiannya mendedahkan bahawa Mahathir sebenarnya tidak pernah menerima dari Rafidah senarai para penerima AP itu. Mahathir sendiri – setelah kembali dari percutiannya di luar negara dan setelah orang kuatnya di Proton, Tengku Mahaleel, diumumkan akan digantikan orang lain – telah mengadakan sidang media lalu menuduh Rafidah tidak berkata benar kepada Perhimpunan Agung Umno. Rafidah pula menyatakan bahawa Allah Maha Besar menjadi saksinya!

Bila drama AP ini melibatkan tuduhan tentang berbohong kepada Perhimpunan Agung Umno dan melibatkan Allah sebagai saksi, maka drama itu bukanlah sekadar bizzare tetapi juga amat serius. Kedua-dua pihak tampaknya tidak sekadar bersedih dan berkecil hati – tetapi sesungguhnya bermain politik menggunakan isu tersebut.

Sesuai dengan tradisi politik Umno sendiri, kedua-dua pihak tampaknya menggunakan hujah mempertahankan “kepentingan golongan usahawan Melayu” dalam mempertahankan pihak masing-masing. Mahathir berhujah bahawa Proton tidak mempunyai sebarang masalah untuk survive meskipun terpaksa menghadapit saingan tidak adil dan tidak wajar dari para para pengimport kereta yang mendapat AP itu. Caranya ialah dengan “outsource” bahagian-bahagian keretanya dari sumber-sumber luar yang lebih murah – seperti negara China umpamanya.

Tetapi para usawan Melayu yang menjadi vendor kepada Proton, katanya, akan menderita. Sebaliknya, Rafidah juga menggunakan hujah politik yang sama bagi mempertahankan amalan AP tersebut. Menurutnya, amalan AP itu penting bagi membuktikan bahawa para usahawan Melayu bukanlah sekadar mampu menjadi pengimport dan pedagang kereta-kereta terpakai murahan sahaja, tetapi juga mampu menjadi pedagang kereta-kereta jenama yang canggih dan mewah.

Dan kini setiap orang di negara ini telah tersedut ke dalam kontroversi amalan – atau salah laksana amalan – pemberian AP ini. Ada kelompok yang memihak kepada Mahathir dan ada pihak yang memihak kepada Rafidah, tetapi kebanyakannya telah dikelabui dan dipesongkan pandangannya kepada perkara-perkara remeh-temeh dalam amalan tersebut, dan tidak kepada isu pokoknya.

Pada hemat saya, kita tidak harus lupa bahawa isu AP ini hanyalah merupakan isu manifestasi atau subset daripada suatu kepincangan masyarakat yang jauh lebih besar, yakni isu KKN (korupsi, kronisme, nepotisme). Mahathir mungkin mengkritik amalan AP ini, tetapi beliau tidak harus lupa bahawa orang yang bersalah mengamalkannya itu sebenarnya sudah menjadi selesa melakukannya di bawah hidung pimpinannya sendiri selama hampir tiga dekad.

Tidak mungkin Mahathir sendiri tidak tahu menahu tentang amalan itu, dan malah tidak mungkin dia tidak bertanggungjawab melindungi amalan yang dilaksanakan oleh para sekutu politik dan orang kesayangannya dalam kabinet.

Rafidah, menurut hemat saya, tidak mungkin dipertahankan dalam hal ini. Tetapi demikianlah juga amalan sejenis dengannya yang telah dilakukan oleh pelbagai tokoh dan menteri kabinet Mahathir dalam bidang mereka masing-masing. Anwar dan Ezam telah meringkuk beberapa tahun di penjara kerana mencoba mendedahkan amalan-amalan tersebut. Oleh kerana Mahathir kini berhasil mendedahkan salah satu pekung di dada zaman pentadbirannya sendiri itu, maka tidakkah wajar Abdullah mengambilnya sebagai peringatan dan nasihat supaya cuba melihat pekung yang sejenis di tempat-tempat lain pula.

Itupun jika Abdullah memang bersungguh-sungguh mau mencabut akar umbi masalah KKN yang sudah bercokol di negara ini. Itupun jika hasratnya itu benar-benar ditunjangi oleh iltizam politik yang teguh untuk bukan sekadar mengkritik, tetapi menghukum, amalan-amalan salah dan jijik oleh rejim yang mendahului pemerintahannya.

Senarai AP ini memang cukup menggemparkan dan menggegarkan kita. Namun ada kemungkinan terdapat senarai-senarai yang lebih menggegarkan di kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan lain juga. Kita perlu memperhalusi juga senarai penerima kontrak di EPU, amalan-amalan di jabatan pengankutan jalan, di jabatan kerja raya – malah di badan-badan separuh kerajaan dan swasta.

Dalam melakukan semua ini, pada hemat saya, Abdullah seharusnya tidak dikelirukan pandangan dan perspektifnya oleh jalan cerita dan perkembangan sesuatu kes tertentu sahaja, tetapi lebih kepada cerita besar dan tema umum. Bagi saya yang telah berkembang selama tiga dekad pemerintahan Mahathir bukanlah sejadar amalam korupsi, kolusi dan kronisme individu-individu tertentu sahaja. Yang telah berkembang, malah telah bercokol, adalah suatu budaya KKN yang amat bobrok dan amat jelek.

Mahathir mungkin melakukan semua ini terhadap Rafidah demi mempertahankan projek Proton yang telah dipeloporinya itu. Namun dia juga harus menerima hakikat bahawa projek automobil nasional itu sendiri telah dilaksanakannya, dengan harga dan kerugian besar, kerana kedegilannya, kerana sifat tidak tolerannya terhadap nasihat dan kritikan orang lain – khususnya para cendekiawan dan profesional – sewaktu projek itu dilaksanakan dulu.

Lihatlah, misalnya, negara-negara lain di rantau ini (Indonesia, Thailand, Singapura) tidak merasa perlu mempunyai projek seperti ini sekadar untuk bermegah-megah. Sejumlah besar sumber negara tidak perlu dilaburkan (dan dibazirkan) bagi projek demikian – dan kemudiannya menimbulkan begitu banyak masalah kepada ekonomi kita baik pada peringkat setempat maupun pada peringkat sejagat.

Amalan AP dan pelbagai tindakan Rafidah sehubungan dengannya memang banyak salahnya. Jika Rafidah melakukan kesalahan, maka beliau perlu menerima akibatnya. Namun kesalahan Rafidah ini bukanlah lebih kecil daripada kesalahan Mahathir yang mungkin telah melakukan salah tadbir dan salah pertimbangan selama tiga dekad pemerintahannya.

Kita tidak harus sekadar riuh rendah dan hiruk pikuk memperkatakan isu AP ini. Kita harus memahaminya sebagai menifestasi kepincangan dan kebobrokan yang lebih besar dalam negara kita. Kita harus membetulkan isu AP ini, tetapi kita harus juga membetulkan kepincangan besar itu. Kita perlu mengenal pasti kesalahan dan para pesalahnya baik pada tahap kecilnya lebih-lebih lagi pada tahap besarnya.

Kita perlu membetulkan semua kesalahan -- dan menghukum semua para pesalah.

SEKIAN.

- Rustam A Sani

07.08.05 (M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat:
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN CARA MUDAH melakukan sumbangan.