Haji Mohammad Sabu layak sebagai Naib Presiden PAS
Oleh Ulama Profesional Muda PAS Kedah - Laman M@RHAEN

Saya amat tertarik dengan tulisan Wan Jo yang bertajuk “Dua Naib Presiden PAS versi PAS Kelantan”. Saya boleh bersetuju dengan pendapat kebanyakan PAS Kawasan di Kelantan yang akan mencalonkan Exco kanan kerajaan Kelantan Haji Husam Musa dan Setiausaha Agong PAS Ustaz Nasharudin Mat Isa sebagai Naib Presiden PAS. Di sini saya ingin menambah bahawa Haji Mohammad Sabu juga layak untuk diangkat sebagai Naib Presiden PAS.

Ini kerana pemikiran dan gaya kepimpinan Haji Mohammad turut setanding dengan Haji Husam dan Ustaz Nasharudin untuk mengangkat martabat PAS menjadi sebuah parti politik yang disokong oleh majoriti rakyat Malaysia.

Haji Mohammad juga telah melepasi ujian kesusahan dan kesenangan dalam kancah perjuangan Islam ini. Beliau telah ditahan di bawah akta draconian ISA sebanyak dua kali di samping tahanan dalam daerah di Kuala Pilah. Walaupun mengalami mehnah sebegitu rupa, beliau tetap istiqamah dalam perjuangan Islam.

Semasa Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Timbalan Perdana Menteri satu ketika dahulu, Haji Mohammad cuba ditawarkannya jawatan dalam kerajaan yang akan membuahkan kesenangan dengan syarat menyertai Umno, namun demikian, ujian yang berat untuk dilepaskan oleh seseorang ini telah berjaya ditangani dengan baik oleh Haji Mohammad.

Datuk Ibrahim, bapa Anwar yang agak rapat dengan Haji Mohammad sampai sekarang telah menjadi orang tengah untuk mengusahakan permintaan Anwar itu.

Pemikiran politik Haji Mohammad juga global yang bukan cuma sekadar menangani politik Malaysia bahkan melangkaui batas sempadan negara bangsa yang menjadi ciptaan bekas penjajah demi memecahkan belahkan kesatuan umat Islam. Beliau konsisten dalam menyuarakan kebangkitan Islam di seluruh pelusuk dunia termasuk isu penjajahan regim haram Israel ke atas negara Palestin yang merupakan milik mutlak umat Islam.

Di samping menjadi “crowd puller” dalam ceramah-ceramah PAS, Haji Mohammad boleh dikatakan berjaya menarik minat orang Umno dan atas pagar untuk mendengar ceramahnya dan seterusnya terbuka hati untuk bersama-sama dengan perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS. Saya sendiri adalah bekas ahli Umno yang telah menyertai PAS sejak tahun 1993 hasil daripada menghadiri ceramah-ceramah beliau di tempat saya.

Satu perkara yang amat mengagumkan saya ialah Haji Mohammad telah bertanding di Kedah pada tahun 1999 kerana tekanan daripada sebilangan pemimpin PAS di Kelantan yang tidak senang lagi melihat kelibat beliau di Kelantan disebabkan faktor beliau konsisten menegur pemimpin-pimpinan tersebut yang hidup bermewah-mewah dan sebagainya.

Pemimpin utama PAS mestilah seorang yang kuat membaca kerana melalui kadar pembacaan yang tinggi menyebabkan seseorang itu mempunyai idea-idea yang mantap untuk diketengahkan demi memajukan parti dan seterusnya dapat menghasilkan pelan bertindak yang mantap.

Haji Mohammad dan Haji Husam merupakan orang yang kuat membaca. Walaubagaimanapun, saya tidak mengetahui adakah Ustaz Nasharudin juga adalah orang yang kuat membaca, tetapi saya berpandangan bahawa beliau pun sama juga kerana latar belakang akademik beliau sehingga ke tahap pengajian di peringkat sarjana.

Akhirnya saya mendoakan semoga Haji Mohammad dan Haji Husam serta Ustaz Nasharudin mendapat sokongan tertinggi sebagai Naib Presiden baru PAS daripada para perwakilan yang akan bermuktamar di PUTIK Kelantan bulan Jun ini.

Saya yakin gandingan mereka bertiga ini dapat membantu Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Dr Haron Din untuk mengolah satu pelan strategik yang dinamik dan realistik tanpa menggadaikan prinsip Islam dalam jangka masa tiga tahun menjelang pilihanraya umum yang akan datang demi menjadikan PAS sebagai parti dominan di Malaysia yang dapat menguasai Malaysia bersama-sama dengan gabungan parti alternatif yang lain.

Daripada: Ulama Profesional Muda PAS Kedah - 02.03.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: