SECANGKIR KOPI PAHIT
Benarkah DEB Tidak Perkauman?


Kenyataan Presiden Umno Abdullah Badawi tentang DEB pada akhir Perhimpunan Agung parti itu di PWTC baru-baru ini, bagi saya, lebih merupakan reaksi terhadap kritikan pihak lain. Oleh itu kenyataan itu bukanlah suatu kenyataan baru maupun penegasan kembali pemikiran asasi parti itu tentang DEB.

Sepanjang perhimpunan kali ini persoalan mengembalikan DEB tampaknya merupakan tema utama – bukan sahaja ditekankan dalam perhimpunan utama parti itu tetapi juga dalam persidangan cabang-cabang  parti itu: Pemuda, Wanita dan Puteri.

Bukanlah sesuatu yang baru bagi Umno bahawa persoalan dan pendekatan yang berunsur perkauman seperti itu akan menjadi persoalan utama. Malah sejak tahun 1970an lagi nada dan suara yang berunsur perkauman itu telah diulang-ulang tanpa sedikitpun terdapat peningkatan maupun pematangan dalam tahap pemikiran para pemimpinnya. Sesiapa yang berani bercakap berapi-api – seperti menjanjikan “titisan darah terakhir demi membela bangsa Melayu” – maka  dialah yang akan dikagumi dan disokong.

Orang yang selalunya berani berkata demikian ialah Ketua Pemuda pada sesuatu ketika itu – seolah-olah masa depan tokoh tersebut amat bergantung terhadap keberaniannya menawarkan pengorbanan yang kuat berbau perkauman itu. Maka tidak hairanlah jika kali ini Ketua Pergerakan Pemuda parti itu beria-ia benar ingin menjadi juara perjuangan mengembalikan DEB itu.

Namun, baik lojik maupun retorik perjuangan itu rasanya tidak pula meningkat barang seinci jua. Seperti kira-kira 30 tahun lalu, lojik perdebatan hari ini masih tetap juga logik statistik, khususnya logik statistik peratusan. Dikatakan bahawa peratusan ekuiti yang dimiliki oleh orang Melayu bukan sahaja tidak mencapai kuantum sasarannya, malahan semakin merosot pula.

DEB yang telah dilancarkan pada awal tahun tujuh puluhan itu telah meletakkan kuantum peratusan pemilikan ekuiti yang tertentu bagi orang Melayu. Sasaran itu memang belum tercapai, tetapi bila dasar ekonomi itu diubah menjadi DPN maka kuantum peratusan itu didapati semakin merosot. Oleh itu UMNO kini, dengan dipelopori oleh pemikiran dan semangat kental Pergerakan Pemudanya, telah memutuskan untuk kembali kepada DEB.

Demikianlah mudahnya logik pemikiran itu: Peratusan pemilikan ekuiti meningkat di bawah DEB tetapi peratusan itu merosot di bawah DPN. Maka kita kembali sahaja kepada DEB. Tidak dijelaskan apakah sebenarnya perbezaan asasi antara DEB dan DPN. Oleh itu, jika kita kembali kepada DEB, apakah kita sebenarnya melakukan suatu peralihan dasar – kembali kepada sesuatu yang asal dari segi pemikirannya – atau sekadar kembali menggunakan nama lama?

Tidak ada analisis jelas tentang apakah unsur-unsur DPN yang telah menyebabkan kemerosotan peratusan ekuiti itu – atau apakah sekadar kerana nama DPN itu lebih “serasi” dan lebih bertuah. Atau apakah tidak mungkin pemilikan ekuiti Melayu yang telah dibina di bawah DEB itu (dengan perlindungan semu, dengan pendekatan kronisme) tidak cukup mantap dan tidak mampu bertahan – khususnya berbanding dengan peningkatan pemantapan terus kaum-kaum lain di negara ini dalam suasana yang banyak berubah (globalisasi dan IT, misalnya).

Tahukah kita, misalnya, peratusan usahawan Melayu yang telah dimusnahkan oleh krisis fiskal tahun 1997 dan tidak mampu bangun kembali kerana asasnya yang begitu rapuh yang telah dibina dengan pendekatan DEB yang asal itu? Saya tidak begitu yakin dengan sekadar kembali menggunakan DEB (lebih-lebih lagi sekadar kembali menggunakan nama lamanya itu) akan menyelesaikan persoalan struktur ekonomi dan struktur sosial yang tidak tuntas kita fahami itu.

Namun sejak berdekad-dekad lamanya, Umno (khususnya para pemimpin Umno) telah terjebak dalam kerangka pemikiran pembentukan penyertaan Melayu dalam kehidupan ekonomi yang bertunjangkan persepsi struktur “penyertaan peratusan” ini. Umno sebagai peneraju pertumbuhan “bangsa Malaysia” itu perlulah mulai memikirkan cara baru untuk menanggap isu pengagihan dan penyertaan dalam masyarakat di negara ini.

Abdullah Badawi telah menjelaskan pada ucapan penggulungannya itu bahawa perjuangan DEB yang menghendaki kuantum peratusan pemilikan ekuiti tertentu (katakanlah 30 peratus) bagi orang Melayu itu tidaklah mempunyai tujuan untuk merampas hak kaum-kaum lain. Tetapi, bagaimanakah ini mungkin? Oleh kerana asas pengagihan peratus ialah 100 peratus, maka dari manakah peratusan tambahan untuk Melayu akan dicari?

Beliau sebaliknya bercakap tentang “membesarkan kek ekonomi.” Tetapi membesarkan kek tersebut tidak menjadikan asas pengagihan itu 120 atau 150 peratus – tetap 100 peratus juga. Maka peningkatan peratusan Melayu itu tetap juga akan diambil daripada peratusan orang bukan Melayu. Oleh itu permainan (dan pemikiran) peratusan ini merupakan asas bagi permainan perebutan perkauman yang tidak akan ada kesudahannya.

Apabila kenyataan-kenyataan tentang kembali kepada DEB dan tentang peningkatan peratusan pemilikan ekuiti kaum itu menjadi begitu berapi-api dan hampir tidak terkawal dalam Perhimpunan itu, maka tidaklah menghairan jika beberapa parti rakan Umno dalam BN mulai berasa gusar. Pemikiran parti-parti rakan itu sebenarnya salin tak tumpah seperti pemikiran UMNO juga, dan kerana itu hasrat UMNO untuk menambah peratusan ekuiti Melayu bagi mereka akan bererti mengurangkan peratusan kaum mereka pula.

Abdullah sendiri ada menyebut tentang bantahan-bantahan yang disuarakan dalam akhbar-akhbar Cina terhadap sentimen perkauman yang disuarakan dalam perhimpunan tersebut. Sesuai dengan sifatnya sebagai Ketua Pergerakan Pemuda, Hishamuddin Hussein Onn telah memperlihatkan reaksi yang lebih defiant and kombatif terhadap teguran dari parti-parti rakan itu.

Namun, sebagai PM dan Pengerusi BN, Abdullah tidaklah wajar memperlihatkan sikap yang sama. Dia harus kelihatan lebih rasional, lebih mendalam pemikirannya, lebih bijaksana dalam menjelaskan dan menghuraikan. Tetapi sejauh manakah penjelasannya itu memuaskan kita dan meyakinkan kita bahawa isu-isu besar masyarakat dan negara ini sedang difikirkan semula oleh kepimpinan baru UMNO – supaya isu lama dan pendekatan lama tidak terus menerus diulang-ulang dengan struktur pemikiran lama.

Umno tampaknya terus sahaja terjebak dalam keghairahan terhadap pengagihan kekayaan dan ekuiti – seolah-olah itulah sahaja persoalan yang penting bagi orang Melayu dan bagi negara ini. Perbincangan tentang pendidikan tinggi, umpamanya, hanya menimbulkan gagasan pembentukan Universiti Umno. Dan gagasan itu mendapat reaksi dangkal pula daripada Najib yang menjanjikan peningkatan jumlah pelajar UITM menjadi 200,000 – tanpa memperkatakan kualiti universiti itu, tentang falsafahnya, tentang peranan kecendekiawanannya.

Isu kemerosotan, malah pemusnahan, Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa moden yang canggih yang ditimbulkan Rais Yatim tampaknya tidak menarik perhatian sesiapa – kecuali untuk bahan ketawa dan bercanda. Penghuraian Islam Hadhari terus tidak mendalam, dan orang lebih berminat terhadap penangkapan Ayah Pin di bawah ISA!

Soal struktur ekonomi dan pengagihan kekayaan memang merupakan isu yang paling menarik perhatian semua orang – khususnya mereka yang dalam Umno. Namun struktur ekonomi itu sendiri terus sahaja ditanggap dalam kerangka pemikiran lama tentang pengasingan kaum – sebagaimana halnya segala struktur lain dalam masyarakat kita. Ekonomi itu terbahagi kepada pelbagai komponen dan kelompok kaum – ada komponan Melayu, Cina dan Indianya. Syarikat-syarikat juga, misalnya, secara kemasnya dapat dibahagiakan kepada syarikat Melayu, syarikat Cina dan seterusnya.

Bentuk tanggapan yang demikian itu akan memudahkan wacana “kuantum peratusan” yang tampaknya begitu disenangi oleh UMNO. Para pemimpinnya dapat meraih sokongan dalam parti dengan menyatakan bahawa “perjuangan kuantum peratusan” itu belum selesai. Umno sendiri akan dapat meraih sokongan Melayu dengan menyatakan bahawa peratusan hak mereka masih belum selamat. Ekuiti dan peranan Melayu mesti terus ditakrifkan dalam konteks penyertaan Melayu melalui komponen ekonomi Melayu – bukan dalam kerangka kehidupan ekonomi Malaysia dengan orang Melayu memainkan peranan sebenarnya (bukan tokenism) secara profesionalisme dan berilmu.

Oleh itu, bagi saya ucapan penggulungan Abdullah Badawi pada akhir perhimpunan agung itu bukanlah suatu huraian dasar dan penyerlahan pemikiran yang meyakinkan. Ucapan itu rasanya lebih merupakan suatu usaha “damage control” setelah berlakunya pengucapan politik perkauman yang tidak berbendung oleh para anak buahnya. Umno, katanya, sekadar berusaha untuk menyelesaikan kerja yang belum selesai. Dan dia tampaknya hanya mampu berusaha menyelesaikannya dalam kerangka kerangka pemikiran lama yang serba pincang.

Oleh itu, penjelasannya itu tidaklah meyakinan. Rakannya, Lim Kheng Yaik dari Gerakan, juga tampaknya tidak begitu yakin.

- Rustam A Sani

07.08.05 (M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat:
Sumbangan kpd Tabung Senggaraan M@RHAEN CARA MUDAH melakukan sumbangan.